Kerajaan mahu semua projek yang berstatus lewat atau sakit segera disiapkan tanpa bergantung kepada lanjutan masa kerana rakyat serta kerajaan tidak lagi perlu menghadam seribu macam alasan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan teguran beliau terhadap mana-mana projek infrastruktur yang lembap dan ‘sakit’ adalah berasas kerana rakyat menantikan penambahbaikan untuk dimanfaatkan oleh mereka dan bukannya perlu menghadam seribu satu alasan.
"Projek yang lewat atau berstatus sakit perlu disegerakan tanpa bergantung kepada lanjutan masa yang hanya menambah beban kepada rakyat dan kerajaan.
"Manakala pihak berkaitan pula perlu lebih proaktif termasuk menambah baik kaedah pelaksanaan, memilih kontraktor yang benar-benar berkeupayaan serta memperketat pemantauan dari semasa ke semasa," jelasnya.
Anwar berkata demikian sewaktu berucap merasmikan majlis pecah tanah bangunan tambahan Hospital Pontian pada 15 Februari 2026.

Terkait dengan majlis tersebut, Perdana Menteri percaya ia bertepatan dengan hasrat Kerajaan Madani untuk mempercepat pelaksanaan infrastruktur asas pada peringkat daerah serta memastikan kemudahan kesihatan dapat dinikmati masyarakat dengan lebih cepat dan cekap.
"Saya turut mengarahkan projek ini dimasukkan sebagai projek fast-track di bawah penyelarasan Kementerian Kesihatan bagi memastikan pembinaan berjalan lancar dan mencapai sasaran yang ditetapkan.
"Insya-Allah, inilah antara usaha berterusan Kerajaan dalam memperkukuh sistem kesihatan negara dan memastikan perkhidmatan perubatan lebih selesa serta berdaya saing untuk rakyat," tambah beliau.

Terdahulu, Anwar sempat meninjau beberapa wad di Hospital Pontian yang telah berkhidmat sejak 1929 kepada rakyat Pontian termasuk Kukup dan Benut.
Beliau menegaskan, kemudahan hospital ini akan ditransformasi secara menyeluruh dari segi kapasiti dan infrastruktur agar selari dengan keperluan perkhidmatan kesihatan semasa.
"Kerajaan Madani kekal fokus meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan dengan memastikan perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti, komprehensif dan moden demi kesejahteraan bersama," katanya lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media
