Alam & Sains 04 Feb, 2026

Video| Apabila laut berundur, Langkawi jadi laluan pejalan kaki! Perjalanan menyusuri rahsia alam!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this

Ketika kebanyakan pantai hanya menampilkan pasir dan ombak yang silih berganti, Pantai Tanjung Rhu menyajikan pemandangan luar biasa apabila laut seolah-olah berundur, membuka laluan semula jadi yang membolehkan manusia berjalan kaki merentasi dasar laut.



Ribuan pengunjung berjalan kaki merentasi beting pasir yang muncul akibat fenomena laut surut ekstrem di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi, sekali gus membentuk laluan semula jadi berupa beting pasir ke Pulau Kelam Baya sempena penganjuran Langkawi Sandbar Walk 2026. -  - Kredit foto: Facebook LADA.


Fenomena laut surut ekstrem yang berlaku sekali setahun itu menyaksikan paras air laut turun ke tahap minimum 0.0 meter, sekali gus mendedahkan beting pasir semula jadi yang membentang ratusan meter dari Pantai Tanjung Rhu hingga ke Pulau Kelam Baya. 

Keadaan luar biasa alam semula jadi itu menarik lebih 2,500 pengunjung yang hadir seawal jam 5.30 pagi bagi menyaksikan sendiri fenomena alam yang jarang berlaku.

Bagi kebanyakan pengunjung, pengalaman berjalan kaki di tengah-tengah lautan cetek itu bukan sekadar aktiviti rekreasi, sebaliknya satu perjalanan menyusuri rahsia alam yang lazimnya tersembunyi di bawah permukaan air. Ketika air surut sepenuhnya, dasar laut memperlihat pelbagai kehidupan marin seperti tapak sulaiman, anak ketam serta hidupan kecil pesisir pantai yang bergerak perlahan di celah pasir dan batu karang.



Rentasi laut cetek menuju Pulau Kelam Baya ketika fenomena laut surut ekstrem di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi. - Kredit foto: Facebook LADA.


Fenomena ini diraikan menerusi penganjuran Langkawi Sandbar Walk (Beting Pasir Jalan Kaki Langkawi) 2026, satu program tahunan yang kini menjadi antara tarikan bermusim paling dinanti di pulau legenda itu. 

Program berkenaan bukan sahaja memberi pengalaman eksklusif kepada komuniti setempat serta pelancong domestik dan antarabangsa, malah memperkukuh hubungan masyarakat dengan khazanah alam semula jadi yang dimiliki Langkawi.

Penganjuran program ini turut menyokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) serta memperkukuh penjenamaan Langkawi sebagai destinasi geopelancongan dan ekopelancongan bertaraf dunia berasaskan keunikan fenomena alam semula jadi.


Hidupan marin dan terumbu karang terdedah di dasar laut ketika fenomena. 

Peserta menerima taklimat serta penerangan mengenai hidupan marin oleh naturalis sebelum memasuki laluan beting pasir. - Kredit foto: Facebook LADA.

Di sebalik keindahan yang dipamerkan, aspek keselamatan dan pemuliharaan alam sekitar diberi keutamaan sepanjang program berlangsung. 

Setiap peserta diwajibkan mengikuti taklimat khas oleh naturalis berpengalaman sebelum dibenarkan memasuki laluan beting pasir, selain kawalan laluan dan pemantauan rapi oleh agensi penguatkuasaan berkaitan.

Pendekatan berdisiplin ini bertujuan memastikan keselamatan pengunjung serta mengelakkan sebarang gangguan terhadap ekosistem marin yang rapuh. 

Pada masa sama, peserta turut didedahkan dengan kepentingan menjaga dan menghormati alam sekitar agar keunikan tersebut dapat dikekalkan untuk generasi akan datang.


Keindahan alam terserlah ketika laut surut di Pantai Tanjung Rhu.


Kenangan pengunjung di Langkawi Sandbar Walk 2026. - Kredit foto: Facebook LADA.

Apabila air laut kembali pasang dan laluan pasir itu perlahan-lahan menghilang, pengunjung meninggalkan kawasan berkenaan dengan pengalaman dan kesedaran baharu bahawa peluang untuk berjalan kaki di tengah lautan hanya hadir seketika, namun keindahan alam yang disaksikan kekal lama dalam ingatan. - KitaReporters


Pengunjung meneliti hidupan marin yang terdedah di dasar laut ketika fenomena laut surut ekstrem.

Pengunjung merakam kenangan bersama keluarga. - Kredit foto: Facebook LADA.

16
8
0
13
0
You will be interested