Alam & Sains 31 Jan, 2026

Demi negara! Khidmat bakti anggota bomba padamkan pembakaran terbuka! Boleh ancam nyawa dan negara!

Share this

Kejadian kebakaran tanah gambut seluas 159 ekar yang meruncing di Kota Tinggi baru-baru ini bukanlah satu isu yang kecil dan enteng. Ia adalah isu pencemaran udara yang serius yang boleh menjejaskan kesihatan awam.


GAMBAR IHSAN BOMBA 


Kira-kira satu minggu diperlukan untuk pihak bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran tanah gambut itu yang sangat mencabar. 

Penulis sertakan di sini wajah-wajah hero-hero bomba yang bergadai nyawa dan bermandi peluh mengusung hos air yang berat dalam memadamkan kebakaran besar ini.

Di daerah Muar juga tidak terkecuali apabila berlaku kebakaran belukar seluas hampir 0.81 hektar berlaku Kampung Masyarakat Jasa, Pagoh, Muar. 

Ia seperti satu musim yang berjangkit di mana dengan keadaan yang kering dan cuaca yang panas, kebakaran kecil amat mudah menjadi kebakaran besar.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz ada menegaskan bahawa penguatkuasaan tegas dan kesedaran komuniti mengenai bahaya pembakaran terbuka di daerah Muar terutama harus ditingkatkan.

Beliau menegaskan bahawa aktiviti pembakaran terbuka merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang serta mendatangkan risiko besar kepada keselamatan nyawa, harta benda dan kesihatan awam.


GAMBAR IHSAN BOMBA


"Statistik semasa daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menunjukkan kebakaran rumput berskala kecil turut dilaporkan di kawasan lalang di sekitar Muar.

"Jentera bomba telah dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.02 petang baru-baru ini, dengan keluasan kebakaran dianggarkan 0.0056 hektar melibatkan kawasan semak samun.

"Walaupun kebakaran berskala kecil, situasi ini berpotensi merebak dengan cepat sekiranya tidak dikawal, khususnya dalam keadaan cuaca panas dan kering.

"Aktiviti membakar sampah, rumput, semak atau kebun secara tidak terkawal boleh menjadi pencetus kepada kebakaran lebih besar, menjejaskan kualiti udara, serta membahayakan penduduk sekitar," katanya lagi.


GAMBAR IHSAN BOMBA


Tambah Raiz Mukhliz, sehubungan itu, pihak polis menyeru semua lapisan masyarakat agar tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka.

"Orang awam harus sentiasa berwaspada terhadap sebarang kejadian kebakaran di kawasan sekitar dan segera melaporkan sebarang kejadian kebakaran atau asap mencurigakan kepada talian kecemasan 999 atau balai bomba berhampiran. 

"Orang ramai diingatkan bahawa pembakaran terbuka adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 29A (1) dan 29A (2) pula memperuntuk larangan pembakaran terbuka iaitu tiada seorang pun boleh membenarkan atau menyebabkan pembakaran terbuka di mana-mana premis (termasuklah mana-mana tanah).

"Mana-mana orang yang didapati melakukan pembakaran terbuka, pelaku tersebut boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya," kongsi beliau.

Pihak polis, katanya, akan terus bekerjasama rapat dengan pihak bomba serta agensi berkaitan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara. - KitaReporters

8
13
0
8
0
You will be interested