Alam & Sains 28 Jan, 2026

Baharu di pasaran! Nanas MS16! Sangat enak dan lebih manis! Bakal tembusi pasaran antarabangsa!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Hibrid baharu nanas MARDI yang dikenali sebagai MS16 berpotensi untuk dikomersialkan dan sekali gus dapat menembusi pasaran antarabangsa.


Rosdin Napiah


Pengusaha nanas dari Sabak Bernam, Rosdin Napiah, 58, berkata nanas MS16 ini adalah antara varieti terbaik nanas yang pernah diusahakannya kerana rasanya yang sangat enak dan lebih manis.

“Sepanjang pengalaman menanam MS16, saya dapati ia mudah ditanam sebab tiada banyak masalah, dari segi pembajaan juga tidak perlu banyak. 

"Selain itu, ia juga sukar dijangkiti penyakit, jadi penggunaan racun serangga juga kita kurang guna.

“Sebab itu saya yakin MS16 ini sesuai ditanam dan boleh dikomersialkan kerana buahnya cantik, tahan lama dan manis, itu yang penting bagi saya,” katanya ketika ditemui di ladangnya di Sabak Bernam.

Beliau yang juga dikenali sebagai Pak Din Nanas dalam kalangan penduduk tempatan, telah menceburi bidang penanaman nanas sejak tahun 2019.

Sepanjang enam tahun penglibatannnya dalam tanaman nanas, Pak Din telah menanam lebih 50,000 pokok nanas jenis MD2, yankee, SG1 dan beberapa varieti lain termasuk yang terbaharu MS16 di tiga bidang tanah yang berkeluasan enam ekar di sekitar Sabak Bernam. 

“Sebelum tanam nanas saya banyak tanam ubi kayu, tapi saya dapati tanaman nanas ini mampu jana pulangan yang lebih lumayan.

“Jadi pada mulanya saya tanam MD2 sahaja daripada jambul nanas yang dibuang di tepi jalan di Meru ketika dalam perjalanan pulang dari kerja, saya kutip dan tanam di kampung saya di Sabak Bernam, akhirnya saya berjaya kutip 4,000 jambul.

"Alhamdulillah pendapatannya saya meningkat berlipat ganda dan saya tidak menoleh ke belakang lagi selepas itu,” tambahnya.


Nanas MS16 MARDI boleh mencapai nilai brix (tahap kemanisan) sehingga 20 peratus.


Jelasnya, beliau diperkenal dengan nanas MS16 oleh pegawai MARDI dengan membeli 100 anak pokok pada majlis pelancaran nanas tersebut pada Disember 2023. 

Disebabkan pengalaman luasnya dalam tanaman nanas, beliau kemudian telah dipilih mengikuti projek perintis MARDI dan dibekalkan 1,000 pokok MS16 pada April 2024.

“Sepanjang mengerjakan tanaman MS16 ini, saya sentiasa berhubung dengan pihak MARDI bagi mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar mengenai cara-cara penanaman dan penjagaan nanas, selain itu saya juga berkongsi pengalaman di lapangan dengan pegawai MARDI bagi memberi pandangan tentang penambahbaikan yang boleh dilakukan.

“Tetapi secara keseluruhannya, kualitinya memang hebat setanding dengan varieti nanas MD2 kerana nilai Brix (tahap kemanisan) nanas MS16 amat tinggi dan boleh mencecah sehingga 20 peratus, selain itu ia juga banyak ciri-ciri istimewa lain seperti teksturnya yang rangup, aroma yang baik, dan kurang rasa lidas,” katanya.


Nurul Shamimi Abdul Ghani


Sementara itu, Pegawai Penyelidik MARDI, Nurul Shamimi Abdul Ghani berkata, pengenalan hibrid nanas MS16 ini adalah sebagai satu lagi pilihan alternatif varieti baharu nanas manis dan berkualiti kepada pengusaha dan penggemar nanas di samping meningkatkan kepelbagaian sumber genetik tanaman nanas di Malaysia.

Beliau menambah, nanas MS16 ini berasal daripada kacukan induk Josapine dan nanas tanpa duri dari Australia. 

MARDI mengharapkan hibrid nanas baharu ini berpotensi untuk pasaran segar berhasil tinggi dan toleran kepada penyakit reput teras bakteria.

“Hibrid nanas MS16 menunjukkan prestasi terbaik dari ciri saiz buah, pengeluaran sulur yang banyak untuk keperluan pengeluaran bahan tanaman dan sangat toleran terhadap penyakit reput teras bakteria.

“Namun, keistimewaan tambahan MS16 ialah ia dapat disimpan dalam jangka masa sekitar tujuh hari pada suhu rendah (10C) dan lima hari pada suhu ambien (25C) yang membolehkannya dipasarkan di pasaran tempatan sebagai nanas segar dan produk terproses seperti jus minuman,” ujarnya. - KitaReporters/Kenyataan Media


Pak Din (tiga dari kiri) telah dipilih mengikuti projek perintis MARDI pada April 2024 dan dibekalkan 1,000 pokok MS16 untuk ditanam di ladang nanas beliau di Sabak Bernam.

15
14
0
7
0
You will be interested