Kerajaan Madani mengumumkan peruntukan RM5 juta bagi mendukung usaha pembangunan dan penambahbaikan Zoo Negara agar terus dipelihara dan kekal sebagai ruang pendidikan dan riadah untuk keluarga, khususnya anak-anak kecil dan generasi penerus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Zoo Negara perlu kekal sebagai sebuah institusi pemuliharaan yang tidak hanya mendidik masyarakat, malah menjadi sebahagian daripada warisan negara.
"Sehubungan itu, kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM5 juta bagi mendukung usaha pembangunan dan penambahbaikan Zoo Negara.
"Peruntukan ini diumumkan sewaktu berkunjung ke Zoo Negara pagi tadi (10 Januari 2026) untuk melihat seekor panda yang baru diterbangkan ke Malaysia," ujar beliau.
Zoo Negara yang terletak di Ulu Klang, Selangor, lebih kurang 5km dari Kuala Lumpur dikendalikan oleh Persatuan Zoologi Malaysia, sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO).
Zoo terbuka (open concept zoo) yang mana mana haiwan ditempatkan dalam habitat yang lebih luas menyerupai semula jadi, setakat ini menjadi rumah kepada lebih 4,000 spesimen daripada lebih 300 spesies mamalia, burung, reptilia, amfibia, dan ikan.


Menurut Perdana Menteri, peruntukan ini juga merupakan kesinambungan kepada komitmen yang telah diumumkan pada tahun lalu (2025).
"Ia mencerminkan iltizam dan tekad berterusan Kerajaan Madani untuk memastikan kebajikan haiwan, kemudahan awam serta pengalaman pengunjung sentiasa diperkasa.
"Zoo Negara perlu terus dipelihara dan kekal sebagai ruang pendidikan dan riadah untuk keluarga, khususnya anak-anak kecil dan generasi penerus," tegasnya.
Kata beliau, usaha ini menuntut kerjasama semua pihak, iaitu Kerajaan, pengurusan Zoo Negara, sektor swasta serta masyarakat agar tanggungjawab memelihara khazanah alam dan hidupan liar dapat dipikul bersama demi masa depan yang lestari. - KitaReporters/Kenyataan Media
