LAZIMNYA mereka yang menghidap penyakit Alzheimer adalah golongan berumur 65 tahun ke atas dan amat jarang sekali kita mendengar kaum remaja didiagnos terkena penyakit ‘orang tua’ atau berlaku dalam kalangan warga emas.
Kajian perubatan juga mendapati hanya sekitar 5 peratus hingga 10 peratus kes sahaja membabitkan individu berusia sebelum 65 tahun. Alzheimer adalah penyakit degeneratif yang menjejaskan pemikiran, ingatan dan tingkah laku.
Sebelum ini pun, hanya satu rekod kes pemuda yang berusia 21 tahun disahkan menghidap penyakit Alzheimer kerana (pesakit) dia memiliki genetik mutasi.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penyakit Alzheimer
Seorang remaja di China
bakal mencipta sejarah perubatan apabila dia menjadi pesakit paling muda di
dunia yang mengalami Alzheimer demikian menurut kajian yang
diterbitkan oleh Jurnal Perubatan Penyakit Alzheimer
pada 31 Disember 2022 oleh doktor yang memeriksanya.
Memetik laporan portal ctvnews.ca,
remaja berusia 19 tahun itu berasal
dari Beijing, China dan mempunyai
simptom penyakit itu selama dua tahun; termasuklah hilang ingatan, sukar
menumpu perhatian, memberi tindak balas atau reaksi yang lambat serta kesukaran
untuk membaca.
Pemuda itu juga
sering kehilangan barang-barang peribadinya. Ditambah pula keadaannya yang tidak dapat mengingati sama ada dia telah makan atau belum; dan bergelut untuk
menerangkan kandungan buku yang baru dibacanya. Akhirnya dia terpaksa menarik
diri daripada meneruskan pengajiannya di sekolah menengah.
Ketika hadir untuk bertemu doktor di Capital Medical University, Beijing, remaja itu telah menunjukkan permulaan
tanda-tanda awal simptom penyakitnya.
Remaja yang dirahsiakan namanya kemudian dirujuk ke Pusat Inovasi untuk Gangguan Neurologi dan Jabatan Neurologi di Hospital Xuanwu, Beijing bagi menjalani pemeriksaan dan ujian pakar sebelum menerima rawatan lanjutan.
Pemeriksaan dan ujian yang dilakukan para doktor Hospital Xuanwu, mendapati sejarah kesihatan
ahli-ahli keluarganya seperti ibu bapa, datuk dan nenek mahupun saudara
terdekatnya tidak mempunyai sejarah penyakit dementia, penurunan
kognitif atau gangguan psikiatri.
Pada zaman kanak-kanak, remaja itu tidak pernah mengalami kecederaan
kepala, gangguan psikiatri atau emosi atau penyakit yang berkaitan dengan
kemerosotan ingatan.
Pihak hospital turut menolak punca gangguan kognitif,
termasuk keradangan, jangkitan, mabuk, metabolisme yang tidak normal, trauma,
dan "keabnormalan kongenital. "
Remaja China itu telah menjalani pelbagai ujian termasuk neuropsikologi
untuk memastikan keadaan mental, ingatan, dementia, kebimbangan dan kemurungan,
serta melakukan imbasan MRI dan CT, analisis darah dan air kencing serta cecair
serebrospinal dan pengesan ‘tau’ (protein yang menyokong neuron, atau sel
saraf, di dalam otak)
Pengumpulan ‘tau’ yang tidak normal merupakan ciri-ciri khas kepada penyakit Alzheimer.
Setiap pesakit perlu melakukan imbasan MRI dan CT sebelum disahkan menghidapi penyakit Alzheimer.
Ujian dan imbasan yang dilakukan menunjukkan hipotalamusnya iaitu kawasan otak yang memainkan peranan sangat penting dalam kognisi telah mengecut.
Ia juga menunjukkan kerosakan pada lobus temporalnya dan yang
dipanggil ‘tau’ dan kedua-dua itu adalah ciri kepada penyakit Alzheimer.
Cecair serebrospinalnya menunjukkan pembentukan ‘tau’ iaitu peningkatan
tahap protein yang tidak normal.
Keputusan MRI juga menunjukkan atrofi - kehilangan sel saraf
dan sambungan yang membantu untuk berkomunikasi dalam tisu otak (hippocampus).
Remaja itu juga mendapat markah lebih rendah daripada purata pada Ujian Pembelajaran Verbal Auditori Universiti California Los Angeles, sekali gus menunjukkan dia mengalami masalah ingatan yang ketara.
Doktor seterusnya melakukan ujian mutasi gen remaja itu dan ahli keluarganya yang berkaitan dengan Alzheimer tahap awal, tetapi tidak menemuinya.
Penyakit ini boleh berlaku secara sporadis iaitu melalui gabungan genetik, penuaan dan persekitaran (mutasi patologi dalam gen). - KitaReporters
Sumber:
https://www.ctvnews.ca/health/teenager-in-china-becomes-youngest-person-diagnosed-with-alzheimer-s-disease-1.6281387