Alam & Sains 20 Nov, 2025

Keselamatan Online| Permainan jadi perjudian! CMCF bimbang taktik licik sindiket! Sasar anak muda!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) menggesa perhatian segera terhadap satu trend membimbangkan: sindiket perjudian dalam talian semakin giat menyasarkan golongan muda melalui kandungan terselindung, rekrut secara senyap, dan paparan yang dipacu oleh algoritma.



Pendedahan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh baru-baru ini menunjukkan peningkatan ketara penglibatan anak muda dalam aktiviti perjudian dalam talian. 

Menurut CMCF dalam satu kenyataan bertarikh 19 November 2025, situasi ini bukan berlaku secara kebetulan, ia digerakkan oleh taktik licik yang mengeksploitasi platform digital, tabiat penggunaan media, dan ruang kelonggaran dalam kandungan untuk mencapai kanak-kanak dan remaja sebelum orang dewasa sempat mengesannya.

“Mereka tidak lagi menunggu anak muda mencari perjudian. Sebaliknya, mereka membawa perjudian masuk ke platform yang menjadi ‘ruang hidup’ anak muda - media sosial, gaming, livestream, dan kandungan influencer,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood.



Bagaimana Sindiket Perjudian Menyelinap Tanpa Dikesan

Berbeza daripada bentuk bahaya digital yang lebih jelas, sindiket perjudian kini menggunakan strategi berlapis yang sukar dikesan oleh alat pemantauan, kawalan ibu bapa atau dasar platform. 

Antaranya:

  • Promosi perjudian yang disamarkan sebagai tip permainan, ulasan sukan atau kandungan hiburan
  • Penggunaan mikro-influencer (pempengaruh mikro) untuk menormalisasikan tingkah laku berjudi secara halus
  • Kumpulan tertutup dan aplikasi berasaskan enkripsi untuk mempengaruhi dan merekrut remaja
  • “Permainan”, “cabaran” atau tawaran “kredit percuma” yang sebenarnya menjadi pintu masuk kepada perjudian.

“Bahaya utamanya ialah penampilannya yang kelihatan biasa. Apabila ibu bapa sedar, selalunya anak mereka sudah pun terdedah,” ujar Mediha.



Menutup Jurang Sebelum Risiko Meningkat

Bagi membendung penularan kandungan berkaitan perjudian, CMCF menggesa agar seluruh ekosistem digital memperkukuh langkah perlindungan. 

Keutamaan termasuk:

  • Standard yang lebih ketat terhadap pemasaran influencer dan promosi terselindung
  • Akauntabiliti lebih jelas untuk syarikat dan influencer yang menghasilkan kandungan berbahaya
  • Kerjasama lebih rapat dengan platform untuk mengesan dan menurunkan bahan perjudian yang disamarkan
  • Pengawasan ibu bapa yang lebih aktif terhadap kegiatan digital anak-anak
  • Peningkatan kesedaran masyarakat mengenai taktik perekrutan yang menyasarkan golongan muda



Perjudian Dalam Talian Sebagai Isu Keselamatan Digital

Perjudian dalam talian kini sering dipakejkan sebagai hiburan, gaya hidup atau “cara mudah” menjana pendapatan - menjadikannya bukan sekadar isu moral, tetapi risiko keselamatan digital.

“Kita tidak boleh membiarkan pihak tidak bertanggungjawab mengatasi perlindungan yang sepatutnya menjaga keselamatan anak muda,” kata Mediha. 

“Perlindungan memerlukan reka bentuk kandungan yang lebih beretika, disiplin industri yang lebih tegas, dan kawal selia kendiri yang kukuh.”

CMCF akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa, platform digital, pemain industri dan masyarakat sivil untuk memperkukuh standard kandungan yang melindungi pengguna muda daripada bahan yang berbahaya, mengelirukan dan eksploitasi dalam talian. - KitaReporters/Kenyataan Media

15
9
0
11
0
You will be interested