Alam & Sains 26 Nov, 2025

Keselamatan Online| Pertingkat usaha lindungi kanak-kanak! Ancaman digital berkembang, membimbangkan!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Kerajaan dan syarikat teknologi mesti segera mempertingkat usaha melindungi kanak-kanak daripada jenayah dalam talian, kerana ancaman digital kini berkembang pada kadar yang membimbangkan.



Menurut amaran Pengarah Eksekutif WeProtect Global Alliance, Iain Drennan, keperluan mendesak untuk memperkukuh perlindungan dalam platform permainan, media sosial dan teknologi AI yang semakin berkembang

Beliau ketika berucap menjelang Forum ICT ASEAN 2025 dan di Forum Keselamatan Siber Global atau Global Cybersecurity Forum (GCF 2025) di Riyadh, baru-baru ini, berkata bahawa ruang dalam talian yang paling kerap digunakan kanak-kanak terutama media sosial dan permainan video berbilang pemain memikul “tanggungjawab besar” dalam memastikan keselamatan kanak-kanak.
“Platform media sosial dan syarikat permainan mempunyai peranan yang sangat penting. Mereka mengawal persekitaran ini dan mempengaruhi pengalaman yang dialami kanak-kanak. Ia tidak sepatutnya menjadi tanggungjawab kanak-kanak semata-mata,” katanya.

Iain Drennan


Beliau memberi amaran bahawa ‘grooming’ dalam masa nyata dalam ruang permainan dalam talian kekal sebagai salah satu ancaman paling segera dengan pelaku mampu memulakan interaksi dengan sangat cepat.
Kajian WeProtect Global Alliance menunjukkan bahawa ‘grooming’ (antun seksual) boleh bermula dalam purata hanya 45 minit, dengan kes terpantas direkodkan dalam 19 saat. 

Setelah hubungan terjalin, pemangsa selalunya memindahkan kanak-kanak ke saluran peribadi atau disulitkan di mana penyalahgunaan boleh meningkat tanpa dikesan.

Drennan menggesa supaya platform direka bentuk dengan cara yang dapat menyukarkan tingkah laku sedemikian, sambil menekankan kepentingan moderasi yang lebih kukuh, pengawasan lebih rapi dan reka bentuk yang berpusatkan kanak-kanak.
Beliau turut menyatakan bahawa peraturan di seluruh dunia sedang bergelut untuk mengikut rentak perkembangan teknologi, khususnya teknologi AI generatif. 

Peningkatan ‘deepfake’ dan kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) yang sangat realistik dijana oleh AI semakin menyukarkan pihak berkuasa mengesan kemudaratan dan menyelamatkan mangsa.

Beberapa negara termasuk United Kingdom dan Amerika Syarikat  sudah  mengharamkan CSAM yang dijana oleh AI, namun Drennan menegaskan bahawa kerjasama global yang berkesan amat diperlukan, dengan merujuk kepada Konvensyen Jenayah Siber PBB yang bakal diperkenal sebagai alat penting jika dikuatkuasakan dengan betul.


Drennan menggesa kerajaan untuk memperkukuh strategi keselamatan kanak-kanak dalam talian di peringkat nasional dengan berpaksikan prinsip hak asasi manusia sejagat, merujuk kepada General Comment 25 di bawah Konvensyen Hak Kanak-Kanak PBB, yang menjamin hak kanak-kanak dalam talian adalah sama seperti di luar talian.
Beliau menegaskan bahawa ketika platform digital berkembang lebih pantas daripada kebanyakan dasar negara, kerjasama lebih erat antara kerajaan, syarikat teknologi dan komuniti antarabangsa adalah amat penting.
“Ancaman yang dihadapi kanak-kanak dalam talian semakin berganda, dan ruang untuk bertindak semakin mengecil,” tegasnya. - KitaReporters/Kenyataan Media
11
22
0
18
0
You will be interested