Alam & Sains 02 Mar, 2026

Harga baharu tiket! Zoo Taiping & Night Safari! Mulai 15 Mac 2026! Kelestarian operasi, pemuliharaan!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: [email protected]

Share this

 

Zoo tertua di negara ini, Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) di Taiping, Perak akan melaksanakan pelarasan harga tiket masuk yang baharu berkuat kuasa mulai 15 Mac 2026.



Pelarasan ini dibuat bagi memastikan kelestarian operasi zoo, memperkukuh usaha pemuliharaan hidupan liar serta meningkatkan kualiti kemudahan dan pengalaman pelawat secara menyeluruh.

Kadar baharu yang membabitkan warganegara:

Zoo Taiping (8.30 pagi – 6.00 petang)

  • Dewasa (13 – 59 tahun): RM25.00
  • Kanak-kanak (3 – 12 tahun): RM12.00
  • Warga Emas (60 tahun dan ke atas): RM10.00

Night Safari (8.00 malam – 11.00 malam)

  • Dewasa (13 – 59 tahun): RM30.00
  • Kanak-kanak (3 – 12 tahun): RM15.00
  • Warga Emas (60 tahun dan ke atas): RM10.00

Kadar baharu untuk bukan warganegara:

Zoo Taiping (8.30 pagi – 6.00 petang)

  • Dewasa (13 – 59 tahun): RM40.00
  • Kanak-kanak (3 – 12 tahun): RM20.00
  • Warga Emas (60 tahun dan ke atas): RM20.00

Night Safari (8.00 malam – 11.00 malam)

  • Dewasa (13 – 59 tahun): RM50.00
  • Kanak-kanak (3 – 12 tahun): RM25.00
  • Warga Emas (60 tahun dan ke atas): RM20.00 

Semua kadar tiket adalah termasuk perkhidmatan trem.



Sebagai sebahagian daripada komitmen sosial, kemasukan percuma terus diberikan kepada pemegang Kad Orang Kurang Upaya (OKU) yang sah serta kanak-kanak berumur di bawah tiga (3) tahun melibatkan warganegara dan bukan warganegara.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Mohamed Akmal Dahalan berkata, dengan purata kehadiran sekitar 600,000 orang pelawat setahun, ZTNS menempatkan lebih 1,300 haiwan daripada 120 spesies di kawasan seluas 36 hektar dengan laluan pejalan kaki sepanjang 2.5 kilometer.

Menurut beliau, pelarasan ini merupakan semakan pertama sejak tahun 2013 dan mengambil kira peningkatan kos operasi semasa termasuk penyelenggaraan habitat haiwan, kebajikan dan penjagaan veterinar, penyelenggaraan fasiliti awam, keselamatan serta penambahbaikan berterusan infrastruktur.

Selain itu, ia juga mengambil kira peningkatan kos bahan makanan haiwan sejajar dengan kenaikan harga pasaran semasa.


Pemandangan orang ramai di hadapan kaunter tiket Zoo Taiping & Night Safari 

“Pihak pengurusan menegaskan bahawa kadar baharu ini masih kekal kompetitif dan berpatutan berbanding produk pelancongan setara di Malaysia bagi memastikan standard kebajikan haiwan dan pengalaman pelawat sentiasa berada pada tahap terbaik.

“ZTNS juga kekal antara zoo terbesar di Malaysia yang menawarkan harga tiket paling murah dan berpatutan kepada semua lapisan masyarakat,” katanya dalam kenyataan media pada 1 Mac 2026.

Sehubungan itu katanya, ZTNS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pelawat atas sokongan berterusan dalam menjadikan zoo ini sebagai destinasi pelancongan dan pusat pendidikan alam semula jadi utama di Negeri Perak.

Menurutnya, ZTNS kekal komited dalam memperkukuh usaha pemuliharaan, pendidikan dan penjagaan hidupan liar serta memelihara nilai sejarahnya demi manfaat generasi kini dan akan datang. - KitaReporters

14
12
0
15
0
You will be interested