Alam & Sains 18 Feb, 2020

100,000 PELAJAR CHINA TAK DAPAT KE AUSTRALIA

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

GARA-GARA COVID-19, hendak belajar pun kini jadi susah! Inilah dilema yang dihadapi 100,000 pelajar dari China yang mengadapi masalah menyambung pengajian di Australia berikutan sekatan kemasukan rakyat dari China ke negara itu untuk mengekang penularan penyakit Koronavirus-2019 atau COVID-19. : KitaReporters.com

UNIVERSITI Kebangsaan Australia di Canberra yang menempatkan ramai pelajar dari China.


Para pelajar ini yang berada di China kerana bercuti sempena Tahun Baharu Cina sepatutnya memulakan pengajian semester baharu pada 24 Februari 2020. 

Namun mereka tersadai berikutan larangan kemasukan yang dikenakan oleh Australia mulai 1 Februari 2020, dan dikuatkuasakan minggu demi minggu.

Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri Australia memaklumkan, mereka yang berada di tanah besar China pada 14 hari terakhir tidak dibenarkan masuk ke Australia. 

Ini bererti mereka yang memang berada di tanah besar dan hendak masuk semula secara terus ke Australia tidak boleh berbuat demikian.

Bagaimanapun, menurut laporan South China Morning Post, pihak Jabatan Pendidikan, Kemahiran  dan Pekerjaan Australia memberi kelonggaran di mana pelajar yang berada di negara selain China dalam tempoh 14 hari terakhir mungkin diberi kebenaran memasuki Australia.

Ini bererti mereka yang hendak masuk ke Australia perlu terlebih dahulu pergi ke negara ketiga untuk singgah dan tinggal sekurang-kurangnya selama 14 hari di negara berkenaan sebelum boleh cuba masuk ke Australia.

Inilah juga langkah yang diambil oleh sebahagian pelajar untuk membolehkan mereka menyambung pengajian. Tetapi kos melencong ke negara ketiga ini bukan murah. Tidak semua pelajar mampu berbuat demikian. 

Lagi pun mungkin hanya negara tertentu bersedia menerima mereka.

TOKYO sentiasa sibuk... Tony Yan memilih 'bercuti' ke bandar raya ini sebelum cuba untuk masuk semula ke Australia. - Kredit foto Travelience.


Namun bagi Tony Yan, seorang pelajar di Universiti Kebangsaan Australia (ANU), Canberra dan berasal dari wilayah Jiangsu, dia tidak mahu pengajiannya tertangguh akibat sekatan Australia itu.

Dia tidak mahu menunggu lebih lama untuk kembali belajar. 

Oleh itu, dia mengambil peluang kelonggaran yang diberi dengan pergi ke negara ketiga untuk memadamkan stigma ’14 hari terakhir di China’.

Yan memilih untuk melancong ke Tokyo, Jepun sejak minggu kedua Februari 2020. 

Selepas ‘lari’ dari China dan dua minggu berada di negara matahari terbit itu nanti, pelajar jurusan Matematik itu menaruh harapan penuh untuk terbang ke Sydney hujung minggu depan (minggu akhir Februari 2020).

Katanya, di Tokyo dia menjadi manusia bebas. Tiada sekatan, tidak perlu memakai topeng dan tidak dikuarantin. Namun percutian ke Tokyo ini bukan murah. 

Yan membelanjakan A$10,000 (RM27,800) untuk percutian 'dipaksa’ ini.

PEMANDANGAN Bangkok dari udara... Di sinilah Allie Liu singgah sebelum berharap dapat kembali memasuki Australia. - Kredit foto Booking.com


Seorang lagi pelajar berasal dari Guangzhou yang mahu dikenali sebagai Allie Liu, juga mengambil langkah sama seperti Yan. 

Tetapi pelajar wanita ini memilih untuk melancong ke Bangkok sebagai tempat singgah pada awal bulan ini sebelum meneruskan pengajian dalam bidang Sains di ANU.

Menurutnya, sekalipun dia ramai kawan dan kenalan di Bangkok, dia tidak seronok dengan percutiannya. 

Ini kerana ia bukanlah percutian dalam erti kata sebenar tetapi adalah persinggahan sementara untuk ‘menyucikan diri’.

Liu memberitahu, persingggahannya di Bangkok bakal menelan belanja antara 15,000 hingga 20,000 yuan (RM8,700 hingga RM12,000).

Menurutnya, dia sendiri terpaksa bekerja sambil belajar di Canberra. 

Tegasnya, bukan semua pelajar China kaya dan dengan mudah mampu menampung yuran pengajian, apatah lagi untuk duit poket. Kerana itulah ramai yang bekerja sambil belajar.

Liu yang pernah bersekolah menengah di New Zealand untuk beberapa tahun, amat kesal dengan tindakan Australia dan rasa menyesal menyambung pelajaran di negara itu.

Oleh itu katanya, walau pun sekatan ini mungkin ditarik balik dia memikirkan untuk bekerja di negara lain atau kembali belajar di New Zealand.

SATU lagi sudut pandangan Universiti Kebangsaan Australia.


Sekatan masuk kepada pelajar China ini sebenarnya bukan sahaja mendatangkan masalah kepada pelajar, tetapi juga di pihak universiti sendiri.

Pertama, ia terpaksa menyusun semula jadual pengajian dan menyediakan kaedah pembelajaran alternatif seperti tuisyen dalam talian serta mengemas kini kursus-kurus yang pelajar ketinggalan.

Kedua ialah kesan kewangan. Sekatan menyebabkan pihak unversiti kehilangan sumber kewangan  besar yang dibelanjakan oleh pelajar China. 

Dianggarkan angka kerugian boleh mencecah sehingga A$8 bilion (RM22.3 bilion) .

Sektor pendidikan antarabangsa Australia memberikan pulangan lumayan kepada Australia. 

Menurut perangkaan Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan Australia, hasil yang disumbangkan oleh sektor ini dalam ekonomi Asutralia tahun lepas ialah A$35 bilion (RM97.5 bilion).

Pelajar dari China berjumlah satu pertiga daripada keseluruhan pelajar antarabangsa atau 11 peratus daripada jumlah seluruh pelajar. 

Sebahagian universiti bergantung kepada bayaran yuran pelajar China ini yang menyumbangkan hampir 25 peratus pendapatan mereka.

Para pelajar China kesal dengan sekatan yang dikenakan sehingga memerlukan mereka pergi ke negara ketiga jika ingin masuk semula ke Australia.

Mereka menyifatkan peraturan ini sebagai membebankan kerana mereka perlu membelanjakan banyak wang untuk melalui negara ketiga. 

Mereka berpendapat lebih baik mereka dibenarkan masuk dan dikuarantin di tempat khas di Australia kerana itu lebih menjimatkan wang.

Laporan-laporan berkaitan COVID-19 boleh dibaca di: https://kitareporters.com/coronavirus


Untuk rekod, sehingga 17 Februari 2020, lebih 72,000 kes COVID-19 telah dilaporkan dengan sebanyak 1,775 kematian. 

Di Australia sendiri sehingga 17 Februari 2020, sebanyak 15 kes dilaporkan dan belum ada angka kematian. 

Di negara 'kangaroo' itu, mereka yang disyaki dijangkiti COVID-19 dikuarantin di Northern Territory, yang jumlah penduduknya tidak ramai. - KitaReporters.com

NORTHERN TERRITORY kawasan di mana mereka yang disyaki dijangkiti COVID-19 di Australia dikuarantin. - Kredit foto Citrus Australia.


DARWIN ibu negeri Northern Territory, Australia. - Kredit foto ntnews.com.au

 

 

 

 

 

 

 

 

0
0
1
0
0
You will be interested