Alam & Sains 26 Mar, 2021

Tengok penyu bertelur! Program gotong royong pulihara penyu di pantai Mak Kepit, Pulau Redang

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this

Pulau Redang, Terengganu turut menjadi lokasi penyu bertelur.


KISAH pantai Rantau Abang di Terengganu seolah-olah tidak boleh dipisahkan dengan cerita sedih penyu menangis. Entah kenapa pantai yang indah ini boleh dikaitkan dengan mood sedih dan sayu.

Pada awal tahun 1970-an, Rantau Abang yang terletak di daerah Dungun adalah kawasan tarikan pelancongan apabila pantai Laut Cina Selatan itu menjadi persinggahan penyu untuk bertelur.

Ketenangannya pada waktu malam dan keindahan pantai dengan daun pohon nyiur ditiup bayu laut digambarkan menerusi lagu Kenangan Di Rantau Abang ciptaan Ibrahim Bachik dan dinyanyikan oleh Allahyarham Datin Rafeah Buang.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penyu:

https://kitareporters.com/search?search=penyu


Sekor penyu sedang bertelur di persisiran pantai


Memang suatu ketika dahulu, pantai Rantau Abang cukup terkenal. Siapa pun yang bertandang ke Terengganu pasti tidak melepaskan peluang untuk singgah di pantai ini.

Bagaimanapun, masa berlalu. Populariti pantai Rantau Abang semakin pudar. Ia hanya meninggalkan nostalgia kepada mereka yang pernah ke pantai tersebut kira-kira 10 atau 20 tahun dahulu.

Kini penyu dikatakan semakin pupus di Terengganu yang satu ketika dahulu menjadi pilihan pelancong untuk melihat penyu bertelur di Rantau Abang.


 


Usaha memulihara penyu kini ditingkatkan oleh Jabatan Perikanan menerusi program pemuliharan termasuk gotong royong di kawasan yang berpotensi bukan sahaja di Rantau Abang malah di beberapa lokasi lain termasuk Pulau Perhentian dan Pulau Redang

Pantai Mak Kepit, Pulau Redang sepanjang 150 meter antara lokasi utama pendaratan penyu di Pulau Redang. Purata dari Mac hingga Oktober setiap tahun, berlaku sekitar 1,200 pendaratan penyu terutama spesis penyu agar.


Dr Azman Ibrahim ketika melancarkan program gotong royong pemuliharaan penyu di Pulau Redang, Terengganu.


Menyedari kepupusan penyu di negeri ini, pihak berwajib mengadakan gotong royong memulihara kawasan penyu bertelur di pantai pusat pelancongan terkenal Pulau Redang, pada 25 Mac 2021. 

Gotong royong sehari yang membabitkan pelbagai jabatan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu bagi mempastikan penyu dapat bertelur di kawasan yang diwartakan bagi mengelak gangguan daripada orang ramai.


Dr Azman Ibrahim


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim yang turut serta dalam program tersebut berkata, kerajaan negeri mahu pelbagai sepeis penyu yang mendarat di pantai negeri ini sentiasa dijaga dan dikawal pergerakannya. 

Katanya, menurut rekod, sejak 1 Mac 2021 sehingga tarikh 25 Mac 2021, sebanyak 82 pendaratan telah direkodkan.

Beliau berkata, setiap ekor penyu agar biasa menghasilkan antara 120 hingga 150 biji telur sekali mendarat. Manakala telur penyu akan menetas dalam tempoh sekitar dua bulan. 


Dr Azman meletakkan tanda lokasi penyu bertelur di Pantai Mak Kepit, Pulau Redang,Terengganu


 “Suhu pasir yang lebih panas akan menghasilkan anak penyu betina berbanding anak penyu jantan akan menetas bila suhu pasir lebih rendah,” katanya ketika melancarkan program berkenaan. 

Dr Azman berkata, istimewa di Pantai Mak Kepit ini, telur penyu tidak dipungut tetapi dibiarkan menetas secara semula jadi dan anak penyu kembali semula ke laut secara natural.


 

Peserta diberi taklimat sebelum menyertai gotong royong pemuliharaan penyu di Pantai Mak Kepit,Pulau Redang


Katanya, sempena gotong royong itu kawasan penyu bertelur diletakkan tanda khas dengan kedalaman lubang kira-kira satu meter. 

“Penyu akan menggali pada setiap kali naik, penyu akan memperuntukan masa sekitar 4 hingga 5 jam sehingga proses bertelur selesai dan lubang ditimbus sebelum ibu penyu kembali ke laut,” katanya.

Beliau berkata, setiap lubang ditandakan tarikh bertelur untuk memudahkan pemantauan dan jangkaan waktu telur menetas. - KitaReporters


3
0
1
0
1
You will be interested