Rupanya seperti batu, namun mengeluarkan bunga seakan-akan bunga dandelion. Ganjil, bukan? Pada zahirnya, ia tampak seperti batu. Tetapi sebenarnya ia adalah sejenis tumbuhan yang diklasifikasikan dengan nama saintifiknya sebagai ‘Lithops’, seperti mana yang ditulis dalam jurnal Public Library of Science. : KItaReporters
Lagi kisah-kisah berkaitan bunga:
https://kitareporters.com/search?search=bunga
Ia sejenis tumbuhan yang sukar ditemui dan hanya boleh dijumpai di kawasan Afrika Selatan dan Namibia, sebuah habitat flora unik yang digelar ‘flowering stone’ (batu berbunga).
Nama Lithops diambil daripada bahasa Yunani yang bermaksud ‘wajah batu’ kerana tumbuhan ini mirip seperti batu. Sesetengah pengkaji turut menggelarnya sebagai ‘batu hidup’.
Berdasarkan catatan, Lithops pertama kali ditemui pada tahun 1811 oleh seorang ahli botani, William John Burchell. Dia menemui spesies tumbuhan ini ketika mengambil spesimen dari tanah sewaktu menjelajah Afrika Selatan.
Pengkaji lain iaitu Desmond dan Maureen Cole yang mengunjungi Afrika Selatan pada tahun 1950-an menemui lebih banyak kawasan habitat Lithops. Bahkan, mereka menemui lebih kurang 400 jenis variasi tumbuhan batu ini. Mereka telah mengidentifikasikan setiap penemuan itu mengikut genus dan kelompok pengkelasan organisma hidup.
Mereka berdua telah menulis dan membukukan hasil kajian ini dalam buku berjudul ‘Lithops : Flowering Stone’ yang diterbitkan pada tahun 1998. Klasifikasi yang mereka tetapkan hasil kajian terhadap spesies tumbuhan langka ini telah diterima pakai sehingga sekarang.
Berdasarkan rekod, terdapat lebih kurang 33 jenis spesies Lithops yang tumbuh di Afrika Selatan. Spesies tumbuhan ganjil ini mempunyai perilaku yang mampu meniru seperti batu.
Secara umumnya, Lithops mampu hidup di dataran kering seperti kaktus. Ia boleh bertahan dalam cuaca panas sehingga melebihi 42 darjah Celsius, ataupun dalam suhu dingin sekitar –5 darjah Celsius. Ia tergolong dalam kategori tumbuhan yang kuat kerana kemampuannya hidup dalam persekitaran yang ekstrim.
Nampak seperti batu dan hanya berbunga, tetapi ia sebenarnya mempunyai sepasang daun. Daun Lithops kecil dengan diameter sekitar dua hingga tiga sentimeter sahaja. Tekstur daunnya tebal. Ini yang membuatkan Lithops mampu menyimpan banyak air bagi menampung keperluannya semasa musim panas.
Fisiologi daunnya sering menarik perhatian pengkaji. Daun Lithops hampir tidak mempunyai batang. Sebaliknya ia berbentuk runcing dan bahagian hujung yang runcing itu akan terbenam ke tanah menjadi akar.
Kajian juga mendapati, Lithops bijak dalam menjimatkan penggunaan air dalam simpanan daunnya. Oleh itu, ia mampu bertahan hidup meskipun berbulan-bulan hujan tidak turun di kawasan tersebut. Bukan sekadar berupaya menyimpan bekalan air, daun Lithops juga mampu melakukan penyamaran menyerupai batu.
Daripada pelbagai kajian yang dilakukan, ahli biologi mengakui Lithops antara tumbuhan paling unik yang pernah ditemui kerana mampu melakukan penyamaran seperti batu-batu kerikil. - KitaReporters