Rakaman video oleh Muhammad Rusdi Manidi
Seramai 32 penyelam sularelawan mengeluarkan 37 kilogram sampah sarap dari dasar laut dalam fasa program antarabangsa Dive Against Debris (DAD) di Pulau Perhentian Kecil, Besut pada 22 Jun 2024 lalu. Fasa pertama diadakan sebelum monsun September tahun lalu (2023).
Dalam program anjuran Yayasan Salam Malaysia (SALAM), Black Eye Scuba Team (BEST) dan Pejabat Daerah Besut itu, penyelam berkenaan mengambil masa 45 minit sebelum kehabisan oksijen untuk mengeluarkan pelbagai sampah sarap di dasar laut, yang antara lain bertujuan untuk menyedarkan masyarakat mengenai pemuliharaan laut.
Penyelam juga menemui beberapa pukat hantu (ghost nets) termasuk satu daripadanya sepanjang sembilan meter dan percayai seberat satu ton. Bagaimanapun, pukat itu tidak boleh dinaikkan kerana ia memerlukan operasi khas yang lengkap dengan winch boat untuk menariknya ke daratan.
Bukan kerja gila! Program Dive Against Debris! Wujudkan kesedaran pentingnya pulihara alam sekitar!
Sewaktu penyelam bekerja keras di dasar laut, seramai 120 lagi sukarelawan termasuk dari luar negara mengambil bahagian dalam kerja pembersihan pantai Long Beach di pulau peranginan itu. Mereka mengutip sebanyak 79.24 kilogram sampah di pantai itu.
Kemudian, semua sukarelawan menyantuni murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Perhentian di Kampung Nelayan sambil memberi penerangan mengenai pentingnya menjaga laut supaya sentiasa bersih.
Keesokan paginya, semua 152 sukarelawan termasuk 32 penyelam berkenaan menjalankan kerja pembersihan pantai sekali lagi dan mengutip 99.61 kilogram sampah. - KitaReporters/Kenyataan Media
Rakaman video oleh Muhammad Rusdi Manidi