
Anugerah berprestij Anton Bruun Medal, merupakan salah satu pengiktirafan antarabangsa tertinggi dalam bidang sains lautan. Terkini, dedikasi seorang saintis marin wanita dari Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang terhadap penyelidikan samudera dan lautan diiktiraf, sekali gus mengangkat nama USM dan Malaysia pada arena global.
Wanita itu yang juga Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) USM, Profesor Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai telah mencipta nama pada persada antarabangsa dengan memenangi anugerah berprestij tersebut.
Anugerah ini telah disampaikan kepada beliau sempena 33rd Session of the Intergovernmental Oceanographic Commission (IOC) Assembly (atau Sesi Ke-33 Perhimpunan Suruhanjaya Oseanoografi Antara Kerajaan) di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), di Paris, baru-baru ini.
Pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan Aileen dalam bidang pengurusan dan pemuliharaan ekosistem marin, malah turut membuktikan keupayaan USM sebagai institusi pendidikan tinggi yang unggul dalam penyelidikan bertaraf dunia.

Dr Aileen Tan Shau Hwai ketika menyampaikan syarahan di Paris pada 30 Jun 2025.
Bersempena
dengan pengurniaan pingat tersebut, Aileen turut menyampaikan syarahan pada Anton Bruun Memorial Lecture (syarahan Peringatan Anton Bruun) bertajuk ‘Menjana Penyelesaian Lautan
Secara Bersama: Memperkasa Komuniti Pesisir Pantai melalui Integrasi Sains dan
Polisi.’
Dalam
syarahannya, beliau menekankan keperluan kritikal agar sains dimanfaatkan demi
kesejahteraan manusia sejagat, bukan semata-mata untuk komuniti saintifik,
selain turut menggesa pelaksanaan pendekatan menyeluruh yang merangkumi seluruh
lapisan masyarakat dalam tadbir urus lautan yang mampan.
“Sains menghubungkan manusia. Manusia pula terhubung dengan alam semula jadi,” katanya penuh komited di hadapan komuniti global, sambil menyeru kerjasama rentas disiplin dan sektor bagi memastikan penyelesaian lautan yang inklusif dan mampu dilaksanakan, dengan rakyat sebagai teras bagi setiap usaha yang dilakukan.

Sebagai
peneraju dalam pemuliharaan marin berasaskan komuniti dan akuakultur lestari,
Aileen turut berkongsi kisah-kisah kejayaan hasil kerjasama beliau bersama
komuniti pesisir pantai di Malaysia, di mana sains telah dimanusiakan, memberi
impak nyata dan mencipta nilai yang diterjemahkan melalui peningkatan sumber
pendapatan, pemerkasaan gender serta penjagaan ekosistem secara berterusan.
Daripada
inisiatif penternakan tiram sehinggalah kepada keusahawanan ekobelia, beliau
turut menegaskan kepentingan untuk mengutamakan rakyat, menyampaikan maklumat
secara ringkas dan jelas serta komunikasi yang berimpak.
“Paling
utama, kita perlu membina kepercayaan dan kekal kepada misi dan visi dalam
merealisasikan segala usaha,” katanya.
Pendekatan Aileen yang praktikal dan berakar dalam budaya tempatan dan pemindahan ilmu ini telah menarik perhatian global sebagai model tindakan lautan yang berkesan dan inklusif.

Dalam pada
itu, anugerah Anton Bruun Medal diwujudkan sejak 1970 bagi memperingati tokoh
oseanografi terkemuka dari Denmark dan Pengerusi pertama Suruhanjaya tersebut
iaitu Dr. Anton Frederick Bruun.
Pingat ini
dianugerahkan kepada individu yang telah menyumbang kepada kemajuan penting dan
signifikan dalam bidang kajian pepejal bumi, oseanografi fizikal dan kimia,
meteorologi serta biologi marin bersempena IOC Assembly yang diadakan setiap
dua tahun sekali.
Anton Bruun
Medal juga mengiktiraf sumbangan cemerlang individu dalam memajukan bidang
sains marin.
Penganugerahan
ini bukan sahaja merupakan pengiktirafan terhadap dedikasi Aileen selama
beberapa dekad dalam bidang sains marin dan pembangunan komuniti pesisir
pantai, tetapi turut melambangkan peranan Malaysia yang semakin menyerlah dalam
agenda lautan global di bawah United Nations Decade of Ocean Science for
Sustainable Development. - KitaReporters