
Nelayan di utara negeri ini perlu bertanggungjawab dalam memastikan laut tidak tercemar dengan kegiatan menangkap ikan menggunakan peralatan yang diharamkan seperti bubu naga.
Ini kerana
kegiatan menggunakan bubu naga ketika menangkap ikan boleh menjejaskan
ekosistem dan mengancam sumber ikan tempatan.
Justeru itu,
sikap bertanggungjawab dalam kalangan nelayan hendaklah diamalkan supaya tidak
menggunakan bubu naga yang diharamkan dalam industri perikanan negara.
Sumber
perikanan perlu dijaga kerana Perak merupakan penyumbang terbesar dalam perikanan
negara.
Bubu Naga merupakan alat penangkapan ikan yang tidak selektif dan memerangkap pelbagai spesies termasuk anak ikan, penyu dan spesies marin terancam serta menjejaskan populasi ikan dan merosakkan ekosistem dasar laut.

Taburan kes rampasan bubu naga sepanjang tahun 2024 yang telah dikenal pasti.
Sehubungan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kuala Kurau dengan
tegas tidak teragak-agak untuk membanteras kegiatan menggunakan bubu naga untuk
menangkap ikan dan sebagainya.
Komander
Maritim, Mohd Hairil Othman berkata, kegiatan tersebut masih berlaku walaupun ia
dibanteras dari semasa ke semasa.
Katanya, pihaknya
meminta komuniti nelayan agar menggunakan kaedah penangkapan ikan yang sah.
“Memang
tidak dinafikan penggunaan bubu naga mendatangkan pendapatan yang lumayan
kerana hasil diperolehi dengan mudah.
“Kegiatan
memasang bubu naga dilakukan pada waktu malam dan awal pagi,” katanya di Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim di Kuala Kurau, Perak pada 19 Jun 2025.
Mohd Hairil
berkata, sebanyak 1,742 unit bubu naga bernilai RM176,640 telah dirampas dalam
Ops Sayong sejak tahun lalu (2024) berbanding 1,500 unit bubu naga tahun sebelumnya (2023).
Menurut beliau, bubu naga yang dirampas itu dilupuskan selepas mendapat perintah mahkamah di bawah Akta Perikanan 1985.

Mohd Hairil Othman (tengah) sedang memotong bubu naga untuk dilupuskan di Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Malaysia Kuala Kurau, Perak.
Beliau berkata, bubu naga dikesan melibatkan kawasan Kuala Kurau, Tanjung Piandang, Pulau Sangga, Terong, Pasir Hitam dan Kuala Gula/Kalumpang serta Bagan Panchor.
“Kawasan sepanjang 123 kilometer (km) itu menjadi kawasan kegiatan bubu naga. Kita mempunyai kaedah tersendiri untuk mengesan lokasi pemasangan bubu naga,” ujarnya.
Katanya lagi, operasi penguatkuasaan diteruskan dari semasa ke semasa, termasuk rondaan di laut, operasi bersepadu dengan agensi-agensi berkaitan termasuk polis marin.
Mohd Hairil berkata, pihaknya sentiasa berwaspada dan mereka yang terbabit jika ditangkap boleh didakwa di bawah Akta Perikanan 1985 yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - KitaReporters

Mohd Hairil (tengah) menunjukkan bubu naga yang akan dilupuskan di Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Malaysia Kuala Kurau, Perak.