
Menyedari kebersihan dan keindahan sekitar pantai amat penting bagi menjaga dan mengelakkan pencemaran laut, Pejabat Perikanan Pulau Pinang dengan kerjasama persatuan nelayan kawasan telah mengambil inisiatif drastik bagi merealisasikan aspirasi tersebut.
Aktiviti membersih pantai Teluk Bahang sempena program 'Pengukuhan dan Transformasi Kumpulan Sasar' ternyata berjaya setelah 128.5 kilogram sampah berjaya dikumpulkan sepanjang program diadakan pada 25 Jun 2025 yang lalu.
Hampir 40 peserta terdiri daripada para nelayan kawasan dan warga kakitangan Pejabat Perikanan turut serta mengutip sampah sepanjang pantai pada hari tersebut.

Ketua Cawangan Pembangunan Perikanan Negeri Pulau Pinang, Nor Haida Ishak berkata program ini bertujuan untuk membersihkan kawasan pantai Teluk Bahang yang sememangnya menjadi tumpuan pelancong.
"Pantai Teluk Bahang dipilih kerana kedudukannya yang strategik dan menjadi tumpuan para pelancong. Di samping itu ia juga berdekatan dengan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Pantai Kerachut.
"Aktiviti sebegini juga dapat mengeratkan lagi silaturahim antara komuniti nelayan setempat dan warga Pejabat Perikanan Pulau Pinang," ujar beliau.

Selain itu tambahnya, aktiviti ini juga untuk mengelakkan pencemaran di laut kerana pencemaran boleh mengganggu ekosistem dan hidupan laut.
Katanya lagi, jumlah kutipan sampah yang banyak sehingga 128 kilogram membuktikan betapa pentingnya kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar bagi pesisiran pantai.
Sejajar dengan itu, program sebegini harus dilipatgandakan supaya ia dapat memanfaatkan manusia dan juga hidupan laut. - KitaReporters

