Alam & Sains 20 Jun, 2025

Amaran kepada pengguna vape! Kes keracunan meningkat mendadak! Ada dadah sintetik jenis baharu!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: awangani@gmail.com

Share this


Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang melalui Perkhidmatan Khidmat Nasihat Keracunan telah merekodkan peningkatan mendadak panggilan kes keracunan akibat pendedahan kepada vape yang disyaki mengandungi bahan terlarang sejak 2022.

Dapatan ini membuktikan keperluan mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan segera mengekang lebih ramai lagi anak muda bangsa Malaysia daripada menjadi mangsa penagihan bahan terlarang khususnya dadah jenis baharu seperti kanabinoid sintetik yang dikesan dalam cecair vape.

Menurut kenyataan media, berdasarkan data PRN, sebanyak 76 panggilan berkaitan kes pendedahan vape disyaki mengandungi bahan terlarang telah dirujuk antara 2020 hingga 2024 dengan lonjakan ketara bermula tahun 2022 iaitu sebanyak 65 peratus (17 kes) daripada jumlah kes pendedahan vape pada tahun tersebut.



Kes-kes ini meningkat saban tahun dengan 79 peratus (27 kes) pada tahun 2023, dan 68 peratus (26 kes) pada tahun 2024.

Kenyataan itu menyebut, majoriti kes 81 peratus melibatkan vape yang didakwa sebagai Magic Mushroom Vape dengan kebanyakan kes membabitkan remaja berusia 15-19 tahun (41 peratus) dan awal dewasa 20 tahun (53 peratus), membuktikan trend ini semakin membarah dalam kalangan generasi muda.

“Kebanyakan pesakit tersebut mengalami gejala seperti sawan, pengsan, muntah dan juga gejala psikiatri seperti halusinasi, delusi dan perubahan sikap termasuk bertindak agresif.

“Sebahagian besar kes menunjukkan gejala keracunan serius walaupun dengan satu dua sedutan sahaja, pesakit mengalami sawan dan tingkah laku tidak normal yang boleh membahayakan diri sendiri serta orang sekeliling,” katanya dalam kenyataan pada 4 Jun 2025.

Rentetan daripada dapatan tersebut, PRN telah menjalankan analisis terhadap beberapa sampel cecair vape yang didakwa mengandungi Magic Mushroom dan mendapati kandungan sebenarnya adalah dadah sintetik yang boleh menyebabkan keracunan teruk sehingga membawa maut.

“Ini membuktikan vape sangat mudah dimanipulasi dan tanpa kawalan ketat, ia membuka ruang kepada penyalahgunaan dadah berbahaya dalam masyarakat. Remaja menjadi sasaran utama penjualan produk ini kerana akses mudah melalui platform dalam talian yang sukar dikawal,” ujarnya.



Kenyataan itu menyebut, peningkatan kes keracunan vape membuktikan keperluan segera untuk penguatkuasaan secara segera oleh pihak kerajaan melalui Akta 852 serta sokongan kuat pada peringkat negeri. 

Usaha beberapa negeri yang telah dan bakal mengharamkan penjualan dan penggunaan vape wajar disokong sepenuhnya demi melindungi generasi muda daripada ancaman dadah terbaharu yang sukar dikesan dan semakin berleluasa.

Katanya, PRN menggesa agar semua kerajaan negeri dapat bersatu dan bersepakat melaksanakan pengharaman penjualan produk vape dengan kadar segera.

Fenomena penyalahgunaan bahan terlarang melalui aktiviti menghisap vape bukan lagi isu terpencil, sebaliknya ia menjadi satu krisis kesihatan awam yang memerlukan tindakan segera dan bersepadu.

Statistik PRN membuktikan peningkatan kes yang membimbangkan, khususnya dalam kalangan remaja dan dewasa muda. Pengharaman vape di peringkat negeri adalah langkah kritikal bagi membendung penularan dadah baharu ini dan melindungi masa depan rakyat Malaysia daripada bahaya yang tidak kelihatan tetapi sangat merosakkan. - KitaReporters


13
14
0
13
0
You will be interested