Mahkamah Sesyen Kangar menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap seorang wanita mengandung yang mengaku bersalah pada 2 Jun 2021 menyebarkan berita tidak benar.
SEORANG wanita mengandung didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Kangar pada 2 Jun 2021 selepas mengaku bersalah sebarkan berita palsu menerusi aplikasi WhatsApp.
Memetik
laporan Utusan Malaysia, tertuduh, Norjannah Rusli, 28, didakwa melakukan kesalahan
itu pada jam 10.31 pagi di Kampung Belukar, Arau, Perlis pada 18 April 2021
yang boleh datangkan kebimbangan kepada orang awam.
Ibu kepada
dua anak itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa
di hadapan Hakim, Musyiri Peet dan dia merupakan individu pertama di Perlis dituduh di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa
Perlu) 2021 sejak berkuat kuasa 11 Januari 2021 lalu.
Pertuduhan
dibuat di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No.2) 2021
yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tidak
lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Mengikut
kertas pertuduhan, tertuduh didakwa muat
naik status yang merupakan berita palsu berhubung penularan Covid-19 dalam
kalangan pelajar sekolah di Guar Nangka, Arau dalam aplikasi WhatsApp menggunakan nombor
telefon didaftarkan atas namanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwa Raya negeri, Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh yang sedang mengandung 28 minggu diwakili peguam, Zuhair Ahmad Zakuan serta dibantu oleh peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Che Ahmad.
Terdahulu,
Mohd Nordin telah membuat permohonan kepada mahkamah agar denda maksimum iaitu
RM100,000 dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran agar tidak sebarkan
berita palsu sewenangnya.
Namun
bagaimanapun, Zuhair Ahmad merayu agar anak guamnya dikenakan denda pada kadar
minimum memandangkan itu kesalahan pertama dan perbuatan dilakukan atas dasar kebimbangan
dirasakan sebagai seorang ibu.
Selepas
mendengar permohonan daripada kedua-dua belah pihak, Musyiri menjatuhkan
hukuman denda sebanyak RM5,000 atau penjara selama lima bulan jika gagal
membuat pembayaran dan tertuduh kemudian membuat pembayaran tersebut dan dibebaskan. - KitaReporters
Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter