Alam & Sains 10 Sep, 2024

Henry, bapa kepada lebih 10k anak dengan enam pasangan! Buaya tertua di dunia! Berusia 123 tahun!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this

HENRY diiktiraf sebagai buaya tertua di dunia yang berusia 123 tahun. - Kredit foto: World History


Baru-baru ini media utama melaporkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor berjaya merakam imej seekor buaya menerusi dron di Taman Tasik Seksyen 7, Shah Alam yang menggemparkan orang ramai.

Namun, kepantasan pasukan Perhilitan Selangor memasang perangkap dengan beberapa strategi membolehkan buaya tembaga jantan sepanjang 1.68 meter dan seberat 20 kilogram itu berjaya ditangkap, sekali gus memberi kelegaan kepada penduduk di sekitar kawasan tersebut.

Pengarahnya, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, buaya sepanjang 1.68 meter dengan berat 20 kilogram itu dianggarkan berusia antara tiga ke lima tahun.


BUAYA yang berjaya ditangkap di Taman Tasik Seksyen 7 ini masih terlalu muda jika dibandingkan dengan Henry. - Kredit foto: Harian Metro


Ternyata reptilia itu masih terlalu muda berbanding Henry, seekor buaya besar berukuran 4.9 meter seberat 700kg yang telah diiktiraf secara rasmi oleh Guinness World Records sebagai buaya tertua di dunia pada usia 123 tahun.

Menurut Pusat Konservasi Crocworld di Scottburgh, Afrika Selatan iaitu lokasi Henry menetap sejak 30 tahun lalu, buaya itu telah melahirkan lebih 10,000 ekor anak dengan enam pasangan buaya betina.

Henry sangat dikagumi dari jarak yang selamat di pusat konservasi tersebut, jauh dari masa lalunya yang ganas. Ia juga terkenal dengan saiznya yang besar dan taring yang menakutkan.

Berdasarkan rekod, Henry dilahirkan pada 16 Disember 1900 di Delta Okavango, Botswana sebuah lokasi yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.


WALAUPUN telah berusia 123 tahun, rahang dan gigi Henry masih kelihatan menyeramkan.


Pada awal 1900-an, Henry dipercayai telah menjadikan ramai kanak-kanak dari suku tempatan Botswana sebagai mangsanya. Kecewa dengan tingkah laku mautnya, suku itu kemudian meminta bantuan pemburu terkenal, Sir Henry Neumann pada tahun 1903. 

Bagaimanapun daripada membunuh Henry, Neumann memilih untuk menangkapnya dan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada buaya itu.

Malah, ia turut digelar Henry sebagai penghargaan buat Neuman yang berjaya ‘menjinakkan’ reptilia tersebut.

Dikenali sebagai buaya Nil atau nama saintifiknya Crocodylus niloticus, jenis buaya seperti Henry boleh ditemui di 26 buah negara di kawasan Sub-Sahara Afrika. Ia terkenal dengan sifat agresif yang mendiami pelbagai persekitaran akuatik termasuk tasik, sungai dan paya. 

Kekejaman reptilia itu menyebabkan banyak haiwan menjadi mangsanya termasuk kuda belang dan landak. Malah, beratus-ratus manusia turut menjadi ‘santapannya’ saban tahun. 

Fuh, sungguh mengerikan! – KitaReporters


BUAYA jenis Nile atau nama saintifiknya Crocodylus niloticus terkenal sebagai pemangsa yang ganas.
17
13
0
12
0
You will be interested