BAGI yang tengah rungsing memikirkan bilalah COVID-19 akan berakhir, bilalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan ditamatkan, diharap bertenang dan mengambil nafas panjang, kerana tidak siapa pun boleh tahu secara pasti, bila masalah ini akan selesai, hatta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pun tidak dapat menyatakannya kerana ia bergantung kepada keadaan wabak. : KitaReporters
Sesi temu bual Dr Nurul Yaqeen bersama Tun Dr Mahathir. - Kredit foto - FB Che Det Official
BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila ditanya dalam satu temu bual secara langsung pada Jumaat, 17 April 2020 berkata, beliau percaya COVID-19 tidak mudah dihentikan dalam jangka pendek.
Walaupun vaksin wabak ini berupaya ditemui kelak, ia masih memerlukan tempoh sekurang-kurangnya enam bulan lagi untuk melihat keberhasilannya.
“Untuk mengeluarkan vaksin juga perlu mengambil masa sekurang-kurangnya 18 bulan dengan kesannya boleh diketahui dalam tempoh enam bulan selepas itu dan semua ini mengambil masa, ” katanya dalam temu bual yang disiarkan melalui program bual bicara bersama Pakar Perunding Perubatan dan Paru-Paru Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa.
Temu bual itu disiarkan secara langsung melalui Facebook, Tun Dr Mahathir.
Menjawab soalan Dr Nurul Yaqeen, Tun Dr Mahathir berkata, tempoh penamatan PKP masih belum boleh dimuktamadkan kerana peperangan menamatkan wabak COVID-19 memerlukan masa yang panjang.
Sehubungan itu, rakyat perlu faham dan menerima hakikat perkara ini.
"Tiada satu tempoh masa yang boleh diisytiharkan bahawa Malaysia bebas sepenuhnya daripada wabak itu buat masa ini.
"Saya berpendapat kita akan menghadapi wabak ini agak lama dan kita tidak boleh tentukan sekian hari bulan untuk tamatkan perintah kawalan kerana vaksin belum ditemui menyebabkan virus masih boleh merebak," ulas beliau.
Pada masa sama, Tun Dr Mahathir berkata, dalam situasi kini, kaedah ‘try & error’ antara pendekatan yang diguna pakai untuk melihat sama ada sesuatu inisiatif pelaksanaan itu mampu berkesan dalam mendepani COVID-19, kerana ini adalah kali pertama negara berdepan ancaman seperti ini.
Menurut beliau lagi, wabak itu pertama kali kita alami yang diklasifkasikan sebagai pandemik, membabitkan penularan secara meluas ke seluruh dunia dengan pantas.
Berlaku sebelum ini ialah wabak endemik yang jangkitannya terhad di kawasan tertentu sahaja.
Ini kali pertama kita lalui wabak yang memerlukan pelaksanaan lock down di seluruh negara dan jangkitannya meluas sehingga ke seluruh dunia.
Mengenai jangkitan di Eropah terutama di Amerika, Itali dan Sepanyol yang semakin meluas dan sukar dikawal berbanding di China dan Korea yang berjaya mengawal dalam masa lebih singkat, katanya ia disebabkan budaya masyarakat yang berbeza.
Di China dan Korea, rakyat patuh dan lebih berdisiplin berhubung arahan pemerintah, tetapi di negara maju seperti Barat, mereka lebih berpegang kepada hak kebebasan, menganggap tidak boleh dipaksa mengikut sesuatu arahan kerajaan.
Mereka fikir negara mereka lebih maju, lebih banyak kelengkapan dan lebih tahu apa yang haruskan lakukan, tetapi dengan tiada sifat disiplin dan semangat kerjasama, mereka tidak begitu berjaya mengawal pandemik, dan akhirnya mecatatkan kematian yang lebih ramai.
Laporan terkini merokodkan pada Jumaat, 17 April 2020, wabak itu membunuh hampir 100,000 orang di Eropah, termasuk 22,170 di Itali, 19,315 di Sepanyol, 17,941 di Perancis dan 13,759 di Britain. Kematian di Amerika Syarikat terus meningkat kepada 33,286 orang dengan jumlah kes positif COVID-19 sebanyak 671,425 orang.
Sedangkan di China, dengan amalan lockdown, rakyatnya patuh berada di rumah selama dua bulan dan jangkitan berjaya dikurangkan.
Sehingga 17 April 2020, sebanyak 83,756 kes dan 4,636 kematian dilaporkan di China dengan kebanyakan dari Wuhan dan sekitar wilayah Hubei.
"Ini menunjukkan kemudahan peralatan saja tidak menjanjikan kejayaan tanpa disiplin rakyat seluruhnya," ujar beliau.
Selain itu, pendekatan China dan Korea yang lebih tegas dalam pengawalan dengan pelaksanaan hukuman dan deraan, menyebabkan rakyat patuh.
Langkah yang perlu kita amalkan sekarang adalah kaji dan amalkan cara hidup mengikut kesesuaian untuk mengekang wabak dan jangkitan, walaupun selepas PKP misalnya;
- mungkin boleh keluar rumah tapi kena pakai topeng muka.
- setiap tindakan sama ada perlu ditamat atau dikekalkan (PKP) kena mengambil masa kerana kita masih dalam percubaan.
- Kena kaji betul-betul dan tidak boleh gopoh. "Contoh, kalau ekonomi merosot dan kita tamatkan PKP, tiba-tiba wabak berkembang semula seperti di Sweden, jadi semua ini adalah perancangan ‘try & error’, kalau tindakan kita itu menjadi lebih buruk kesannya, maka perlu dibatalkan keputusan berkenaan.
Selain itu, Tun Dr Mahathir berkata, selepas PKP sekali pun orang ramai tidak boleh keluar bekerja secara bebas seperti sebelum ini, tetap kena mengikut peraturan tertentu kerana masih dalam proses pengawalan, mungkin hanya bahagian tertentu boleh dilonggarkan misalnya;
- yang bekerja tidak membabitkan ramai orang seperti bahagian penggunaan robotik, mungkin boleh diteruskan dan lain daripada itu sebolehnya amalkan berkerja dari rumah, mereka sebolehnya melakukan kegiataan atau kerja konsep dalam talian (online) yang tidak memerlukan urusan bersemuka secara langsung.
- Banyak bidang boleh mengamalkan kaedah online, termasuklah dalam pengajian, jual beli dan sebagainya. Perniagaan atau jualan dalam talian sebenarnya lebih tepat pada masa kini berikutan pasaran produk boleh meluas ke seluruh dunia, berbanding cara lama yang terhad di satu tempat sahaja.
- Demi mengekang jangkitan COVID-19, kawalan orang ramai ke pasar raya perlu terus dilaksanakan.
Sehubungan itu, mari kita sama-sama fahami akan maksud kata-kata Tun Dr Mahathir dan mengamalkan tanggungjawab masing-masing dengan;
- mengikut arahan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan melalui PKP.
- tanamkan sikap berdisplin, duduk di rumah.
- tidak keluar berkumpul ramai-ramai.
- interaksi mengikut konsep penjarakan sosial.
- tidak menyertai kegiatan perhimpunan.
- elak amalan kebiasaan, salam tangan, peluk cium yang membawa kepada jangkitan.
- Keluar rumah untuk urusan penting sahaja, dengan mengikut syarat peraturan.
- Menjaga kebersihan diri seperti kerap membasuh tangan mengikut cara yang telah banyak di ajar.
Perlu diingat:
- Faktor asas kejayaan adalah kesediaan dan kebersamaan rakyat menyokong sepenuhnya PKP dan PKPD sebagai mekanisme pengawalan dalam peperangan asimetrikal menentang COVID-19.
- Pematuhan PKP strategi ampuh perangi COVID-19 - KitaReporters