BARU berusia 11 tahun, namun pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist Kuantan, Pahang berjaya mengharumkan nama negara pada peringkat antarabangsa apabila memenangi pingat emas pada 6th International Innovation Competition in Canada atau Pertandingan Inovasi Antarabangsa Kanada yang ke-6 (iCAN 2021) di Toronto, Kanada melalui ciptaan makanan ternakan yang diberi nama “Yam 2.0”.
Ciptaan Maryam Muzamir yang merupakan makanan haiwan berasaskan sisa makanan terbuang khususnya kulit udang dan cengkerang siput telah berjaya mengalahkan lebih 600 peserta lain dari 70 buah negara untuk memenangi Anugerah Pencipta Muda Terbaik iCAN 2021.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan inovasi
Maryam Muzamir menunjukkan anugerah yang dimenanginya semasa menyertai 6th International Innovation Competition (iCAN 2021) di Toronto, Kanada. - Kredit foto: Straits Times.
Selain memenangi pingat emas, Maryam yang turut menggondol Anugerah Khas Kanada serta Best Young Inventor Award (Anugerah Pencipta Muda Terbaik) iCAN yang menjadi idaman setiap pencipta muda dari seluruh dunia, sekali gus mencipta sejarah sebagai pemenang termuda yang pernah memanangi anugerah itu di pertandingan tersebut.
Menurutnya, idea untuk mencipta makanan haiwan berasaskan sisa makanan tersebut timbul ketika dia bersama keluarga mengunjungi sebuah restoran makanan laut di salah satu pantai sekitar Kuantan di mana dia mendapati banyak sisa bahan buangan terutama kulit udang serta cengkerang siput atau makanan laut lain yang dibuang begitu sahaja di restoran tersebut.
Maryam Muzamir bersama hadiah yang dimenanginya di Toronto, Kanada. - Kredit foto: erabaru.com.my
“Melalui pembacaan beberapa artikel mengenai cengkerang makanan laut, saya dapati bahan terbuang tersebut mengandungi “chitin” iaitu satu kandungan yang baik untuk dijadikan sebagai sumber makanan haiwan dan mula merancang untuk menghasilkan inovasi ramuan sendiri makanan haiwan ternakan.
“Pada Jun tahun lalu (2020) dengan dibantu oleh bapa saya, Dr. Muzamir Hassan yang banyak mendorong usaha ini, kami berbincang dengan pengurusan restoran makanan laut tersebut untuk mendapatkan bekalan kulit udang serta cengkerang yang dibuang sebelum ini dan pihak pengurusan restoran tersebut bersetuju untuk memberikannya kepada kami,” kata anak sulung daripada dua adik beradik itu.
Makanan haiwan ternakan yang berasaskan kulit udang dan cengkerang siput yang diberi nama YAM 2.0 ciptaan Maryam ini berjaya mengondol tiga anugerah pada peringkat antarabangsa. - Kredit foto: erabaru.com.my
Melalui usaha tersebut dia berjaya mengumpul 30 kilogram sisa makanan laut sebelum mencuci dan menjemurnya sehingga kering.
Proses seterusnya adalah mengasingkan kedua-dua bahan tersebut untuk dikisar menjadi sebuk halus selain melalui beberapa percubaan sebelum memperolehi hasil serta kesesuaian yang sepadan untuk dijadikan makanan haiwan ternakan.
Sebelum ini, pada tahun 2020, Maryam telah berjaya memenangi dua pingat emas semasa menyertai Citrex ( Creation, Innovation, Technology & Research Exposition) dan tiga pingat emas menerusi I-RIE (International Research Invention and Innovation Exhibition 2021).
Sementara itu, bapa pelajar tahun lima itu, Dr. Muzamir Hassan berkata, perancangan seterusnya mungkin untuk mendapatkan Maryam geran penyelidikan bagi membolehkan anaknya mengorak langkah mengkomersialkan produk ciptaannya itu.
Pingat emas yang dimenangi Maryam. - Kredit foto: erabaru.com.my
Anugerah Pencipta Muda yang menjadi idaman pencipta muda seluruh dunia. - Kredit foto : erabaru.com.my
Anugerah Khas yang dimenangi melalui penyertaan YAM 2.0 di iCAN 2021 di Toronto, Kanada. - Kredit foto: erabaru.com.my
“Melalui pemerhatian saya, inovasi ini mampu mengatasi masalah sumber makanan ternakan haiwan daripada jagung yang lebih mahal berbanding kos menghasilkan Yam 2.0 yang jauh lebih rendah.
“Malah Yam 2.0 sesuai untuk dijadikan makanan haiwan ternakan seperti ayam, kambing, ikan dan khinzir dan disebabkan produk ini mampu menjimatkan kos serta mengawal kos pengeluaran di rantaian bekalan, maka Yam 2.0 merupakan penyelesaian berpatutan yang berkualiti tinggi,” kata Dr Muzamir yang tidak mahu anaknya berhenti berusaha untuk terus melangkah maju. -KitaReporters
Kejayaan Maryam pada peringkat antarabangsa membuktikan negara tidak ketandusan bakat dalam bidang inovasi. - Kredit foto: erabaru.com.my