Alam & Sains 05 Jul, 2021

Muhammad Azfar pilih kerjaya sebagai pilot dron! Bantu petani sawah tingkatkan hasil pengeluaran!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this

Penggunaan dron untuk meracun dan membaca di sawah semakin menjadi pilihan petani di daerah Besut.


PEREDARAN zaman yang satu ketika dahulu banyak kerja dilakukan secara tradisional, secara manual kini sudah beralih kepada penggunaan teknologi moden membolehkan ia dilakukan dengan pantas, di samping menjimatkan masa serta kos.

Penggunaan teknologi dron untuk kerja-kerja menyembur racun dan membaja di sawah kini semakin mendapat permintaan tinggi dalam kalangan petani kerana ia mudah, cepat dan berkesan.

Tidak hairanlah ketika ini semakin ramai anak muda memilih kerjaya untuk menjadi pengendali dron bagi mencari sumber rezeki kerana tugasan tersebut tidak perlu bermain dengan lumpur di sawah.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan dron

Muhammad Azfar Fahmi Mohd Aziree


Seorang pemuda, Muhammad Azfar Fahmi Mohd Aziree, 21, dari Kampung Gong Badang, dekat Jertih, Terengganu, adalah antara remaja yang memilih kerjaya sebagai pilot dron untuk mencari rezeki halal dalam kehidupan seharian.

Bermula dengan menggunakan dron untuk menyembur racun dan baja di sawah milik keluarga, dia kini menjadikannya sebagai kerjaya dengan mengambil upah melakukan kerja-kerja tersebut.

Permintaan yang diterima daripada pesawah-pesawah mampu memberi pendapatan lumayan kepada Muhammad Azhar.

Katanya, dia mula menawarkan perkhidmatan dron sejak awal tahun 2021 kerana ia mampu meringankan beban pesawah dan mempercepatkan proses menyembur racun serta baja.


Memasukkan campuran air dan racun sebelum proses menerbangkan dron


“Pengalaman empat bulan bermain dron untuk suka-suka menimbulkan minat untuk beliau mengalihkan hobi kepada kerjaya tetap terutama dalam industri pertanian,” katanya. 

Muhammad Azfar berkata, hasil usaha jimat cermat mengumpul wang, dia akhirnya membeli seunit dron berharga RM33,000 untuk kegunaan meracun.

Katanya, dengan menggunakan dron setiap hari, dia mampu melakukan semburan di kawasan seluas sehingga 10 hektar sawah dengan upah RM30 bagi setiap 0.4 hektar (1 ekar).


Muhammad Azfar membuat pemeriksaan terhadap dron sebelum melakukan penerbangan


"Permintaan menyembur racun dan baja turut meningkat ketika tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kerana mungkin ramai petani lebih berhati-hati dan bimbang penularan wabak COVID-19,” katanya.

Katanya, kebaikan teknik semburan menggunakan dron adalah ia lebih rata dan cepat, sekali gus meningkatkan hasil pengeluaran padi berbanding semburan biasa.

Berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan masih bujang, dia tidak menyesal memilih kerjaya sebagai pilot dron kerana sekurang-kurangnya dapat membantu petani di sekitar daerah Besut.


Kemahiran menggunakan alat kawalan penting bagi memastikan dron terbang mengikut arahan laluan


Bagi keluasan sawah seluas 0.4 hektar, kerja penyemburan memerlukan anggaran tujuh minit berbanding cara konvensional iaitu antara sejam hingga dua jam,” katanya menambah kaedah penggunaan dron dapat mengoptimumkan rawatan tanaman, sekali gus meningkatkan kualiti pengeluaran padi dan mengurangkan kos serta tenaga.

Katanya, ketika ini, beliau mengambil pendekatan menggunakan promosi menerusi media sosial untuk hebahan kepada petani yang memerlukan perkhidmatan dron.

Mereka yang memerlukan perkhidmatan boleh menghubungi Muhammad Azfar menerusi talian 011-26016659. - KitaReporters

Muhammad Azfar mengubah suai bahagian belakang kereta Myvi untuk membawa peralatan dron masuk ke sawah

34
8
2
2
2
You will be interested