Alam & Sains 24 May, 2022

Mencari yang halal toyyiban! Suami isteri usahakan fucuk dan tauhu! Berhenti kerja jadi usahawan!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this

Norlina Abdullah tekun mengeringkan fucuk yang dihasilkan di bengkel di rumahnya


SUASANA ekonomi negara yang dilihat semakin 'mengundang' ketidakstabilan kewangan rakyat membawa pelbagai implikasi yang ada ketikanya di luar jangkaan kita. 

Semua orang terkesan terutama golongan berpendapatan sederhana dalam kalangan keluarga B40. Tidak terkecuali pemegang ijazah yang masih tercari-cari sumber pendapatan kekal untuk keluarga.

Nak kerja? Ada kerja kosong? Berniaga sendiri atau hasilkan produk sendiri bagi menjana pendapatan keluarga. Ada modal, pengalaman, pengetahuan dan sumber tenaga boleh membuka ruang dan peluang untuk mula berniaga.

Lagi cerita-cerita menarik berkaitan mereka bergelar usahawan

Mohd Shamsul Dzuhal dan Norlina Abdullah mengusahakan pembuatan fucuk dan tauhu di rumahnya di Taman Jaya, Gunung Jaya, Jerantut.


Tidak terkecuali seorang bekas pengurus pasar raya yang sanggup berhenti kerja demi membuka perniagaan sendiri untuk menjana pendapatan keluarga.

Mohamad Shamsul Dzuhal, 44, yang memiliki Diploma Pengajian Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan isterinya Norlina Abdullah, 39, yang mempunyai Diploma Perakaunan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) membuat keputusan berhenti kerja dari sebuah bank untuk menceburi bidang perniagaan.

Walaupun jenis perniagaannya tidak begitu 'glamor' iaitu membuat fucuk, tauhu serta air soya, namun ia bukan alasan untuk  bersikap merendah diri, sebaliknya menjadikannya lebih bersemangat dan terkenal kalangan penduduk setempat.

Mohamad Shamsul berkata, perniagaan itu bermula sejak empat tahun lalu selepas berhenti kerja tanpa menyangka produk mereka mendapat sambutan.

“Ia bermula ketika saya mendapati agak sukar untuk mendapatkan sayur fucuk dan tauhu yang diusahakan oleh golongan bumiputera dan yang tidak diragui status kebersihannya.



“Justeru saya mengambil keputusan mengikuti kursus hasilan soya di Sri Kembangan, Selangor daripada bekas pensyarah UPM, Bahagian Makanan.

“Selepas tamat kursus saya membuat produk itu secara kecil-kecilan di rumah setiap hujung minggu dan ternyata mendapat sambutan sangat menggalakkan kalangan masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Paya, Gunung Jaya, Jerantut pada Khamis, 19 Mei 2022.

Mereka akhirnya membina bengkel di belakang rumah dan berkat kesabaran, fucuk dan tauhu keluaran mereka menembusi pasaran seluruh daerah Jerantut.

Katanya, proses pembuatan sayur fucuk memerlukan banyak kesabaran kerana mengambil masa hampir sehari suntuk untuk disiapkan.

Mohd Shamsul berkata, proses pembuatan bermula dengan kacang soya direndam semalaman sebelum dihancurkan dan kemudian diperah untuk mendapatkan patinya. 

“Pati itu kemudian dimasak di atas dapur sehingga mendidih sebelum muncul lapisan yang dipanggil 'kepala' iaitu lapisan kuning soya itu yang diangkat dan disidai secara berhati-hati.

Kepala ini akan muncul dipermukaan setiap 12 hingga 15 minit sehingga rebusan soya itu kering sepenuhnya,” katanya.


Proses penghasilan sayur fucuk perlu dibuat dengan teliti dengan ketetapan masa ditetapkan antara 12 hingga 15 minit.

Mohd Shamsul mendapat bantuan mesin daripada Pihak Berkuasa Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) selain sumber kewangan daripada Mara.

Dia juga berhasrat untuk membesarkan perusahaannya serta mencari lokasi lebih selesa kerana kini beroperasi di belakang rumahnya dan dibantu oleh dua orang pekerja.

Semoga usaha Mohd Shamsul dan isterinya memperkenalkan produk 'halal toyyiban' mendapat sambutan menggalakkan sehingga mampu bersaing di peringkat lebih tinggi. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Syabas pengusaha tempatan. - KitaReporters


Proses penghasilan sayur fucuk perlu dilakukan dengan teliti.

14
16
0
10
0
You will be interested