KEGEMUKAN atau obesiti bukan penyakit asing dalam kalangan masyarakat tempatan hari ini. Malah, masalah itu bukan hanya menjadi masalah kepada masyarakat di Malaysia tetapi di seluruh dunia.
Obesiti bukan sahaja melibatkan saiz fizikal tetapi berpotensi mengundang pelbagai penyakit kronik sehingga berisiko membawa maut.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan masalah obesiti
Namun ada segelintir masyarakat kita yang mengambil mudah dalam hal ini dan mahu ‘menyelesaikan’ masalah obesiti ini dengan cara yang mudah dan singkat.
Sayangnya, kaedah yang diambil bukan jalan yang tepat tetapi melalui pengambilan sejenis ubat bagi menurunkan berat badan kononya dapat menoktahkan masalah obesiti yang dihadapi.
Malah pengambilan berkenaan menjadi tular dalam TikTok apabila ada yang menggunakan ubat Ozempic, sejenis ubat cecair yang disuntik ke perut pesakit yang sebenarnya adalah ubat untuk pesakit kencing manis.
Sangat mengejutkan, hasil kuasa tular berkenaan yang menggunakan #ozempic dan #ozempicjourney telah mencecah jutaan tontonan.
Pengambilan ubat berkenaan adalah perbuatan yang salah dan mampu menambahkan risiko kepada pesakit.
Tampil menjelaskan perkara sebenar, ahli farmasi, Lim En Ni dari rangkaian farmasi preskripsi terbesar di Malaysia, Alpro menegaskan pengambilan suntikan ubat berkenaan memberi lebih banyak risiko daripada penawarnya kerana Ozempic sepatutnya digunakan untuk merawat pesakit kencing manis tahap dua.
Katanya, Semaglutide, sejenis ubat yang dijual dengan nama jenama lain termasuk Ozempic, merupakan sejenis ubat antidiabetes yang digunakan untuk rawatan diabetes tahap dua.
"Di Amerika Syarikat (AS), Ozempic digunakan untuk pengurusan berat badan jangka panjang, namun pengambilan Ozempic bukanlah penyelesaian kerana ia adalah ubat preskripsi untuk pesakit kencing manis tahap dua yang memerlukan pesakit untuk mendapatkan semakan perubatan yang lengkap.
“Pengambilan dos Ozempic atau ubat preskripsi lain yang sama secara berlebihan boleh menyebabkan berlakunya hipoglisemia, masalah kandungan gula dalam darah yang rendah, yang berisiko membawa kepada lebih banyak masalah kesihatan,” katanya.
Lebih parah, pengambilan ubat berkenaan turut memberi kesan sampingan termasuklah rasa mual, muntah-muntah, cirit birit, sakit perut dan sembelit.
Bukan itu sahaja katanya lagi, kesan sampingan lain yang mungkin berlaku termasuk pankreatitis, perubahan dalam penglihatan, kandungan gula dalam darah yang rendah, kegagalan fungsi buah pinggang dan masalah hempedu.
En Ni menambah, Ozempic bukan untuk kegunaan pesakit obesiti tetapi adalah penawar kepada penghidap kanser kelenjar tiroid atau sesetengah gangguan endokrin.
Katanya tiada jalan mudah untuk menurunkan badan namun ia boleh diselesaikan melalui cara hidup dan pengubahsuaian diet.
Jelasnya diet adalah kunci utama dalam pengawalan berat badan, walaupun ramai yang mengetahui perkara yang ‘wajib’ dilakukan tetapi hanya beberapa sahaja yang berjaya.
“Ini adalah kerana ramai yang memulakan gaya hidup dan diet tanpa perancangan yang betul dan tidak mendapatkan konsultasi dari pakar pemakanan dan ahli dietetik.
“konsultasi yang betul dari pakar pemakanan dan ahli dietetik, kadar penurunan berat badan akan menjadi lebih tinggi.,” katanya. - KitaReporters