Alam & Sains 13 Dec, 2023

Jom tanam pokok gelam! Program Konservasi Hijau: Santuni Komuniti UMT! Ada nilai ekonomi, ekologi!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

Sebahagian sukarelawan yang menyertai program menanam pokok gelam anjuran UMT. - Kredit foto: Media Kreatif UMT


Mungkin ramai pernah menyebut namanya tetapi tidak mengenali pokok gelam yang banyak kegunaannya. 

Pokok gelam atau dikenali juga dengan nama pokok kayu putih atau nama saintifiknya Melaleuca cajuputi daripada famili Myrtaceae merupakan pokok yang mengeluarkan sumber minyak perubatan dipanggil minyak cajuput atau minyak kayu putih. Pokok gelam boleh didapati tumbuh meliar di kawasan terbiar dan berpaya di seluruh Semenanjung Malaysia. 

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi Institut Adaptasi Iklim dan Bioteknologi Marin (ICAMB) UMT menganjurkan program Konservasi Hijau: Santuni Komuniti di Hutan Gelam, di Setiu, Terengganu.


Pelajar UMT dan komuniti kampung yang menyertai program pemindahan ilmu menanam pokok gelam.


Program itu, antara lain memfokuskan berkenaan khasiat yang terkandung dalam pokok gelam atau nama saintifiknya Melaleuca cajuputi.

Selain itu, program yang melibatkan mahasiswa daripada enam universiti tempatan dari seluruh negara ini juga bertujuan memupuk nilai kesukarelawanan dalam kalangan pelajar menerusi pembelajaran luar bilik darjah.

Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, selain mengenali manfaat tumbuhan seperti pokok gelam, ia juga menjadikan mahasiswa sebagai ejen pemindahan ilmu untuk membantu komuniti setempat.

“Kita nak libatkan mahasiswa sebagai ejen pemindahan ilmu. Jadi, ini sebenarnya satu nilai yang baik kita terapkan, bagaimana mahasiswa dengan masyarakat itu berpisah tiada," katanya.


Pelajar UMT menunjukkan pokok gelam dalam semaian untuk ditanam.


Sempen program itu, UMT mengumpul kira-kira 100 sukarelawan untuk menyertai misi menanam semula pokok gelam di daerah Setiu.

Inisiatif itu merupakan tanggungjawab bersama yang harus dipikul oleh setiap individu dalam usaha memelihara flora dan fauna serta ekosistem alam.

Pemilihan pokok gelam dibuat disebabkan mempunyai pelbagai kelebihan dalam keseimbangan ekosistem, berdaun lebat dan tahan kekeringan serta mudah untuk ditanam. Pokok gelam adalah tumbuhan asli Asia Tenggara yang memiliki nilai ekonomi dan ekologi yang tinggi.


Pokok gelam di tapak semaian


Secara tidak langsung usaha yang dilakukan oleh sukarelawan UMT turut memberi kelebihan kepada penduduk sekitar dalam menghasilkan produk berasaskan pokok tersebut.

Kata Dr Mohd Izani, program sukarelawan seperti itu merupakan kegiatan yang baik dalam menyemai ilmu berkaitan penjagaan alam sekitar dan ekosistem kepada masyarakat khususnya pelajar.

“Kita dedahkan kepada pelajar kepentingan penjagaan alam sekitar dan prihatin terhadap perubahan yang ketara berlaku kebelakangan ini.

“Aktiviti kesukarelawanan seperti ini merupakan medan untuk menyemai rasa tanggungjawab setiap individu terhadap alam sekitar selain menyebarkan ilmu berkaitan penjagaan ekosistem alam demi masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang” katanya lagi.


Pelajar bergotong royong menanam pokok gelam di daerah Setiu.


Sementara itu, penyelidik pokok gelam, Prof. Madya Dr. Jamilah Salim berkata, pemilihan pokok gelam itu merupakan sumber semula jadi yang boleh diusahakan tanpa memerlukan modal yang besar.

“Kajian saya berkaitan pokok gelam bermula 1998. Kita dapati bahawa pokok ini berpotensi memberi manfaat kepada komuniti. Ini juga menterjemahkan penyelidikan yang dilakukanoleh  universiti dikembalikan kepada komuniti untuk dimanfaatkan," katanya.


Pokok gelam yang sudah tua


Sementara itu, menurut Prof. Dr. Noraznawati Ismail pula, pelbagai produk boleh diusahakan berasaskan pokok gelam seperti minyak pati. 

“Kita mengambil pendekatan hubung kait antara komuniti dan aktiviti tanaman pokok gelam. Jadi, kita dapati bahawa komuniti yang usahakan tanaman pokok gelam boleh memanfaatkan hasilnya itu melalui penghasilan krim, minyak pati dan produk lain yang mempunyai nilai tinggi di pasaran. 

“Usaha kelestarian alam seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada ekosistem alam, malah menjana peluang ekonomi kepada komuniti setempat,” ujarnya yang juga Ketua Bioinfo, Institut Adaptasi Iklim dan Bioteknologi, UMT. - KitaReporters


Pokok gelam ketika masih dalam semaian

16
14
1
15
0
You will be interested