Alam & Sains 07 Jun, 2022

Video| Bangkit selepas jatuh ketika PKP! Shafawira penuhi permintaan tinggi cendawan tiram kelabu!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this

Shafawira Ramlee memetik cendawan tiram kelabu di Pusat Pertanian Tanah Putih, Pekan sebelum dipasarkan.


Bukan mudah seseorang itu untuk bangun semula selepas jatuh terutama mereka yang terbabit dalam dunia perniagaan. Ada yang kecundang terus tanpa bangkit semula kerana semangat sudah menghilang. 

Namun, ia tidak berlaku kepada pengusaha cendawan tiram kelabu ini apabila nekad untuk teruskan usahanya sehingga titisan akhir keringat tulang empat keratnya itu. 

Selepas tamatnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpunca daripada pandemik COVID-19, usahawan cendawan tiram kelabu, Shafawira Ramlee, 44, tekad menjual hasil taninya itu dalam skala yang lebih besar bagi memenuhi permintaan pelanggan yang gemarkan makanan itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pertanian cendawan

Shafawira Ramlee, 44.



Bekas tukang masak Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP), Tanjung Lumpur, Kuantan, itu berkata permintaan terhadap cendawan yang diusahakan itu menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan. 

Shafawira berkata, situasi itu sedikit sebanyak melegakannya berbanding ketika dalam tempoh PKP yang bermula pada Mac 2020 lalu.

Menurutnya, pelaksanaan PKP amat memberi kesan kepada pengusaha kecil disebabkan hasil pertanian tidak boleh dibawa keluar kerana mematuhi arahan kerajaan.


Shafawira menunjukan cendawan yang dituai antara 10kg hingga 20kg setiap hari di di Pusat Pertanian Tanah Putih, Pekan.


“Sebelum PKP, saya tidak menang tangan penuhi permintaan pelanggan terutama pemborong, pengusaha kedai makan dan restoran sekitar daerah ini, Kuantan dan Rompin. Bagaimanapun selepas pelaksanaan PKP 1.0, perniagaan saya jatuh teruk dan menanggung kerugian yang agak besar juga kerana cendawan yang dituai tidak dapat dipasarkan.

“Walaupun berlaku kelonggaran ketika PKP 2.0 dan 3.0, masalah lain pula timbul seperti banjir dan pengeluaran hasil yang terhad,” katanya ketika ditemui di rumah cendawan miliknya di Pusat Pertanian Tanah Putih, Pekan, Pahang pada Ahad, 5 Jun 2022.




Shafawira berkata, dia kini mempunyai lebih 20,000 bongkah cendawan tiram kelabu yang ditempatkan dalam empat rumah cambah dan 12,000 bongkah lagi di rumah peram dengan penuaiannya bergantung pada keadaan cuaca, pengaliran udara, suhu dan tahap kelembapan rumah.

Dua elemen utama yang paling penting bagi tanaman cendawan tiram adalah perlu memastikan kelembapan tidak kurang daripada 80 peratus dan suhu tidak melebihi 30 darjah celcius.

Katanya, aktiviti menyiram dilakukan dua kali sehari bagi mengelakkan benih dalam beg mati jika suhu dalam rumah simpanan panas.


Cendawan tiram kelabu sedia untuk dituai


Setiap hari antara 10kg hingga 20kg dituai dan dijual pada harga borong RM15 sekilogram dan harga runcit RM24 sekilogram,” katanya yang turut menjual bongkah cendawan pada harga RM2 seunit. 

Menurutnya, bongkah cendawan dihasilkan daripada tiga bahan utama iaitu habuk kayu getah, dedak padi dan kapur pertanian serta sedikit air yang disebatikan menggunakan mesin pengisar. 

Bahan itu kemudiannya dimasukkan ke dalam plastik sebelum dikukus selama lapan jam dengan suhu antara 97-98 darjah celsius menggunakan pengukus elektrik khas yang boleh memuatkan 1,260 bongkah pada satu-satu masa. 

Selepas itu, bongkah cendawan akan disejukkan selama 24 jam dan disimpan dalam bilik dilengkapi pendingin hawa sebelum  proses memasukkan benih cendawan.


Beginilah rupa serbuk kayu getah yang sudah diproses sebelum dijadikan bongkah cendawan.


Katanya, proses penuaian dilakukan selepas cendawan mula matang dalam tempoh 50 hari diikuti proses pembungkusan dan terus dihantar kepada pelanggan. 

“Cendawan yang dituai tidak boleh disimpan lama kerana kualitinya akan terjejas dan dianggap tidak profesional sekiranya teruskan juga jualan.

“Projek tanaman cendawan tiram kelabu ini berpotensi dikomersilkan secara lebih meluas tetapi individu yang berminat perlu mengikuti kursus untuk mendalami ilmu berkaitan tanaman ini sepenuhnya,” kata suami kepada Siti Nurzafirah Zainal Abidin, 29.


Benih cendawan yang akan dimasukkan ke dalam bongkah


Shafawira berkata, sokongan dari Pejabat Pertanian Pekan menambahkan lagi semangatnya meneruskan projek itu yang diusahakan arwah bapanya, Ramlee Awang sejak 20 tahun lalu.

“Saya mengambil alih projek ini pada 2018 dengan jumlah 20,000 bongkah cendawan dan berusaha untuk perluaskan lagi projek tanaman cendawan ini. 

“Saya akan memastikan pengeluaran cendawan ini mampu menghasilkan tuaian yang mencukupi bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat sejak tamat PKP,” katanya.


Shafawira menunjukkan perbezaan bongkah cendawan tiram kelabu yang belum disuntik benih (kiri) dan beberapa hari selepas disuntik (bongkah warna putih) benih.


Menurutnya, permintaan pasaran terhadap cendawan semakin meningkat juga berkemungkinan adanya beberapa projek hiliran yang dijalankan seperti kerepek cendawan, popia cendawan dan cendawan goreng.

"Selain itu, saya juga masih dalam proses kajian dan penyelidikan untuk menghasilkan serbuk cendawan pula seperti tepung serbaguna untuk perapan dan makanan bergoreng.

"Saya kini berusaha meluaskan lagi pasaran dengan menghantar ke pejabat kerajaan, kedai makan dan restoran, selain jualan secara dalam talian juga dilakukan menerusi laman sosial, Facebook," katanya yang mengutip hasil dua kali sehari dengan bantuan lima pekerja.


Cendawan yang baru dituai terus dibungkus sebelum dihantar kepada pelanggan.


"Dalam sehari, saya mampu memproses sehingga 500 bongkah cendawan dan setiap bongkah hanya boleh digunakan dalam tempoh  empat bulan sebelum digantikan bongkah baharu," katanya.

Shafawira juga menyediakan khidmat nasihat, bimbingan, kursus dan bengkel kepada individu yang berminat menyertai projek ini yang boleh menjana pendapatan lumayan jika diusahakan secara konsisten.

"Saya harap mereka yang kehilangan kerja masih boleh teruskan usaha menjana semula pendapatan dengan menceburkan diri pelbagai bentuk perniagaan termasuk menyertai projek tanaman cendawan,” katanya.

Shafawira berkata, sokongan daripada Jabatan Pertanian Negeri Pahang (JPNP), Pejabat Pertanian Daerah Pekan, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menambahkan lagi semangatnya meneruskan projek itu dalam skala yang lebih besar.


Shafawira sedang melakukan R&D ke atas cendawan yang kurang berkualiti atau mati untuk diproses menjadi serbuk tepung serbaguna.


”Saya berterima kasih kepada Pegawai Pejabat Pertanian Daerah, Abdul Halim Jamaludin yang sentiasa membantu menyediakan kemudahan diperlukan dan bantuan khidmat nasihat serta sokongan moral untuk saya teruskan projek ini,” katanya.

Jom jana pendapatan dengan mengusahakan projek tanaman cendawan. Buat di rumah sendiri pun boleh terutama yang ada halaman luas dan rimbunan pokok sebagai peneduh. Nak seribu daya tak nak seribu dalih. Anda usaha anda beroleh hasil. - KitaReporters


Shafawira menunjukan cendawan yang sudah boleh dituai di Pusat Pertanian Tanah Putih, Pekan.

12
13
0
11
0
You will be interested