Ribuan pengunjung membanjiri kawasan cerapan di Taman Milenium, Kuala Kubu Bharu untuk memerhati planet dan bulan menggunakan peralatan teropong, teleskop dan kamera.
JAM 5 petang, persekitaran Taman Milenium, Kuala Kubu Bharu (KKB), Selangor riuh rendah dengan kehadiran pengunjung sempena Kuala Kubu Bharu in-house Star-Fest 2023 (KKB Star-Fest 2023),. Masing-masing sibuk membuat persiapan seperti membina khemah untuk bermalam di kawasan itu.
Tidak sampai dua jam, persekitaran Taman Milenium penuh dengan pelbagai jenis khemah, kecil dan besar. Dianggarkan seramai 2,000 pengunjung hadir sempena KKB Star-Fest 2023 yang julung kali diadakan di daerah Hulu Selangor.
Pemandangan indah di langit sekitar Taman Milenium, Kuala Kubu Bharu yang dipenuhi taburan pelbagai jenis bintang.
Apabila malam membuka tirai, acara bermula dengan penayangan video berkonsepkan sains angkasa dan kubah planetarium mula beroperasi. Suasana sunyi sepi, hanya kedengaran suara berbisik dan batuk-batuk kecil. Pandangan mereka ditumpukan ke langit yang penuh dengan taburan bintang dan bulan sabit.
Orang ramai yang memasang teleskop menghalakan peralatan itu ke atas untuk memerhati bintang di langit.
Menjelang 8.30 malam, keadaan di Taman Milenium kembali rancak apabila pelbagai aktiviti lain diadakan. Turut diadakan, Kursus Pemandu Pelancong Astronomi (Astro-guide)
Nurul Fatini Jaafar
Pengurus Unit Program Sahabat Langit Utara (SALUT), Nurul Fatini Jaafar, berkata sesiapa yang berada di Taman Milenium ketika itu pasti merasakan keterujaan dan seronok melihat suasana orang ramai ketika itu yang mahu menyaksikan sesuatu yang menarik di langit.
Beliau turut gembira dengan sambutan orang ramai sempena KKB Star-Fest 2023 yang kali pertama diadakan. Ia dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bersama SALUT dan International Astronomical Union Office of Astronomy for Development (IAU-OAD).
Kanak-kanak paling teruja sepanjang berlangsung program KKB Asto-Fest 2023. - Kredit foto: Mohd Safuan Salahuddin.
"Usaha MPHS membangkitkan minat masyarakat dalam bidang astropelancongan dan menyokong matlamat pembangunan pembangunan mampan di Hulu Selangor ternyata membuahkan hasil. Kehadiran bukan sahaja dari Kuala Lumpur dan Selangor tapi Kedah, Melaka dan Pahang.
"Alhamdulillah, saya mewakili SALUT berbangga dengan usaha menganjurkan KKB Star-Fest 2023 kerana kehadiran orang ramai amat menggalakkan. Insya-Allah hasrat MPHS mahu menjadikan daerah Kuala Kubu Bharu sebagai astropelancongan hotspot akan menjadi kenyataan," kata Fatini.Khemah pelbagai saiz yang didirikan pengunjung untuk meraikan program KKB Astro-Fest 2023.
KKB in-House Star-Fest 2023 dirasmikan oleh Orang Besar Daerah Hulu Selangor, Datuk Muzaffar Redzwa. Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua MPHS, Awaluddin Zakaria; Pegawai Kewangan & Prasarana MOTAC Selangor, Awang Daik Mohd Nor; dan Eksekutif Tourism Selangor, Mohammad Hafiz Ismail dan Mohd Izzul Izzat Mohd Moktar.
Sebelum tengah malam, pengunjung menggunakan teleskop untuk memerhati bulan separa dan planet Musytari yang jelas kelihatan.Di khemah utama, berlangsung acara "Astro-bite" sesi bercerita mengenai kisah-kisah kosmologi dan haiwan yang aktif di waktu malam (haiwan nokturnal), antaranya tapir, burung hantu, kelawar dan koala.
Seorang remaja berwarna wajahnya dengan pelbagai planet bagi meraikan KKB Asto-Fest 2023.
"Bagi memeriahkan KKB Star-Fest 2023, penganjur memberi beberapa soalan kuiz kepada pengunjung dan mereka yang memberi jawapan tepat mendapat hadiah tajaan MPHS, Persatuan Falak Syar'i Malaysia dan Rewild Desaru.
"Orang ramai juga boleh membeli peralatan pemerhatian berkaitan astronomi seperti kamera, teleskop dan permainan kad astronomi. Pengunjung juga mengambil peluang mengecat wajah, mencantin batik, astrofotografi dan mengambil gambar cahaya malap."Bertemankan ahli etnoastronomi yang menjadi penglipur lara, pengunjung mendapat cerita lebih lengkap mengenai buruj-buruj dan bintang-bintang utama seperti buruj Orion, Taurus, Gemini, Canis Major dan Canis Minor, selain mendengar kisah rakyat yang berlatarkan buruj di Alam Melayu.
"Acara kemuncak ialah memerhati (cerapan) hujan meteor Orionid. Pengunjung boleh memerhati kira-kira 20 butir tahi bintang menggunakan mata kasar selain memerhati Pleiades (Bintang Tujuh) dan planet Zuhal menggunakan teleskop," kata Fatini.
Muzaffar Redzwa (enam dari kanan) bergambar kenangan bersama krew dan pengurusan KKB Astro-Fest 2023. - Kredit Foto: Mohd Safuan Salahuddin.
Beliau bersyukur KKB Star-Fest 2023 mencapai kejayaan menggalakkan dari segi kehadiran pengunjung dan aktiviti cerapan yang dilakukan. Ia juga berjaya mempromosi minat sains, teknologi, kejuruteraan, seni dan matematik (STEAM) kepada pelajar sekolah serta pendapatan tambahan kepada penduduk setempat.
"Terima kasih atas kerjasama Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Balai Cerap Selangor yang berjaya menarik minat orang ramai dalam bidang astronomi. Insya-Allah KKB Star-Fest akan diteruskan tahun depan (2024) kerana menjadi salah satu aktiviti rasmi dalam kalendar pelancongan MPHS.
"Kami berharap MPHS akan terus bergerak aktif dalam menjuarai industri ekopelancongan dan mengambil langkah proaktif dalam pemuliharaan langit gelap di Hulu Selangor melalui pelaksanaan kaedah pencahayaan bijak," katanya. - KitaReporters
.
Pengunjung berpeluang menggunakan teleskop yang disediakan penganjur untuk melihat bintang dan hujan meteor dengan lebih jelas.