LEBIH dua tahun Malaysia berperang menghadapi pandemik Covid-19 yang menyebabkan lebih 37,000 kematian di seluruh negara. Kini, rakyat negara memasuki era baru kerana kita berkongsi hidup bersama wabak berbahaya itu yang boleh datang lagi bila-bila masa jika masyarakat lalai menjaga kesihatan.
Tapi, jumlah yang meninggal dunia akibat wabak Covid-19 tidaklah ramai berbanding ancaman penyakit tidak berpenyakit (NCD) yang mengorbankan ribuan nyawa setiap tahun selain kerajaan terpaksa menanggung kos perbelanjaan yang tinggi bagi menangani gejala itu.NCD ialah pembunuh utama rakyat Malaysia termasuk kes kematian pada usia muda. Punca utama kerana tidak dikesan dan dikawal dengan baik. Penyakit NCD juga tidak bergejala dan tidak dapat dikesan sehingga berada pada tahap serius.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) mendapati, lebih separuh rakyat Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obes, satu daripada tiga rakyat ada kolesterol tinggi, satu daripada tiga rakyat ada darah tinggi dan satu daripada enam rakyat kita ada kencing manis.
Dr Dzulkefly Ahmad (empat dari kiri) pada majlis perasmian Karnival Kesihatan Malaysia Madani di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya pada 28 Julai 2024.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata wabak Covid-19, ia datang dan pergi tapi pandemik NCD terus berakar umbi, dan tidak akan habis membelenggu kita sehingga kita berubah.
Malah, NCD turut mempengaruhi kos penjagaan kesihatan kerana ia memerlukan kos tinggi untuk rawatan jangka panjang, ubat-ubatan dan penjagaan hospital.
Beliau berkata, Malaysia membelanjakan RM9.65 bilion bagi menangani penyakit tidak berjangkit dengan jumlah itu merangkumi 16.8 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan kesihatan. Pastinya ia memberi beban kepada kewangan negara selain kesan kepada produktiviti rakyat."Daripada jumlah itu, perbelanjaan bagi penyakit diabetes sebanyak RM4.38 bilion yang mewakili 45.38 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan penyakit NCD, diikuti kos merawat penyakit kardiovaskular sebanyak RM3.93 bilion (40.73 peratus ) dan RM1.34 bilion (13.89 peratus) bagi penyakit kanser.
Dr Dzulkefly berbual dengan pengunjung yang membuat pemeriksaan kesihatan sempena Karnival Kesihatan Malaysia Madani.
"Perbelanjaan ini merangkumi kemasukan ke hospital, penjagaan primer di klinik kesihatan, rawatan pesakit luar di hospital, pemeriksaan dan ujian kesihatan serta pembiayaan perubatan.
"Paling dibimbangi ialah NCD akan mempengaruhi belanjawan negara kerana kerajaan terpaksa menumpukan dana negara kepada perbelanjaan kesihatan berikutan lebih ramai rakyat menghidap penyakit dan perlu dibantu untuk mendapat rawatan serta mendapat ubat-ubatan," katanya.Dr Dzulkefly berkata demikian ketika merasmikan Karnival Kesihatan Malaysia Madani 2024 di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya.
Turut hadir, Naib Presiden Jabatan Kejuruteraan dan Penyelenggaraan, Perbadanan Putrajaya, Ir Marzuki Abdullah; dan Pengarah Karnival merangkap Pengerusi Komuniti Madani, Prof Dr Abdul Rashid Abdul Rahman.
Program suntikan cacar air untuk kanak-kanak secara percuma mendapat sambutan ibu bapa sempena Karnival Kesihatan Malaysia Madani.
Dr Dzulkefly berkata, lebih setengah juta atau 2.5 peratus penduduk dewasa negara ini menghidap empat penyakit tidak berjangkit iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi, kolestrol tinggi dan obesiti.
Menurutnya, empat penyakit NCD itu menyumbang risiko utama kepada penyakit jantung dan serangan angin ahmar atau strok. Lebih membimbangkan, sebahagian besar penghidap kencing manis, tekanan darah tinggi, dan kolesterol tinggi yang tidak didiagnosis tergolong dalam kelompok berusia lebih muda."KKM berusaha memperluas program saringan kesihatan kepada individu berusia 18 tahun dan ke atas melalui Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) yang memberi penekanan kaedah saringan kesihatan secara berkala merangkumi tekanan darah, tahap glukosa dalam darah, tahap kolesterol dalam darah, indeks jisim badan (BMI), dan saringan kesihatan mental," katanya lagi.
Dr Dzulkefly (tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama tim Poliklinik An-Nur yang juga penaja Karnival Kesihatan Malaysia Madani.
Selain itu, trend peningkatan prevalens orang dewasa berlebihan berat badan dan obesiti turut membimbangkan, puncanya ialah pengambilan gula secara berlebihan.
Justeru, bagi membendungnya, kerajaan melaksanakan pendekatan fiskal iaitu pengenaan cukai eksais kepada minuman bergula dan minuman pracampuran, membabitkan Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
"Selain itu, bagi menangani gejala tidak sihat itu, KKM akan melancarkan 'perang' ke atas gula dalam tempoh terdekat sebagai usaha mengurangkan peningkatan penyakit NCD dalam kalangan rakyat di negara ini. Ia akan dibuat melalui tindakan penggredan minuman mengikut kandungan gula."Label Nutri-Grade mempunyai empat gred yang diberi kod warna A (hijau tua), B (hijau muda), C (jingga) dan D (merah) berdasarkan kandungan gula dan lemak tepu. Tanda hijau tua gred A menunjukkan minuman itu mengandungi gula dan lemak tepu paling rendah, manakala gred D (merah) sebaliknya," kata Dr Dzulkefly lagi.
Pertandingan melukis mendapat sambutan kanak-kanak sempena Karnival Kesihatan Malaysia Madani.
Beliau mengakui, pendekatan itu perlu dilakukan segera bagi mengurangkan pengambilan gula berlebihan walaupun terdapat laporan penurunan kes diabetes, hipertensi dan kolesterol tinggi sejak 2019.
Namun, data 2023 menunjukkan satu daripada dua rakyat Malaysia obes dan berat badan berlebihan berisiko menghidap Diabetes Jenis Dua selain kanser dan penyakit hati berlemak.
Pihaknya turut memandang serius peningkatan rakyat Malaysia menghidap pradiabetes kerana kebanyakan tidak menjalani pemeriksaan dan saringan kesihatan awal.Oleh itu, KKM akan mengadakan pelbagai program kesedaran seperti membabitkan golongan B40 yang disaran mengambil saringan kesihatan percuma menerusi program Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).
"KKM turut mengadakan Program Saringan Kesihatan Nasional melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan kempen 'Saring, Sahkan, Runding dan Ubah' secara kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mendidik dan menggalakkan orang ramai membuat pemeriksaan kesihatan.
Acara Langkah Sihat 5KM mendapat sambutan penduduk sekitar Putrajaya sempena Karnival Kesihatan Malaysia Madani.
"KKM akan terus berusaha mengurangkan penyakit NCD dengan mengadakan saringan dan khidmat nasihat bagi mengubah gaya hidup rakyat. Antara program yang dirancang ialah Bulan Malaysia Sihat pada September 2024 ini termasuk memperluasnya kepada semua kementerian," kata Dr Dzulkefly.
Katanya lagi, sistem kesihatan tidak bergantung kepada membina hospital dan klinik semata-mata tapi membabitkan budaya dan gaya hidup kita.Kunci utama memerangi NCD ialah mengamalkan gaya hidup sihat, pemakanan sihat, beriadah, menghentikan tabiat merokok atau vaping.
Hasil penyelidikan GATS Malaysia pada 2023 mendapati peningkatan ketara peratusan pengguna rokok elektronik atau vape terutama kalangan individu dewasa berusia kurang 50 tahun.
"Hal ini adalah sangat membimbangkan dan memerlukan tindakan pantas melalui langkah mewartakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bermula 2 Februari 2024 lalu.
"Ia bagi mengekang penggunaan produk tembakau serta mengurangkan kemudaratan akibat merokok dan penggunaan lain-lain produk tembakau," katanya lagi. - KitaReporters
Pameran bahaya nyamuk Aedes menarik perhatian kanak-kanak yang hadir di Karnival Kesihatan Malaysia Madani.