Alam & Sains 19 Dec, 2024

TBW24 angkat Taiping! Lokasi ekopelancongan, avipelancongan! Lebih 190 spesies burung telah direkod!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this


"UNCLE Don, saya nampak burung kat celah daun tu," kata seorang peserta yang melompat gembira sambil tangannya menunjukkan ke arah pokok yang merimbun di Taman Tasik Taiping.

"Alamak dah terbang la...," katanya hampa.

"Tak apa, cuba lagi, bila guna bino, tengok betul-betul, warna bulunya, paruh dan dengar jika ada bunyi kicauannya, nanti senang nak tahu nama burung apa," kata Uncle Don.

Ini antara aksi sebahagian peserta bird race kategori sekolah yang mengambil bahagian sempena Taiping Bird Week 2024 (TBW24) yang berlangsung dari 13 hingga 15 Disember 2024. Kebanyakan mereka pertama kali mengambil bahagian dan begitu teruja menggunakan binokular untuk melihat burung. 

Peserta yang mengambil bahagian dalam TBW24 bergambar kenangan selepas majlis penyampaian hadiah.


Wakil penaung Program Taiping Bird Week 2024, Raja Shahruddin Rashid Sultan Idris Shah berkata, TBW24 (5.0) memberi impak positif dalam bidang sains dan pemuliharaan. Sejak lima tahun penganjuran, lebih 190 spesies burung direkodkan malah data terbabit membantu kajian pemuliharaan, khususnya bagi spesies burung terancam, contohnya, enggang.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, lebih 90 peratus yang direkodkan terdiri daripada burung tempatan, manakala bakinya spesies burung migrasi.

“Antara burung tempatan paling banyak direkodkan ialah spesies enggang, burung raja udang dan bangau. Ia membabitkan tiga lokasi utama iaitu Taman Tasik Taiping, Bukit Larut dan Kuala Sepetang. 

Raja Shahruddin Rashid Sultan Idris Shah


"Kejayaan ini meningkatkan kesedaran pentingnya kelestarian biodiversiti dan memainkan peranan bagi memajukan pembangunan ekopelancongan.

"TBW24 membantu menjadikan Taiping destinasi ekopelancongan yang terkenal, sekali gus menarik pelancong dalam dan luar negara terutama peminat burung untuk datang ke sini dan menikmati keindahan alam sekitar," katanya ketika majlis perasmian peluncuran penutupan TBW24 (5.0) di Pavilion Zoo Taiping & Night Safari, Perak.

Turut hadir, Orang Besar Jajahan Daerah Larut Matang dan Selama, Datuk Wan Mohd Isa Wan Mohd Razali; Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Teh Kok Lim; Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama, Mohd Nasrul Menhat; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir; dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa. 

Si cilik tertarik dengan gambar burung yang dipamerkan di reruai Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST)


Program anjuran MPT dengan kerjasama Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST), bermula sejak 2017 turut menawarkan aktiviti seperti pameran foto spesies burung, pameran pelbagai agensi serta pertandingan fotografi dan bird race.

Berdasarkan jumlah burung yang direkodkan, ia memberi mesej yang sangat jelas bahawa Taiping ialah daerah yang kaya dengan kepelbagaian spesies burung. Aktiviti pemerhatian dan rakaman foto burung sepanjang TBW menjadi tarikan serta hab kepada avitourism (pelancongan burung) di negara ini

Selain burung hudhud yang bersarang dan menetas di pokok jemerlang pada Mei 2021, terdapat banyak jenis burung migrasi di sekitar Taman Tasik Taiping antaranya black-capped kingfisher, stork-billed kingfisher, white-bellied sea eagle, black baza, oriental honey buzzard, Japanese sparrowhawk, Chinese sparrowhawk, Javan pond heron, grey heron, hooded pitta serta Eurasian hoopoe. 

Seorang ayah membantu dua anaknya menggunakan bino terkini yang boleh melihat objek dari jarak jauh.


Beliau berkata, ketika TBW pertama kali dianjurkan pada 2017, ia adalah usaha bagi mengkaji, merekod dan mewujudkan pangkalan data burung-burung di Taiping selain mempromosi bidang pelancongan alam semula jadi (Ecotourism)  selain pelancongan burung (Avitourism).

"Namun, acara seumpama ini mendapat perhatian dan membuka mata orang ramai selain sambutan menggalakkan, khususnya dalam kalangan peminat-peminat burung untuk mengambil bahagian dalam aktiviti ‘bird watching’ dan fotografi burung.

"Acara ini lebih tertumpu untuk memperkenal spesies burung di daerah Larut dan Matang serta mengkaji dan merekodkan data burung-burung di Taiping 

Pempamer dari Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation gembira dapat mengambil bahagian dalam TBW24.


"Selain itu, usaha mempromosi Taiping khususnya dan Perak amnya dalam bidang pelancongan alam semula jadi dan pelancongan burung, menarik perhatian pelancong dalam dan luar negara.

"Saya berharap penganjuran acara seperti ini dapat menjadikan bandar Taiping dan Perak sebagai destinasi pelancongan unggul yang mesti dilawati setiap tahun," katanya.


 

Pempamer dari Tourism Perak sibuk melayan pengunjung yang hadir untuk mendapatkan pelbagai maklumat mengenai tempat-tempat menarik di Taiping.  


Raja Shahruddin Rashid juga berkata, kejayaan TBW bukan sahaja meningkatkan kesedaran pentingnya kelestarian biodiversiti tetapi memainkan peranan menjadikan Taiping destinasi ekopelancongan terkenal, sekali gus menarik pelancong dalam dan luar negara terutama peminat burung datang ke sini dan menikmati keindahan alam sekitar. 

"Dengan sokongan berterusan dari pelbagai pihak, saya yakin Taiping Bird Week akan menjadi platform penting meraikan keindahan burung dan meningkatkan kesedaran pemuliharaan biodiversiti," katanya. 


Gambar burung belatuk yang diambil Ong Eng Keat memenangi hadiah pertama Pertandingan Fotografi Indahnya Taiping 2024.


Sementara itu, Khairul Amir berkata program itu banyak memberi nilai tambah dalam memperkenal bandar Taiping sebagai antara lokasi tumpuan kepada peminat burung dari dalam dan luar negara.

“Sejak lima tahun penganjuran program ini, maklum balas yang diterima daripada pihak NEST sendiri menyatakan bahawa lebih 30 peratus daripada 600 spesies burung tempatan yang ada di negara ini terdapat di Taiping.  “Bagi saya, ini adalah keunikan yang mampu diperkasakan supaya menjadi produk pelancongan yang mampu pergi lebih jauh dan menjana pendapatan untuk kerajaan negeri,” kata Yang Dipertua MPT itu.

Urus setia TBW24 sibuk melayan sebahagian peserta yang mahu mendaftar untuk Taiping Bird Race 2024.


Pada tahun ini, TBW24 menerima penyertaan lebih daripada 150 peserta dari Perak, Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Perlis, Johor, Terengganu dan Taiwan. 

Bagi cerapan Taiping Bird Race kategori terbuka, sebanyak 76 spesis burung direkodkan, manakala bagi kategori sekolah menengah, 37 spesies burung direkodkan. - KitaReporters


Johan Taiping Bird Race (sekolah), Kumpulan Trio Alfa yang menerima replika cek RM300 bergambar kenangan bersama Raja Shahruddin Rashid (tiga dari kiri).


Berikut senarai pemenang bagi setiap kategori:

𝐏𝐄𝐑𝐓𝐀𝐍𝐃𝐈𝐍𝐆𝐀𝐍 '𝐓𝐀𝐈𝐏𝐈𝐍𝐆 𝐏𝐇𝐎𝐓𝐎 𝐑𝐔𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟒:

Johan: 𝐓𝐀𝐍 𝐓𝐈𝐀𝐍 𝐂𝐇𝐈𝐍𝐆 (68 gambar spesies burung)

Kedua: 𝐖𝐄𝐄 𝐆𝐄𝐊 𝐒𝐈𝐌 (53 gambar spesies burung)

Ketiga: 𝐑𝐀𝐉𝐀𝐏𝐀𝐋 𝐑𝐀𝐉𝐀𝐆𝐎𝐏𝐀𝐋 (50 gambar spesies burung)

𝐓𝐀𝐈𝐏𝐈𝐍𝐆 𝐁𝐈𝐑𝐃 𝐑𝐀𝐂𝐄 𝟐𝟎𝟐𝟒 (𝐒𝐄𝐊𝐎𝐋𝐀𝐇 𝐌𝐄𝐍𝐄𝐍𝐆𝐀𝐇):

Johan: 𝐊𝐔𝐌𝐏𝐔𝐋𝐀𝐍 𝐓𝐑𝐈𝐎 𝐀𝐋𝐅𝐀 (37 spesies burung)

Kedua: 𝐊𝐔𝐌𝐏𝐔𝐋𝐀𝐍 𝐀𝐋𝐎𝐇𝐀𝐀 (34 spesies burung)

Ketiga: 𝐊𝐔𝐌𝐏𝐔𝐋𝐀𝐍 𝐀𝐋𝐎𝐇𝐀𝐀 𝟐 (33 spesies burung)

𝐓𝐀𝐈𝐏𝐈𝐍𝐆 𝐁𝐈𝐑𝐃 𝐑𝐀𝐂𝐄 𝟐𝟎𝟐𝟒 (𝐓𝐄𝐑𝐁𝐔𝐊𝐀):

Johan: 𝐌𝐔𝐒𝐂𝐈𝐂𝐀𝐏𝐈𝐃𝐀𝐄 (76 spesies burung)

Kedua: 𝐙𝐎𝐎 𝐓𝐀𝐈𝐏𝐈𝐍𝐆 𝐒𝐏𝐀𝐑𝐎𝐖 (71 spesies)

Ketiga: 𝐖𝐈𝐋𝐃𝐄𝐑 (68 spesies burung)

𝐏𝐄𝐑𝐓𝐀𝐍𝐃𝐈𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐅𝐎𝐓𝐎𝐆𝐑𝐀𝐅𝐈 𝐈𝐍𝐃𝐀𝐇𝐍𝐘𝐀 𝐓𝐀𝐈𝐏𝐈𝐍𝐆 𝟐𝟎𝟐𝟒:

Johan: 𝐎𝐍𝐆 𝐄𝐍𝐆 𝐊𝐄𝐀𝐓

Kedua: 𝐌𝐀𝐑𝐖𝐀𝐍 𝐌𝐔𝐑𝐒𝐇𝐈𝐃

Ketiga: 𝐌𝐎𝐇𝐀𝐌𝐌𝐀𝐃 𝐒𝐀𝐈𝐅𝐔𝐋 𝐒𝐀𝐌𝐒𝐔𝐃𝐈𝐍 


Johan Taiping Birdrace (Terbuka), Kumpulan Muscicapidae bergambar kenangan Raja Shahruddin Rashid (tiga dari kiri), Wan Mohd Isa Wan Mohd Razali (dua dari kiri), Teh Kok Lim (kanan sekali) dan Khairul Amir Mohamad Zubir (dua dari kanan).  

13
14
0
19
0
You will be interested