ADA antara kita yang cenderung memakai sarung tangan pada musim wabak Covid-19 ni. Tujuannya nak mengelak daripada terkena jangkitan dan merebakkan jangkitan kepada orang lain, katanyalah. Umum menganggap, pakai sarung tangan (gloves) sentiasa terselamat. Tapi betulkah selamat? : KitaReporters
Di sesetengah negara, nak pilih buah kena guna sarung tangan plastik untuk mengelak jangkitan bakteria. - Kredit foto: Rashidah
Cerita mengenai pakai sarung tangan ini, pada dasarnya memang satu amalan yang bagus. Tapi dalam keadaan tertentu.
Pernah pergi ke pasar raya di New Zealand, sarung tangan plastik lutsinar disediakan. Pelanggan perlu memakai sarung tangan, sewaktu memilih buah-buahan atau sayur di dalam kotak rak.
Semasa itu, kami dari Malaysia terasa pelik juga. Terfikir di benak, beria-ianya mereka ni menjaga kebersihan. Kalau dah disediakan sepatutnya kenalah guna.
Masyarakat tempatan memang dah menjadi amalan, tapi kita ni yang tidak biasa, terdetik, ah.. tah payahlah, sebab tempat kita tidak pakai pun.
Sewaktu memilih barang basah di situ, cubalah tidak pakai sarung tangan, terus kena jeling oleh pelanggan lain. Peraturannya perlu pakai, bagi mengelak buahan-buahan di situ terjangkit bakteria daripada tangan pembeli.
Dengan itu dapat mengekalkan kesegaran buah-buahan dan sayuran. Tidaklah ia cepat buruk.
Kita di sini, hanya sekarang baru nak pakai sarung tangan. Itu pun kerana Covid-19.
Bagi menjaga kesegaran, sayur dan buah segar, perlu menggunakan sarung tangan plastik sewaktu memilih. - Kredit foto: Rashidah
Bagaimanapun dalam kes Covid-19, lain pula keadaannya.
Ada yang memakai sarung yang sama di mana-mana. Tangannya sentiasa di dalam sarung getah dalam tempoh lama. Okey ke begitu?
Pengacara My Doctor, Dr. Say Shazril dalam akaun Instagramnya, mendedahkan penggunaan sarung tangan tidak efektif sebagai perlindungan jangkitan Covid-19 jika sentiasa dipakai tanpa dicuci. Dikhuatiri menjadi medium sebaran virus.
Namun ada yang menganggap selamat. Alasannya apabila pakai sarung tangan, kulit jari tidak tersentuh virus itu. Secara teorinya betul tapi secara praktikalnya tidak, kata Dr Say Shazril lagi.
“Ada dua sebab. Pertama, gloves boleh menjadi pengangkutan untuk penyebaran virus.
"Contohnya anda beli groceries sambil pakai gloves, gloves sama diguna untuk buka pintu kereta, pegang stering, singgah pam minyak dan buka tombol pintu rumah sebelum gloves tu dibuang.
"Kalaulah ada virus pada awal-awal beli groceries, sekarang virus tu dah ada dalam kereta, di pam minyak dan rumah kan?" Cer fikir. Betul juga kata Dr Say tu kan?
Sarung plastik lutsinar ini diguna untuk melapik tangan sewaktu memasak atau memilih barang segar di pasar raya, ia sepatutnya diguna secara pakai buang. - Kredit foto: Rashidah
Sebab kedua katanya lagi, bila pakai sarung tangan anda tak akan basuh tangan dengan lebih kerap, yang mana perbuatan itu sepatutnya menjadi amalan.
Kalau terkena virus, ia sentiasa ada di situ kerana tidak dibasuh.
Amalan sebaiknya kata beliau adalah kerap mencuci tangan dengan sabun atau sanitizer.
"Lepas beli groceries hand sanitize, sudah isi minyak hand sanitize, sebelum bukak pintu rumah hand sanitize bukankah lebih selamat." demikian kata Dr. Say.
Sarung tangan plastik pakai buang.
Kalau terasa leceh nasihatnya lagi, kurangkan urusan di luar rumah. Tak ada hal penting, duduk saja di rumah seperti arahan kerajaan.
Yang terbaik tambah beliau, patuhi semua nasihat dan arahan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia).- Kerap basuh tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer.
- Elakkan daripada menyentuh muka anda.
- Jaga jarak anda daripada orang lain sekurang-kurangnya 1 meter.
- Duduk rumah ikut perintah.
Begitulah nasihat yang ditulis oleh Dr Say.
Yang ini jenis sarung tangan (golve) tebal yang boleh dibasuh dengan sabun dan dikeringkan. - Kredit gambar: Shunli Gloves.
Seorang ahli farmasi berdaftar mendakwa virus itu mampu bertahan 8 jam pada sarung tangan melainkan ia ditukar secara kerap.
”Di hospital terdapat clinical waste bin (tong sampah klinikal) untuk petugas kesihatan membuang glove mereka.
"Oleh itu penyebaran virus boleh dikurangkan, tapi orang awam membuang glove ke dalam tong sampah biasa, dan boleh tersentuh dengan pengangkut sampah," kata Nur Syafa Addina menerusi hantaran dalam Facebooknya. - KitaReporters