SEMENTELAH kedatangan novel virus korona atau Covid-19 yang tidak diundang, kehadirannya telah menyebabkan manusia hari ini asyik menghadap hampir 24 jam dengan telefon mudah alih atau bimbit, komputer (termasuk laptop), tablet (Tab) dan lain-lain; asalkan disambungkan dengan Internet maka terperaplah seseorang atau individu itu dengan alam maya. : KitaReporters
Sebelum ini pun kita sudah sibuk dengan dunia Internet sama ada pasal pekerjaan (online, email, telesidang), menatap muka buku (Facebook), menonton filem video (Netflix), ”berchit-chat”, Instagram, carian “Google” dan sebagainya.
Tetapi kali ini, lagilah sibuk dek kerana larangan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) “Diperketatkan” atau ”Bersyarat” di mana orang ramai tidak dibenarkan keluar mengikut sesuka hati sama ada di tempat awam atau terbuka.
Ini bermakna banyak aktiviti harian dilakukan di rumah atau kediaman masing-masing selain daripada mengemas rumah, membasuh baju, memasak, menonton TV (televisyen) dan lain-lain.
Kini mereka beralih kepada gajet telekomunikasi terutama telefon mudah alih (hand phone) untuk memenuhi masa lapang dan santai.
Maka, ramailah pengguna Internet kini bersesak-sesak dalam aliran trafik di lebuh raya nternet atau jalur lebar.
Ini yang dikatakan norma baharu yang menjadikan kehidupan sosial manusia benar-benar bertukar lebih seratus peratus dalam berkerja, belajar, berkomunikasi, berinteraksi dan perhubungan.
Penularan pandemik Covid-19 bukan hanya dilhat sebagai ancaman kesihatan kepada manusia semata-mata, tetapi sebaliknnya menjadi titik tolak kepada paradigma khalayak ramai supaya beralih kepada kehidupan berteknologi dan bermaklumat atau ICT (Information,Communication and Technology) khususnya ketika memasuki era digital.
Apabila pengguna-pengguna (di rumah) hari ini membanjiri lebuh raya atau jalur lebar Internet, secara tidak langsung berlaku kesesakan aliran trafik seterusnya memberi kesan kelajuan (perlahan) muat turun (download) sesuatu laman sesawang, video, imej dan sebagainya.
Antara penyebab kelajuan sambungan Internet menjadi perlahan atau lembab adalah kerana jumlah atau volume aliran trafik data semakin meningkat dan sesak disebabkan oleh faktor-faktor berikut :
- Rakyat Malaysia kini ada yang telah memulakan kerja-kerja pejabat dari rumah seperti memasukkan rekod data, dokumen, jadual tugasan dan sebagainya.
- Golongan pelajar pula digalakkan menggunakan komputer untuk sesi pembelajaran dalam talian (online) serta menyiapkan tugasan melalui Skype atau Zoom.
- Peniaga-peniaga atau usahawan usahawan IKS (Industri Kecil dan Sederhana) kini beralih kepada perniagaan dalam talian atau platform digital.
- Pihak swasta dan syarikat sudah mula melakukan pembayaran caj, bil dan yuran melalui perbankan Internet.
- Rancangan program televisyen (TV) sama ada berbentuk hiburan, sukan, rekreasi, berita semasa dan lain-lain kini boleh ditonton siarannya melalui Internet dengan menggunakan telefon bimbit, komputer, tablet, smart TV dan sebagainya.
- Kemudahan kesambungan fizikal atau ‘saluran’ Internet kepada rumah atau kediaman di lokasi tertentu juga agak terhad kapasitinya.
Capaian Internet semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
Sumber: Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia(SKMM) 2018.
Kesimpulannya, kelajuan Internet bukanlah isu yang baharu tetapi sering kali berlaku apabila ramai pengguna bersesak-sesak menggunakan sambungan Internet terutama di musim cuti umum, perayaan dan kini musim PKP.
Tambahan lagi, keperluan Internet bukan lagi sekadar untuk melihat Facebook, aplikasi media sosial malah ia telah berkembang hingga membantu memudahkan pelbagai bidang sama ada pekerjaan, pendidikan, perniagaan, perubatan,dan lain-lain. - Kitareporters