Alam & Sains 22 Sep, 2020

Tradisi perusahaan tembakau! Masih diwarisi di Kampung Buluh

@fatimah itayah
Mula ceburi dunia kewartawanan sebagai wartawan akhbar. Masih banyak perlu dipelajari!

Share this

PERUSAHAAN tembakau secara tradisional oleh penduduk di beberapa buah kampung dalam daerah Hulu Terengganu bukanlah sesuatu yang asing suatu masa dahulu termasuk di Kampung Buluh, Kuala Berang. Perusahaan ini mampu jana pendapatan lumayan setiap musim. : KitaReporters


Lagi cerita-cerita dari Terengganu:

https://kitareporters.com/search?search=Terengganu


Walaupun di kebanyakan kampung, perusahaan tembakau ini kini telah ditinggalkan dek perubahan zaman, namun tinjauan Mojo KitaReporters ke Kampung Buluh, Kuala Berang mendapati komuniti di sini masih meneruskan perusahaan lama itu, meskipun jumlahnya tidak lagi seramai dahulu.

MOHD NORDIN JUSOH


Salah seorang pengusaha, Mohd Nordin Jusoh, 58, berkata dia berkecimpung dalam bidang itu secara serius sejak hampir 25 tahun lalu dan merupakan generasi ketiga dalam keluarganya yang meneruskan tradisi itu.  

“Sejak kecil saya didedahkan dengan tembakau kerana kedua-dua ibu bapa besarkan saya serta lima adik-beradik lain dengan hasil ini selain menorah getah. Satu kerugian dirasakan jika tidak diwarisi pembuatan tembakau yang banyak berjasa kepada kami sekeluarga.

“Bermula pertengahan  tahun 1990-an lalu saya menyewa tanah seluas kira-kira 0.4 hektar di kawasan Padang Tara dengan menanam sebanyak 500 pokok sahaja untuk permulaan. Sekarang antara 2,000 hingga 3,000 bagi setiap pusingan.

“Biasanya kerja-kerja menanam sekitar Mac hingga April dan daunnya sudah boleh dipetik bermula Jun hingga Ogos. Selepas itu barulah proses seterusnya termasuk peraman daun, menghiris , jemur serta peram tembakau di dalam buluh bersama madu,” katanya ketika ditemui.

Proses memetik daun tembakau hanya boleh dilakukan menjelang tengah hari bagi pastikan daun-daun yang dipetik benar-benar kering. 


Tambah bapa kepada tujuh anak ini, meskipun proses pembuatan tembakau secara tradisi amat rumit namun pendapatan diperolehi begitu lumayan sehingga mampu mencecah pendapatan kasar RM10,000 bagi setiap musim. 

Katanya lagi, selain dirinya  terdapat lebih lima lagi pengusaha tanaman tembakau di kawasan berkenaan dan memandangkan tradisi itu sukar dilihat di tempat lain menyebabkan Kampung Buluh sering jadi tumpuan masyarakat luar.

“Suatu ketika dahulu, Kampung Buluh ini antara salah satu kampung cukup terkenal dengan tanaman tembakau dengan jumlah pengusaha antara 30 hingga 40 orang. Walaupun kini bilangannya tidak ramai namun masih ada yang mewarisnya. 

“Selepas orang tua meninggal, anak-anak pula merantau kerja di luar jadi tiada siapa yang teruskan tradisi ini dan kerana faktor inilah jumlah pengusaha hari ini tidak seperti dulu. Perkara ini juga sering diluahkan kepada anak-anak saya kerana sebolehnya biar ia terus diwarisi.

“Syukur, anak-anak saya ada yang berminat dan telah cuba belajar menghiris daun bagi dijadikan tembakau. Proses menghiris ibarat kunci utama pembuatan tembakau secara tradisional, jika tiada kemahiran ini tidak boleh hasilkan tembakau,” ujarnya.

Daun tembakau yang dipetik perlu diperam terlebih dahulu beberapa malam sehingga daunnya berubah warna sedikit kekuningan. 


Mohd Nordin turut memberitahu harga pasaran tembakau boleh cecah RM400 sekilogram mengikut gred tertentu dan tembakau diperam dalam buluh bersama campuran madu lebah serta kelulut bukan sekadar bangkitkan aroma wangi tetapi  boleh bertahan sehingga dua tahun.

Bercerita lebih lanjut cara pembuatan tembakau secara tradisional, dia berkata terlebih dahulu daun tembakau yang dipetik akan diperam dahulu beberapa malam sehingga warnanya bertukar kekuningan dan perlu dipastikan tidak terkena air.

“Biasanya akan ambil masa sekitar empat malam. Selepas itu baharulah urat bahagian tengah daun dibuang gunakan tali dan daun disusun berlapis antara 40 hingga 50 helai  lalu digulung.

“Gulungan daun ini pula biasanya panjang hampir satu meter atau mengikut kekuda tembakau yang digunakan untuk proses menghiris.

“Gulungan daun akan dimasukkan ke dalam lubang pada kekuda tembakau. Kemahiran seseorang penting bagi proses ini kerana jika tidak mahir hirisan daun menjadi tidak sekata dan tidak semua penanam tembakau boleh menghiris tembakau. 

“Setelah selesai, hirisan daun dibentuk menjadi kepingan dan dijemur bawah cahaya matahari. Apabila  kering ia disusun untuk proses dipanggil ‘khira’ atau lebih kurang uli untuk membentuk urat dan kemudiannya dijemur sekali lagi,” katanya.

Proses menjemur tembakau dilakukan ahli keluarga Nordin di hadapan rumah mereka di Kampung Buluh, Kuala Berang, Hulu Terengganu.


Bagaimanapun katanya, proses menjemur tidak boleh terlalu lama kerana tembakau akan terlalu kering serta mudah terlerai dan seterusnya  akan diembunkan satu malam  bagi tujuan melembutkan tembakau yang dihasilkan.

“Proses ini dinamakan ‘mulang’, kepingan tembakau atas tikar yang dikeringkan pada siang hari akan kita embunkan iaitu dengan cara biarkan begitu semalaman tetapi perlu dipastikan tidak terkena air.

“Keesokan harinya pula, kita terapkan tangan yang telah dicelup madu ke atas tembakau tersebut dan seterusnya dimasukkan dalam ruas buluh untuk ditumbuk gunakan alu. Selepas selesai kita peram sekurang-kurangya 15 hari, namun lagi lama lagi elok.

“Tembakau diperam bersama madu boleh bertahan sehingga dua tahun. Pemasaran tembakau dihasilkan ini tidak hanya oleh peraih tempatan tetapi ada yang datang daripada Kemaman serta Kelantan,” ujarnya. - KitaReporters


Mohd Nordin sering didatangi banyak pihak yang adakan program bagi melihat serta rasai sendiri pengalaman menghiris tembakau. 
7
0
0
0
0
You will be interested