BERAKHIR sudah pencarian 31 mangsa tanah runtuh yang terkorban apabila jasad terakhir seorang kanak-kanak berusia dalam lingkungan 7 hingga 12 tahun ditemui pada tanggal 24 Disember 2022 iaitu lapan hari selepas tragedi buruk itu berlaku pada awal pagi 16 Disember 2022.
Bencana yang boleh disifatkan sebagai tragedi tanah runtuh terburuk di Malaysia ini menyaksikan 61 terselamat dan 31 terkorban daripada keseluruhannya 92 mangsa yang berkhemah di ladang organik, ‘Father’s Organic Farm’, Batang Kali, Selangor.
Lagi cerita-cerita tragedi berkaitan peristiwa tanah runtuh
Kejadian menyayat hati ini mendapat liputan meluas seluruh negara dan melibatkan unit Misi Mencari dan Menyelamat (SAR - Search and Rescue) yang turut melibatkan khidmat anjing daripada Unit Anjing Pengesan (K9) bagi membantu mempermudahkan operasi supaya berjalan dengan lebih lancar dan pantas.
Ketibaan mereka yang dilihat sebagai ‘hero’ menjadi tumpuan ramai kerana mereka adalah tunjang utama dalam misi ini!
Baik hujan mahu pun panas tidak menghalang petugas media membuat liputan.
Dan bagi pengamal media, tidak ketinggalan memberikan komitmen sama dalam membuat liputan agar tidak ketinggalan melaporkan berita terkini khususnya mengenai operasi menyelamat.
Di antaranya, Majalah 3, siri dokumentari popular Malaysia bakal memaparkan dokumentari khas tragedi cerun runtuh di Batang Kali pada hari Isnin, 26 Disember 2022, pukul 9.00 malam dan anda juga boleh strim secara langsung dalam HD di www.tonton.com.my.
Christine Lee terpaksa merentasi selut hingga ke paras lutut demi tugasannya,
Penonton akan menyaksikan bagaimana Penerbit Kanan Majalah 3, merangkap wartawan lokasi, Christine Lee dan jurukamera, Mohd Zahril Abdullah turun padang untuk mendapatkan berita terkini berkaitan kejadian yang berlaku di Father’s Organic Farm, Batang Kali itu.
“Kami hanya dibenarkan untuk memasuki kawasan tragedi selepas hari keempat dan itupun seorang sahaja dibenarkan masuk ke kawasan tersebut atas faktor keselamatan. Ini merupakan pengalaman baharu bagi saya apabila perlu merentasi selut hingga ke paras lutut.
“Walaupun bimbang dengan risiko yang ada, fikiran saya hanya fokus untuk mendapatkan laporan eksklusif dan yang terbaik untuk dikongsikan kepada penonton.
"Selesai misi kami, pasukan penyelamat menguruskan jengkaut untuk membawa keluar rakan-rakan media kerana lebih mudah,” cerita Christine terhadap pengalaman yang tidak akan luput dalam ingatannya apatah lagi kawasan yang didepaninya merupakan lokasi kejadian cerun runtuh yang melibatkan nyawa.
Menurut Christine, lokasi kejadian terbahagi kepada 3 sektor tetapi rakaman hanya dibenarkan di sektor B.
“Dalam situasi getir ini, saya berasa sangat bersyukur kerana berjaya merakam kerja-kerja 'Ground Penetrating Radar' untuk mengesan mangsa-mangsa yang tertimbus.
"Terima kasih tidak terhingga kepada pihak berkuasa kerana banyak membantu kami dalam misi membuat laporan yang berkualiti,” tambah Christine.
Kenangnya berulang kali, dugaan mendapatkan kandungan berita adalah pengalaman paling berharga buat dirnya dan jurukamera.
“Walaupun pelbagai halangan dan cabaran dilalui, pasukan penyelamat tetap bertungkus-lumus menjalankan tanggungjawab mereka tanpa mengira siang ataupun malam,” ujar Christine.
Christine terpaksa menaiki jengkaut untuk keluar dari kawasan tanah selut.
Untuk mengetahui dan melihat lebih lanjut cabaran Christine serta anggota-anggota yang terlibat dalam misi penyelamat nantikan dokumentari khas Majalah 3 pada Isnin, 26 Disember 2022 ini.
Untuk rekod, tanah runtuh di tapak perkhemahan ladang organik yang berlaku pada 16 Disember adalah kejadian tanah runtuh besar ke-21 dilaporkan berlaku di negara tahun ini dan yang terburuk setakat ini.
Takziah pada keluarga mangsa-mangsa terbabit! - KitaReporters
Berikut senarai kejadian tanah runtuh di seluruh negara tahun ini yang disusun oleh Bernama:
1 JAN
Tujuh insiden tanah runtuh – enam di Selangor dan satu di Negeri Sembilan – dilaporkan pada hari pertama 2022.
2 JAN
Tiga belas laluan di lima daerah di Negeri Sembilan ditutup kepada semua trafik akibat tanah runtuh dan banjir.
14 FEB
Seramai 31 orang daripada sembilan keluarga kakitangan Balai Polis Tongod di Sabah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga susulan tanah runtuh dekat balai itu.
2 MAC
Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud di Kenyir dekat Hulu Terengganu, ditutup sementara sejak 27 Feb selepas menara penghantaran voltan tinggi, yang menyalurkan bekalan elektrik ke grid nasional, tumbang akibat tanah runtuh.
8 MAC
Tiga kejadian tanah runtuh dilaporkan susulan banjir kilat di ibu negara. Dua kawasan terbabit ialah rizab jalan di 1/27 Taman Gembira dan Jalan Hang Tuah 4, Salak Selatan, Selangor, manakala sebuah lagi kawasan di Seksyen 6, Wangsa Maju membabitkan tanah persendirian.
10 MAC
Empat maut dan seorang cedera dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, Selangor. Tambahan, 15 rumah musnah dan 10 kenderaan turut terjejas.
10 APRIL
Hujan lebat berterusan selama beberapa hari menyebabkan banjir di beberapa kampung di daerah Tuaran, Sabah, manakala lima rumah terjejas akibat tanah runtuh di projek penempatan Telipok.
15 MEI
Dua wanita maut dalam kejadian tanah runtuh dan kepala air ketika mendaki Gunung Suku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, Pahang.
14 JUN
Tanah runtuh berlaku di Jalan Tun Dr Ismail, Taman Bukit Sentosa, Kuala Lumpur, selepas hujan lebat selama beberapa jam yang menjejaskan sebuah substesen Tenaga Nasional di sana.
24 JULAI
Seorang pekerja pembetungan cedera selepas terperangkap selama empat jam dalam runtuhan tanah ketika melakukan kerja baik pulih loji kumbahan di Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi, Johor.
28 JULAI
Dua kanak-kanak maut, manakala dua orang dewasa cedera selepas rumah mereka di Taman Elok, Jalan Bukit Nenas, Kota Kinabalu, Sabah, dilanda tanah runtuh.
29 OGOS
Enam rumah di Rumah Rakyat Batang Benar di Nilai, Negeri Sembilan, retak dan runtuh akibat kejadian tanah mendap selepas hujan lebat.
1 NOV
Enam lelaki terperangkap dalam kejadian tanah runtuh dekat Empangan Tenom Pangi, Sabah.
15 NOV
Tiga sekeluarga dikejutkan daripada tidur apabila banglo mereka di Taman Halaman, Ampang, Selangor, dihempap tanah runtuh yang menyebabkan sebahagian dinding belakang runtuh.
16 NOV
Sebahagian daripada beberapa rumah Orang Asli di Kg Kerawat, Simpang Pulai, Perak, tertimbus dalam runtuhan tanah, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
17 NOV
Tanah runtuh dan pokok tumbang di Jalan Mantin Batu 8 menyebabkan kedua-dua arah Jalan Mantin-Seremban di Negeri Sembilan terpaksa ditutup sementara untuk kerja pembersihan dan penebangan pokok.
Kira-kira 25 orang daripada lima keluarga di Kampung Orang Asli Sungai Raya terkandas selepas tanah runtuh dan pokok tumbang memutuskan laluan ke kampung mereka.
26 NOV
Seorang lelaki terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di Blue Valley di Kampung Raja, Cameron Highlands, Pahang.
2 DIS
Kejadian tanah runtuh susulan hujan berterusan merosakkan bahagian depan sebuah rumah teres di Taman Sri Anggerik di Rantau, Seremban.
9 DIS
Enam orang terselamat daripada kejadian tanah runtuh di Taman Halaman, Ampang, Selangor. Rumah mereka mengalami kerosakan.
10 DIS
Penghuni tiga rumah di Taman Halaman, Ampang, Selangor, diarah berpindah susulan jangkaan pergerakan tanah akibat hujan lebat berterusan di lokasi dilanda tanah runtuh itu.