Alam & Sains 27 Apr, 2022

Latih usahawan berjaya! INSKEN mahu kekalkan momentum cemerlang! Bantu lonjakkan hasil jualan!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


INSTITUT Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) berjaya melatih 28,929 usahawan dari seluruh Malaysia melalui 762 program latihan dan bimbingan keusahawanannya membabitkan hasil jualan bernilai RM12.3 juta pada tahun 2021.

Selain itu, INSKEN menyasarkan 20 peratus peningkatan jualan menerusi 422 program latihan dan bimbingan keusahawanan Insken tahun 2022 ini dan dapat membantu 13,400 usahawan mengekalkan momentum cemerlang dalam melaksanakan perniagaan dipilih oleh mereka.

Sehingga April 2022, sebanyak 179 program latihan dan bimbingan keusahawanan dan 6,575 pelatih dijalankan bagi kesemua program anjuran INSKEN.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan agensi INSKEN


Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, keberkesanan program program anjuran INSKEN membuatkan beliau bertambah bersemangat untuk terus membantu usahawan di negara ini.

Katanya, oleh demikian pada 2022, beliau menyasarkan untuk membantu usahawan mikro dan informal bagi memperkasakan perniagaan melalui program latihan dan bimbingan anjuran INSKEN.

“Selain itu, INSKEN juga akan memastikan penjaja dan peniaga kecil dapat menguasai perkara asas perniagaan iaitu mengurus tunai melalui Kursus Asas Tunai yang mula dilaksanakan sejak awal tahun ini.

Beberapa program baharu yang memfokuskan kepada topik kepimpinan, kewangan dan bimbingan usahawan permulaan akan diperkenalkan pada tahun 2022.

“Sejajar dengan peralihan ke fasa endemik, mod program anjuran INSKEN juga bertukar kepada 50% secara dalam talian dan 50% secara fizikal,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata demikian dalam Taklimat Media Pencapaian INSKEN 2021, secara dalam talian, di Cyberjaya pada 26 April 2022.



Katanya, laporan pencapaian 2021 menunjukkan RM12.3 juta hasil jualan dapat ditingkatkan melalui 31 Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC), 8 Online Onboarding Coaching Program (E-Board) dan 2 Program Bimbingan Usahawan Atlet (Sportspreneur).

“Secara keseluruhan, 28,929 usahawan dari seluruh negara dilatih melalui 762 program latihan dan bimbingan keusahawanan bagi mencapai matlamat tahun lalu iaitu untuk memastikan usahawan dapat menyesuaikan diri dengan norma baharu.

“Pecahan 762 program itu terbahagi kepada 605 latihan, 47 bimbingan dan 110 program khas.

Kesemua program anjuran INSKEN pada tahun lalu (2021) masih lagi dijalankan secara dalam talian dan sekali gus telah melepasi sasaran awal iaitu 14,720 usahawan yang perlu dilatih melalui 336 program latihan serta bimbingan,” katanya dalam kenyataan tersebut.



Menurutnya lagi, selain itu bagi menggalakkan usahawan baharu untuk menyertai Program Usahawan Bisnes Dropship dan Ejen (DNA) terutama dalam kalangan siswazah dan usahawan baharu.

“Program ini dapat memperkasakan ekosistem keusahawanan dengan melahirkan lebih ramai usahawan terutama dalam kalangan generasi muda dengan menjadi ejen dan dropship kepada jenama produk yang kukuh di pasaran sedia ada.

“Ia juga dapat memberikan pendedahan awal kepada bakal usahawan tentang selok belok perniagaan dan mengenali pasaran sebelum mereka memulakan perniagaan sendiri dan mengeluarkan produk,” katanya.



Kata Muhd Firdaus, ia bertepatan dengan kenyataan Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, bahawa usahawan yang menyertai program latihan serta bimbingan di bawah Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (MEDAC) bukan sekadar menerima sijil penyertaan semata-mata malah layak untuk mendapatkan pinjaman yang jumlahnya akan ditentukan oleh penilaian pegawai kementerian.

Beliau berkata, ini bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai golongan masyarakat menceburi bidang keusahawanan.

“Seiring dengan dasar yang diusahakan oleh MEDAC itu, INSKEN memperhebatkan program latihan dan bimbingan pada tahun lalu (2021) dan berjaya menghasilkan lonjakan hasil jualan usahawan selepas tamat menjalani latihan serta bimbingan.

“INSKEN turut mengalu-alukan kolaborasi rentas kementerian dan agensi seperti yang dilaksanakan pada tahun lalu dan antara kolaborasi cemerlang pada tahun lalu adalah antara MEDAC dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Program Sportspreneur.

“Program ini bertujuan untuk mempersiapkan atlet negara selepas bersara dengan menceburi bidang keusahawanan dan RM71 ribu hasil jualan tercatat melalui penglibatan 23 wira serta wirawati negara.,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Sehingga hari ini, INSKEN masih komited menghulurkan bantuan menerusi program latihan, bimbingan serta konsultasi percuma kepada semua kategori usahawan melalui program BizClinic.

Maklumat lanjut mengenai kesemua program latihan dan bimbingan keusahawanan anjuran Institut Keusahawanan Negara Berhad boleh didapati melalui laman web rasmi INSKEN di www.insken.gov.my. - KitaReporters


7
12
0
15
0
You will be interested