Alam & Sains 01 Jun, 2024

Umat Islam kena kuasai teknologi dron! Bengkel dron di Masjid Al-Hasanah! Pupuk minat kanak-kanak!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

Masjid Al-Hasanah di Bandar Baru Bangi, Selangor



DRON adalah pesawat tanpa pemandu atau dikenali robot terbang. Kini, teknologi dron semakin meluas penggunaanya dalam kalangan masyarakat terutama dalam bidang fotografi, perfileman, pertanian, ketenteraan, pengawasan sempadan, serta operasi mencari dan menyelamat.

Malah. di dunia pendidikan, teknologi dron banyak digunakan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran dari peringkat pengajian sekolah rendah sehingga universiti. 

Penggunaan dron membantu pendidik mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan terutama mempelajari bidang sains, geografi, matematik, pengaturcaraan komputer dan teknologi kejuruteraan.

Di kebanyakan negara Eropah, Jepun, China dan Amerika, mereka menggunakan teknologi dron sebagai alat bantu dalam pengajaran dan pembelajaran. Malah, pelajar seawal usia 12 tahun didedahkan kemahiran mengendalikan teknologi dron. 

Ini yang sepatutnya dilakukan negara Islam bagi memastikan mereka menguasai kemahiran robot terbang itu. 


Sebahagian daripada 25 peserta yang mengambil bahagian dalam Bengkel Asas Dron di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor.


Kajian turut mendapati, penggunaan dron dalam pembelajaran di sekolah adalah suatu pendekatan kreatif dan sesuai dengan perkembangan teknologi semasa bagi melahirkan pelajar yang lebih bermotivasi dalam pembelajaran, pemikiran kreatif dan inovatif.

Pengasas Kaffah Kids, Nur Auni Arina Mohd Amir, berkata pelajar masa kini perlu diberi pendedahan sepenuhnya mengenai penggunaan teknologi dron dalam pembelajaran kerana penggunaannya pada masa akan datang lebih meluas terutama dalam pelbagai bidang pekerjaan.

Beliau berkata, pihaknya terpanggil mengadakan Bengkel Asas Dron di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor untuk remaja berusia sembilan hingga 17 tahun bagi membolehkan mereka mempelajari ilmu asas penggunaan dron terutama aspek keselamatan dan bagaimana menerbangkan dan pendaratan pesawat tanpa pemandu itu. 

Nur Auni Arina Mohd Amir (kiri) bersama Pengurus Kaffah Kids cawangan Manjung, Atika Syahira Mohd Alias.


"Bengkel ini satu kelainan yang jarang ditonjolkan sedangkan ia mempunyai masa depan cerah jika sesiapa menguasai teknik menggunakan dron terutama dalam pembelajaran dan kerjaya.

"Bengkel ini  juga mahu menarik minat peserta terutama dalam kalangan pelajar Melayu meminati bidang sains dan teknologi (S&T) kerana kegagalan menguasai bidang itu pada masa depan menyebabkan bangsa kita dan umat Islam tertinggal dan hanya menjadi penonton sedangkan ia adalah tuntutan agama.

"Kami yakin mereka yang menguasai teknologi dron mudah mendapat pekerjaan kerana tidak ramai yang mahir dalam bidang itu malah kerjaya seperti Grabfood dan Foodpanda mungkin tidak menggunakan kenderaan lagi tapi mungkin diganti dengan teknologi dron," kata Nur Auni.  

Kini, banyak syarikat menggunakan dron untuk penghantaran produk kepada pelanggan, antaranya Amazon. Perkhidmatan yang dinamakan Amazon Prime Air itu menghantar pesanan pelanggan membuat pesanan menggunakan dron walaupun ia hanya membabitkan produk bersaiz kecil.


Ahmad Syihan memberi tunjuk ajar secara teori bagaimana menggunakan dron sebelum mereka menerbangkan robot terbang itu.


Beliau yang mesra dengan panggilan Teacher Auni mengakui, buat permulaan bengkel itu mahu menarik minat peserta mendekati drone, datang untuk bermain dan berseronok kerana siapa tahu suatu hari nanti mereka menjadi watak penting dalam teknologi dron di negara ini

"Ini adalah bengkel asas bagi mereka yang mahu mengenali dron malah reka bentuk dan saiznya kecil, sebesar tapak tangan manakala harganya di antara RM200 hingga RM600. 

"Insya-Allah lepas ini kami akan mengadakan bengkel dron siri 2 yang memberi tunjuk ajar lebih mendalam mengenai robot terbang itu.    

"Bengkal siri pertama ini mengajar peserta mengendalikan dron menggunakan apps yang dimuat turun dalam telefon bimbit.

"Dron pula berfungsi dengan bateri yang dapat bertahan sehingga dua jam dengan ketinggian 100 sentimeter. Peserta juga diajar "kod" untuk menaikkan, memastikan dron bergerak ke depan, belakang dan mendarat," katanya.

"Alhamdulillah, rata-rata peserta teruja dan seronok apabila dapat menerbangkan dron sendiri kerana sebelum ini mereka hanya dapat melihat keunikan teknologi itu melalui YouTube atau televisyen tapi hari ini di hadapan mata sendiri," kata Teacher Auni lagi. 

Ahmad Syihan Fadzli Khari


Sementara itu, Pengarah Urusan Eduspace, Ahmad Syihan Fadzli Khari menganggap apa yang mereka lakukan itu adalah usaha kecil bagi memartabatkan teknologi dron kepada generasi muda dan umat Islam, semoga suatu hari nanti mereka akan mendalami kemahiran robot terbang ini dan menjadi kebanggaan negara. 

Beliau berkata, ketika penularan wabak Covid-19, pihak berkuasa kesihatan menggunakan dron untuk menghantar bekalan perubatan dan ujian kendiri Covid-19 di rumah penduduk supaya penduduk tidak bimbang terkena jangkitan virus itu. Malah, di  beberapa negara, mereka menggunakan dron bagi melakukan penyemburan disinfeksi dari udara.

"Dalam peperangan pun, dron digunakan untuk masuk ke kawasan musuh tapi sayangnya pengganas Israel menggunakan teknologi itu untuk membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa.

"Dron sepatutnya digunakan untuk kebaikan dan memberi manfaat kepada manusia, bukan untuk membunuh apatah lagi penduduk yang tidak berdosa, kebanyakan wanita dan kanak-kanak.

Pendedahan awal pada peringkat sekolah rendah amat perlu bagi membolehkan mereka tahu kepentingan dron dan menggunakan untuk kebaikan pada masa depan.


"Saya berharap ibu bapa dan pihak berkuasa melihat kepentingan dron untuk masa depan, bukan setakat hobi tapi kerjaya yang boleh memberi pendapatan lumayan. Mulakan minat anak-anak pada peringkat awal kerana dron boleh dibeli melaluyi aplikasi Shopee dengan harga RM100 hingga RM600 ," katanya.

Syihan mendapat pendidikan asas dron ketika menuntut di Australia kerana salah satu cabang pembelajaran yang diambilnya iaitu geologi memerlukan penggunaan dron bagi membuat pemetaan di kawasan tertentu. Dari situ, dia mula meminati dan belajar mengenal dron dengan lebih mendalam.

Beliau mengakui, populariti dron semakin berkembang, buktinya Kementerian Pendidikan Malaysia mengadakan pertandingan dron pada peringkat sekolah bagi memberi pendedahan kepada pelajar. Tapi secara keseluruhan, perkembangannya boleh dipertingkat lagi selain memerlukan sokongan masyarakat. 

Siapa sangka teknologi dron akan menjadi satu fenomena baharu dalam kehidupan manusia dan mengambil alih beberapa pekerjaan penting seperti penghantaran barangan.


"Bengkel dron akan datang, kami akan memberi ilmu lebih mendalam kepada peserta termasuk memberi fokus kepada komponen tertentu dalam dron untuk melihat fungsi mekanikal dan peserta akan diberi peluang membuka serta memasang semula dron bagi tujuan pembelajaran.

"Saya yakin teknologi dron mempunyai masa depan yang cerah tapi ia memerlukan sokongan banyak pihak. Insya-Allah jika Malaysia mempunyai ramai pakar dron, kita mampu menghasilkan dron yang lebih baik termasuk digunakan untuk kebaikan sejagat dalam pelbagai bidang kerjaya.

"Cuma jika mahu jadikan kemahiran dron satu budaya, pihak berkuasa perlu mengurangkan aktiviti hiburan yang melalaikan dan memberi pendedahan pada peringkat sekolah selain menurunkan harga robot terbang itu supaya lebih ramai ibu bapa dapat membeli di pasaran dengan harga lebih murah," katanya. - KitaReporters

Cara mengendalikan dron nampak mudah seperti menggunakan "remote control" tapi hakikatnya seseorang itu perlu tahu ilmu sains kerana membabitkan teknologi apungan.

17
13
0
14
0
You will be interested