Alam & Sains 05 Jun, 2024

BIla ABAH Bersuara| Bilalah masalah kesesakan lalu lintas berakhir? Tambah laluan LRT, MRT, monorel!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

 


KESESAKAN lalu lintas di Kuala Lumpur bagai pakaian harian bagi warga kota. Saban hari mereka berhadapan masalah kesesakan, terutama pada waktu puncak. 

Adakah fenomena ini terus menjadi ciri kehidupan seharian tanpa penyelesaian muktamad? 

Sangat merimaskan apabila setiap hari tersangkut apabila menuju ke tempat kerja atau pada waktu balik, atau untuk menjalankan urusan peribadi. Kenderaan yang bertali arus serta bergerak perlahan sehingga ‘bumper to bumper’ adalah pemandangan lumrah saban hari.

Keadaan lebih buruk di kawasan di mana terdapat projek pembinaan, membaiki atau menaik taraf jalan. Ada lorong yang terpaksa ditutup bagi melancarkan kerja dan dalam keadaan itu menambah teruk kesesakan di jalan yang memang sedia sesak.

Memandu dalam kesesakan memang sangat mencabar minda dan jiwa sehingga boleh menyebabkan stres. Namun apakan daya bagi warga kota, terpaksa juga ditempuh sebagai realiti kehidupan di sebuah bandar raya yang sentiasa sibuk sepanjang hari.



Walau pun dianggap lali dengan keadaan ini, mereka tetap tertanya-tanya bilakah masalah ini akan berakhir, atau tiada pengakhiran? Ini kerana masalah kesesakan lalu lintas bukan baharu wujud tetapi sudah sejak sekian lama.

Pembangunan pesat di ibu negara dan kedudukannya sebagai pusat ekonomi dan kewangan menjadikan Kuala Lumpur tempat utama mencari rezeki. Penduduk kian bertambah yang seterusnya menambah kesesakan kerana sebahagian besar mereka memiliki kenderaan sendiri.

Pihak berkuasa memang berusaha meminimumkan masalah kesesakan. Antara yang dilakukan ialah membina jalan baharu, menaik taraf serta melebar jalan sedia ada, juga membina laluan bertingkat-tingkat hingga ada yang dua atau tiga lapis.

Namun usaha ini juga ada kekangan. Keluasan tanah yang terhad di ibu kota menyebabkan pembinaan jalan baharu atau melebar jalan juga terhad. Tanah di ibu kota diperlukan untuk banyak kegunaan lain.

Kadar pertambahan kenderaan baharu yang begitu pantas di ibu kota juga merupakan satu lagi faktor utama kesesakan meruncing. Saban hari, minggu, bulan dan tahun, ribuan kenderaan baharu didaftar.  

Ini berbanding dengan pembinaan atau pelebaran jalan yang mengambil masa lebih lama untuk disiapkan. Kerana itu banyak mana pun jalan baharu dibina atau jalan dilebarkan, tidak dapat menandingi kepantasan pertambahan kenderaan.



Pilihan yang ada bagi mengelakkan kesesakan ini ialah menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Ketika ini pengangkutan awam utama ialah Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan monorel, selain bas dan teksi.

Kelebihan sistem pengangkutan tren ialah ia mempunyai laluan sendiri, tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Jadual perjalanan lebih mudah dirancang. Sebaliknya bas dan teksi kerap tersangkut sehingga sukar menentukan masa tiba ke destinasi.

Sebagai usaha mengatasi masalah ini, laluan khas bas diperkenal, antaranya di Ampang dan Jalan Genting Klang. Dengan adanya laluan ini pergerakan bas lebih lancar. Malangnya ramai pula pemandu kenderaan lain suka mencelah memasuki laluan ini.

Bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam, sistem pengangkutan berkenaan mesti efisen serta meluas. Contohnya LRT, MRT atau monorel. Kini ia hanya meliputi kawasan tertentu. Usaha perlu dilakukan melebarkan perkhidmatan ini ke lebih banyak kawasan.

Laluan khas bas juga perlu diperluas, terutama di kawasan yang dikenal pasti sentiasa menghadapi masalah kesesakan. Tindakan tegas perlu diambil terhadap pemandu kenderaan yang didapati menceroboh laluan berkenaan.

Jika sistem kenderaan lebih efisen, lebih ramai orang menggunakannya, meninggalkan kenderaan di rumah. Tidak perlu buang masa memandu dan mencari parkir. Langkah ini secara tidak langsung membantu mengatasi masalah kesesakan di ibu kota. - KitaReporters


 

 

 

 

 

 

 

12
13
0
12
0
You will be interested