Alam & Sains 04 Mar, 2021

Harimau Awang Rasau kebal! 5 butir peluru dalam badan! Dirawat di pusat menyelamat Perhilitan

@adnan mohamad
Berpengalaman dalam bidang penulisan selama lebih 22 tahun sebagai wartawan bermula di akhbar Berita Harian selama lebih lima tahun kemudian di akhbar Utusan Malaysia serta Kosmo dan lima kali mendapat anugerah kewartawanan peringkat negeri Terengganu. Emel: [email protected]

Share this

PEGAWAI Jabatan Perhilitan sedang merawat Awang Rasau di NWRC di Sungkai, Perak pada 2 Mac 2021. - Kredit foto: Perhilitan 


KEKEBALAN seekor harimau yang dipanggil Awang Rasau tidak pernah mengalah walaupun pada badannya terdapat lima butir peluru tetapi pak belang itu tetap masih hidup lagi kecuali pergerakannya lemah sebelum haiwan itu berjaya ditangkap pada 22 Februari 2021 lalu. 

Kehebatannya itu dikatakan `kebal' kerana meskipun lima butir peluru telah menembusi badannya, namun haiwan itu tetap kelihatan merayau-rayau di ladang kelapa sawit mencari mangsanya terutama lembu sebagai makanannya berbanding haiwan lain jika terkena sebutir atau dua butir peluru sudah pasti mati.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan harimau: 

https://kitareporters.com/tag/harimau


KENAPA ANJING DICAT SEAKAN HARIMAU DI INDIA?

AWANG Rasau yang hidup menderita akibat lima butir peluru di badannya. - Kredit foto: Perhilitan


Tetapi kini Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang merawat haiwan itu mengakui Awang Rasau hidup menderita akibat kesan tembakan lima butir peluru berkenaan. 

Awang Rasau seberatnya 160 kilogram itu ditangkap oleh Jabatan Perhilitan di Ladang Kelapa Sawit Felda Kerteh 3, Dungun, Terengganu selepas binatang itu memakan 35 ekor lembu kepunyaan peneroka di Felda Kerteh 3 dan Kerteh 4 sejak beberapa bulan lalu. 

Susulan tangkapan haiwan itu yang sebelum ini sering membimbangkan para peneroka terbabit ia telah dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak untuk rawatan selanjutnya.


 

 

KEPUTUSAN  X-ray menunjukan lima butir peluru di dalam badan pak belang itu.


Jabatan Perhilitan dalam kenyataannya pada 2 Mac 2021 menyatakan bahawa keputusan X-ray yang dijalankan mendapati lima butir peluru yang berada pada badan dan kaki haiwan itu dipercayai ditembak oleh pemburu haram di hutan

Katanya, setakat ini  sebutir peluru sudah berjaya dikeluarkan daripada badan pak belang itu. 

``Kita akan melakukan pembedahan itu lagi ke atas Awang Rasau untuk mengeluarkan empat butir peluru yang berada  di bahagian tubuh dan kakinya. 

``Berdasarkan pemeriksaan baki peluru yang masih ada lagi ia berada agak dalam di tubuh Awang Rasau dan kita akan berusaha seberapa upaya  untuk menyelamatkan haiwan itu,’’ kata kenyataan Jabatan Perhilitan itu.

Apabila kecederaan Awang Rasau  pulih serta sihat seperti biasa, Jabatan Perhilitan akan melepaskan semula haiwan itu ke habitat asalnya. - KitaReporters



12
2
12
4
4
You will be interested