Alam & Sains 25 May, 2022

Usaha pulihara Hutan Komuniti Shah Alam! PKNS, UiTM jalin kerjasama pelihara habitat flora, fauna!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memulihara 85.3 ekar Hutan Komuniti Shah Alam (SACF) yang dimiliki PKNS. 

Hutan Komuniti PKNS yang terletak di Bandar Sierra Alam ini akan terus dipulihara sebagai habitat flora dan fauna serta kawasan ekologi


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti kampus UiTM


“SACF merupakan pusat tumpuan pencinta alam sekitar yang digemari semua peringkat umur. 

"Menyedari kepelbagaian khazanah semula jadi ini dan peranannya dalam mengurangkan kemungkinan berlaku perubahan iklim, kami terpanggil untuk terus memelihara dan memulihara keindahan khazanah ini selaras dengan usaha PKNS dalam menerima pakai amalan terbaik ESG dan mewujudkan kehidupan yang lebih baik untuk semua. 

"Kami teruja untuk memulakan kerjasama ini bersama UiTM dan berharap dapat memberi inspirasi kepada rakan-rakan industri untuk turut sama mengambil bahagian dalam kolaborasi yang serupa bagi mencari penyelesaian yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat secara amnya,” kata Dato’ Mahmud Abbas, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, ketika majlis menandatangani perjanjian itu. 


 


Antara persetujuan yang dimeterai PKNS dan UiTM dalam perjanjian ini adalah seperti berikut: 

  • PKNS akan bertanggungjawab untuk menerapkan sebahagian daripada Hutan Komuniti PKNS sebagai "living lab" bagi memajukan projek penyelidikan oleh pensyarah dan pelajar UiTM; 
  • PKNS akan membantu dari segi penempatan dan pengurusan peluang latihan industri untuk para pelajar UiTM memperoleh pendedahan dunia industri yang sebenar; 
  • PKNS akan bersama-sama menganjurkan program perkongsian ilmu yang tertumpu kepada kelestarian, sifar karbon dan kemampanan alam sekitar; 
  • UiTM menyediakan tenaga penyelidikan dan perundingan yang berkaitan dengan pengurusan bandar dan kemudahan, sosioekonomi bandar, pelancongan dan rekreasi serta bidang lain yang berkaitan; 
  • UiTM juga akan membantu PKNS dalam pengurusan dan pembangunan lestari bagi kawasan Hutan Komuniti PKNS yang terletak di Bandar Sierra Alam; 
  • UiTM akan menyediakan latihan perkhidmatan untuk meningkatkan kemahiran warga kerja PKNS. 



Selain itu, rancangan PKNS dan UiTM untuk menggunakan pendekatan Other Effective Area-based Conservation Measures (OECM) ke kawasan hutan komuniti yang ditetapkan di bawah jagaannya juga termasuk dalam perangkaan tersebut. 

Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) mendefinisikan OECM secara geografinya sebagai kawasan yang ditadbir dan diurus dengan cara yang mencapai hasil jangka panjang yang positif dan berterusan, selain menjadi kawasan perlindungan.  

Dalam mencapai matlamat ini, gandingan pasukan petugas yang terdiri daripada wakil PKNS dan UiTM akan dibentuk untuk mengemukakan permohonan kepada Southeast Asia Rainforest Research Partnership (SEARRP) untuk mengkategorikan Hutan Komuniti PKNS sebagai OECM yang diberi mandat

SEARPP ialah sebuah organisasi yang mengendalikan penyelidikan saintifik bertaraf dunia dalam menangani isu-isu perdana melibatkan alam sekitar. Pengiktirafan ini amat signifikan dalam meningkatkan sokongan untuk pemuliharaan jangka panjang yang berkesan di Hutan Komuniti PKNS. 


 


Menyentuh mengenai pemeteraian perjanjian berkenaan, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UiTM, Prof. Datin Dr. Suhana Sulaiman berkongsi bahawa selain pemuliharaan, kerjasama ini juga akan membuka jalan kepada pendidikan berkualiti (SDG4) melalui hubungan kerjasama industri-akademik yang lebih kukuh .

“UiTM amat berbesar hati dapat menjalin kerjasama dalam memainkan peranan untuk membantu menangani kebimbangan iklim dunia. Ruang yang diwujudkan melalui MoU ini membolehkan berlakunya perkongsian idea, ilmu pengetahuan, hasil penyelidikan dan latihan yang akan memberikan pengalaman dalam pengajaran dan pembelajaran sebagai nilai tambah kepada ahli akademik dan pelajar kita”, kata Dr. Suhana dalam satu kenyataan media pada 18 Mei 2022. 

“Gabungan model perniagaan yang lestari sangat penting bagi mana-mana organisasi pada masa ini. Masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk mencapai matlamat yang digariskan dalam MoU ini. 

"Diharapkan keupayaan penyelidikan UiTM dan sumber PKNS ini dapat menyokong SDG15 PBB berhubung dengan ‘Kehidupan di Darat’ (Life on Land) melalui usaha pemeliharaan kawasan Hutan Komuniti PKNS di bawah jagaan kami,” tambah Mahmud dalam kenyataan yang sama. 

MoU itu ditandatangani oleh Mahmud bagi pihak PKNS dan Dr. Suhana, yang mewakili Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ts Dr Roziah Mohd Janor. 

Majlis itu disaksikan oleh Haji Suhaimi Kasdon, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat & Keusahawan) PKNS dan Dekan Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur UiTM, Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah. 

Kerjasama antara PKNS dan UiTM adalah selari dengan aspirasi negara yang sedang dalam usaha untuk memenuhi sasaran pengurangan karbon sebanyak 45% menjelang 2030 dan mencapai neutral karbon menjelang 2050. - KitaReporters


19
12
0
10
0
You will be interested