Alam & Sains 07 Jul, 2025

Kisah seorang kaki pancing dan Bluefin Tuna! Anak tempatan Padang Sera Kodiang sanggup rentas Jepun!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this

Dua bot ekspedisi, termasuk Stingray, bersedia memulakan misi memancing laut dalam di perairan. -  Kredit foto: Gambar-gambar ikhsan Aliff Aizat. 

Aliff Aizat Shabudin, pemancing muda dari Padang Sera, Kedah, merakam kenangan indah bersama ikan yang ditangkap ketika ekspedisi memancing laut dalam di perairan Fukuoka, Jepun.

Minat mendalam terhadap dunia memancing membawa seorang anak muda dari Padang Sera, Kedah, merentas lautan ke perairan Fukuoka, Jepun dalam misi ekstrem memburu ikan legenda, Bluefin Tuna.

Aliff Aizat Shabudin menyertai ekspedisi laut dalam bersama pasukan pemancing profesional tempatan yang terkenal dengan kepakaran dan disiplin tinggi dalam aktiviti memancing.

Sepanjang ekspedisi, pasukan tersebut bergelut dengan cabaran lautan terbuka, termasuk arus deras dan angin kencang. Namun, matlamat mereka jelas untuk menjejak spesies Bluefin Tuna, antara ikan paling bernilai dan digeruni dalam dunia pemancingan.

“Pertarungan dengan Bluefin bukan seperti memancing biasa. Sebaik sahaja ia menyambar umpan, anda tahu anda sedang berdepan dengan seekor legenda. 

"Ia satu perlawanan yang menuntut kekuatan fizikal, mental dan strategi yang tepat,” kata Aliff.


Deretan joran dan kekili berprestasi tinggi disusun rapi di atas bot sebelum ekspedisi bermula. Setiap peralatan dipilih khusus bagi menempuh cabaran laut dalam ketika memburu.

Paparan sistem navigasi kapal yang menunjukkan lokasi dan jarak semasa bot ekspedisi berada sejauh 344.8 batu nautika dari titik permulaan, ketika misi memburu Bluefin Tuna.

Menurutnya, pengalaman memancing di Jepun membuka perspektif baharu tentang budaya setempat yang penuh nilai serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan komuniti nelayan Jepun.

“Ia bukan sekadar memancing. Ia sebuah pengembaraan yang membuka mata dan jiwa. Budaya mereka sangat menghormati laut dan alam sekitar,” ujarnya.

Walaupun pasukan tidak berjaya menaikkan tangkapan kali ini, Aliff tetap menganggap misi tersebut sebagai pengalaman paling berharga dalam hidupnya.

“Kami tidak pulang dengan ikan, tetapi kami pulang dengan pengalaman dan semangat baharu. Saya akan kembali ke Fukuoka dengan azam yang lebih kuat dan lebih bersedia,” katanya penuh semangat.

Jejak pemuda dari Padang Sera ini membuktikan bahawa semangat, keberanian dan cinta terhadap lautan mampu membawa seseorang ke pelosok dunia, menempuhi cabaran sebenar dan mencipta kenangan luar biasa – meskipun tanpa hasil tangkapan, namun penuh nilai kehidupan. - KitaReporters


Antara detik mencemaskan di atas bot... Aliff Aizat dan rakan pemancing bergelut mengawal joran yang disambar oleh ikan besar ketika ekspedisi memancing.

Aliff Aizat (kiri) bersama salah seorang ahli kru ekspedisi memancing sempat merakam kenangan santai atas bot sebelum meneruskan cabaran laut dalam di perairan Fukuoka, Jepun.

Dua peserta ekspedisi memancing meraikan kejayaan hari pertama dengan menikmati hidangan istimewa sashimi Jepun yang segar, hasil laut tempatan Fukuoka. - Kredit foto: Gambar-gambar ikhsan Aliff Aizat. 

11
12
0
14
0
You will be interested