Pelbagai cara, petua atau tip untuk mengekalkan kesegaran bahan masakan yang boleh dicuba terutama buat para wanita dan suri rumah.
Pada zaman teknologi maklumat hanya di hujung jari ini, segalanya menjadi mudah. Kalau dulu, maklumat atau petua diperturunkan dari mulut ke mulut, dari generasi ke generasi, kini segalanya sudah berubah.
Nak resipi atau petua masakan, hanya cari sahaja dalam telefon pintar dan media sosial. Semuanya sudah tersedia! Hanya rajin atau malas sahaja untuk mencubanya.
Bab malas ini, ia memang tidak dapat dibantu!

Namun, tip atau petua setiap orang berbeza. Ada yang kata macam ini, ada yang kata macam itu.
Apa jua cara atau kaedah sekalipun, kita raikan sahaja. Berbeza pendapat atau petua sebenarnya mampu memberi impak positif selagi mana ia dibahas secara berhemah.
Perkongsian seorang
pengguna TikTok (Lisanuar3) mengenai uji kajinya terhadap penggunaan tiga bahan
dalam pembuatan cili kisar atau cili boh (dulu disebut cili giling) mendapat perhatian sehingga mendapat
sebanyak 1.5 juta tontonan. Tiga bahan yang dihunakan untuk uji kaji tersebut
ialah air paip, minyak masak dan air tapis.
Uji kaji tersebut dibuat kerana ada pelbagai tip atau petua yang sering dikongsi dalam pembuatan cili boh.
Petua tersebut untuk memastikan jangka hayat dan kesegaran cili boh agar tidak mudah rosak serta berkulat. Tiga bahan utama ini sering kali digunakan. Jadi, antara ketiga-tiga ini, yang mana satu lebih bagus untuk membuat cili boh.

“Saja cuba kisar
cili kering guna tiga campuran berbeza. Air paip, minyak masak dan air Coway. Tapi
asal yang guna air paip tu warna dia lebih cantik? Merahnya itu memang cantik,”
tulisnya.
Menurutnya,
dalam ketiga-tiga bahan yang digunakan untuk mengisar cili, dia mendapati air
paip lebih bagus kerana mampu mengekalkan warna merah cili. Malah, air paip
juga mampu mengekalkan jangka hayat cili boh.
Namun, ada perbezaan pendapat dalam kalangan netizen. Ada yang mendakwa, penggunaan minyak masak lebih berkesan dan cili boh tahan lama.
Sebenarnya, terpulang kepada diri masing-masing sama ada memilih air paip, minyak masak atau air tapis.
Uji kaji yang dilakukan oleh Lisanuar3 hanyalah uji kaji biasa dan bukannya uji kaji makmal atau secara saintifik.
Jadi, sekiranya anda mahu mencuba petua tersebut, terpulang kepada diri masing-masing. Kalau anda rasa minyak masak atau air tapis lebih tahan lama, teruskan dengan petua anda.
“Nak tahan lama kisar dengan minyak masak, tahan lebih dari sebulan,” kongsi salah seorang netizen.

Ada juga netizen berkongsi petua yang berbeza bagi memastikan cili boh tahan lama dan tidak mudah berkulat. “Untuk elak berkulat, letak bawang putih dan garam sikit.

Setelah dua bulan berlalu, Lisanuar3 memperoleh jawapan daripada uji kajinya. Tepat jangkaanya, cili boh yang menggunakan air paip langsung tidak rosak dan berkulat berbanding yang menggunakan minyak masak dan air tapis.
“Keputusan selepas genap dua bulan,” tulisnya.

Namun, hasil uji kaji tersebut mendapat perhatian daripada seorang netizen yang mendakwa dirinya seorang food technologist. Menurutnya, produk semula jadi biasanya mempunyai jangka hayat yang pendek. Sekira berlaku sebaliknya, mungkin ada bahan pengawet.

“Saya sebagai food technologist akan cakap yang guna
air paip tu bermasalah. Sebab yang lain mesti tak guna pengawet. Produk semula
jadi mestilah mempunyai jangka hayat yang pendek. Jika panjang sehingga dua
bulan maksudnya ada sesuatu dalam air paip itu,” jelasnya.
Jadi, antara ketiga-tiga ini yang mana lebih baik?
Menurut food technologist ini, jenis air tidak memainkan peranan penting kerana ia cuma ejen pelincir. Sebaliknya yang memainkan peranan penting adalah jenis cili yang digunakan.
Justeru, terpulang kepada anda untuk memilih petua yang mana satu. Cuma nasihat penulis, kalau mahu guna air paip, pastikan ia dimasak terlebih dahulu. - KitaReporters
