Alam & Sains 22 Jan, 2021

COVID-19: Kes positif bertambah di Pahang! Tempoh PKP bermula! Jangan cuak tapi patuhilah SOP

@haris fadilah ahmad
Pernah bertugas sebagai 'stringer' Utusan Malaysia dan Utusan Melayu (Jawi) mulai 1987 hingga Oktober 2019.

Share this

Kredit foto: FB Skuad Sabil Gombak


Mangsa banjir di Pahang yang dianggarkan seramai 47,000 orang daripada 14,000 buah keluarga baharu saja merasai perit akibat musibah banjir awal bulan Januari tahun 2021 ini. Baharu sahaja pulang ke rumah dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan berhempas pulas membersihkan kediaman masing-masing kini berdepan pula dengan ancaman pandemik COVID-19. 

Musibah 'halimunan' COVID-19 sekarang ini mula menghantui penduduk Pahang apabila jumlah penularan serta mereka yang bergejala COVID-19 juga dilaporkan semakin meningkat.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Pahang:

https://kitareporters.com/search?search=pahang



Kredit foto: peramujaya3.pjk.com.my


Senario ini sudah membayangkan penduduk bakal berdepan 'penderitaan' seperti dialami pada tahun 2020 lalu apabila Pahang antara 10 buah negeri lain mula diletakkan di bawah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 22 Januari hingga 4 Februari 2021.  

Kredit foto: FB Kerajaan Negeri Pahang

Menurut kenyataan menerusi laman Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Pahang pada 21 Januari 2021, sebanyak 48 kes baharu telah dilaporkan, menjadikan keseluruhan disahkan positif COVID-19 di Pahang berjumlah 2,418 orang.
Kes aktif dengan kebolehjangkitan dilaporkan sebanyak 582 kes

Terdapat 61 kes sembuh harian pada 21 Januari 2021 menjadikan jumlah keseluruhan penghidap yang sembuh sebanyak 1,827 orang, manakala jumlah kes kematian mencatat sembilan orang.


Kredit foto: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang


Umumnya sudah mengetahui bahawa daerah Bentong yang mula merintis kumulatif kes COVID-19 di Pahang turut diikuti Kuantan dan Temerloh mula berstatus zon merah sejak minggu lalu. Daerah Maran dilaporkan berstatus zon oren dan selebihnya tujuh daerah lain masih memegang penarafan zon kuning. 

Namun boleh dikatakan setiap daerah dalam senarai zon kuning mula menonjol dengan kes baharu yang dilaporkan pada 21 Januari 2021 sekurang-kurangnya seorang penduduk dijangkiti COVID-19.


Kredit foto: FB Jabatan Kesihatan Negeri Pahang


Apa puncanya peningkatan kes aktif sehingga meletakkan Pahang yang sebelum ini, selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) 15 Jun 2020 lalu antara negeri yang telah reda daripada ancaman COVID-19 kini terpalit semula sehingga penduduk mula 'cuak' dengan fenomena itu. 

Punca penularan apabila penduduk Pahang berkunjung ke negeri yang berstatus zon merah, iaitu Selangor dan kawasan Lembah Klang malah pada masa yang sama juga pelawat dari negeri berkenaan dan tempat lain singgah di beberapa daerah di Pahang.

Hanya untuk memenuhi jemputan majlis resepsi perkahwinan, aktiviti percutian serta agenda 'balik kampung' memberikan ruang dan peluang wabak halimunan itu memperoleh mangsanya.  



Kredit foto: FB Kerajaan Negeri Pahang
Paling mengejutkan menerusi laporan dalam semua media dan portal Kerajaan Negeri Pahang pada 20 Januari 2021 menyebut seramai 142 orang pelajar perempuan dan dua lelaki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghazali Shafie, Lipis dikuarantin akibat positif pandemik COVID-19.
Pelajar perempuan Tingkatan Lima yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah ditempatkan di Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) Bukit Tinggi, Bentong, manakala dua pelajar lelaki dikuarantin di asrama.

Tergetus rasa kasihan dan sedih apabila mendengar kes menimpa pelajar berkenaan apatah lagi rakan-rakan lain masih belum dapat menapak ke sekolah yang dijadualkan pada 20 Januari 2021 (Rabu) telah ditangguhkan ke satu tarikh yang masih 'berteka-teki' apabila 'rantaian serangan wabak COVID-19 masih kebal' sehingga ini.    


DR AHMAD SHUKRI ISMAIL

Pesanan Presiden Persatuan Doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail, supaya penduduk wajar istiqamah dan mempelajari pengalaman pertama serangan pandemik itu apabila berkuat kuasa PKP pada 18 Mac 2020 sehingga tempoh pemulihan bermula 15 Jun tahun yang sama.

"Semua (penduduk) tahu mengenai bagaimana jangkitan pandemik ini serta langkah pengawalan dan pencegahan yang sudah ditetapkan dan kerap kali diberi ingatan oleh Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa.

"Saya berpandangan rantaian penularan wabak ini sukar diputuskan malahan boleh meningkat sekiranya penduduk masih sambil lewa, tidak endah dan terus berasa selesa (complacent) khususnya apabila kes ini menurun seperti pada penghujung tahun lalu," katanya ketika dihubungi di Kuantan pada 21 Januari 2021.

Mengulas lanjut, kata Dr Ahmad Shukri pengalaman pertama menempuh pandemik ini tahun lalu memberikan pengajaran serta kesedaran, sekali gus sebagai 'senjata' penting penduduk negara ini supaya segera serta mampu menghapuskan wabak tersebut.        


WAN AHMAD SABRI WAN HUSSIN

Penduduk Bukit Betong, Lipis, Wan Ahmad Sabri Wan Hussin
menambah semua pihak perlu positif dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka serta amalan kebersihan untuk jaminan pemulihan daripada jangkitan wabak tersebut.

"Kita tidak akan 'menang' sampai bila-bila sekiranya peraturan serta amalan tersebut tidak diendahkan malahan penguatkuasaan PKP pada 18 Mac hingga 15 Jun 2020 lalu memberikan implikasi yang cukup perit dalam kehidupan harian.

"Antaranya, penduduk kehilangan pendapatan, ekonomi lumpuh, pemberhentian kerja dan sebagainya. Malahan hati saya sehingga ini amat pilu dan sedih apabila anak-anak (pelajar) tidak dapat bersekolah dan paling menakutkan akan wujud generasi yang kehilangan ilmu pada masa akan datang," ujarnya.

Kredit foto: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang

0
0
0
0
1
You will be interested