Alam & Sains 14 Jul, 2024

Best gi mancing di Terengganu! 15,000 ekor anak benih ikan lampam sungai dilepaskan di Sg Jongok Batu!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.-komunitimadanijertih@gmail.com

Share this

 

 

Program pelepasan anak ikan lampam di Sungai Jongok Batu, Hulu Dungun.


SEBANYAK 15,000 ekor anak benih ikan lampam sungai dilepaskan di Sungai Jongok Batu, DUN Bukit Besi, di Dungun, Terengganu.

Program anjuran Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Terengganu dengan kerjasama anak syarikat kerajaan negeri, Golden Pharos Berhad yang berkolaborasi bersama jabatan tersebut bagi menjayakan program memperkaya sumber perikanan darat.

Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia Terengganu (Perikanan) menyasarkan untuk melepaskan 500,000 benih ikan air tawar ke perairan umum di Terengganu pada tahun ini (2024).


Dr Azman Ibrahim (dua dari kiri) bersama kakitangan Jabatan Perikanan Terengganu melepas anak ikan di Sungai Jongok Batu, Hulu Dungun.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, program pelepasan benih ikan itu membabitkan lokasi yang menjadi tumpuan nelayan serta kaki pancing.

Katanya, bagi tahun 2024 Kerajaan Negeri menyusun 16 siri program pelepasan anak benih ikan di sungai dan tasik seluruh negeri dengan sasaran lebih 500 ribu anak benih ikan air tawar pelbagai spesis.

“Setakat ini kira-kira 300 ribu anak benih telah selesai dilepaskan,” katanya ketika Majlis Pelepasan Benih Ikan Lampam Ke Sungai Jongok Batu, Hulu Dungun, pada Khamis, 11 Julai 2024.

“Ia dilaksanakan secara berperingkat-peringkat di semua daerah dan dijadualkan akan berakhir pada September depan, setakat ini kira-kira 300,000 anak benih telah selesai dilepaskan,” ujarnya. 

Dr Azman berkata, menerusi program pelepasan benih ikan dapat dilihat berlaku peningkatan pendaratan hasil perikanan yang direkodkan oleh nelayan darat.

“Ia memberikan indikator dengan peningkatan hasil pendaratan pada tahun 2023 dalam 190 tan metrik berbanding tahun 2022 iaitu dalam 163 tan metrik,” katanya lagi.


Dr Azman Ibrahim


Menurutnya, program pelepasan anak benih ikan juga boleh dikembangkan menjadi produk pelancongan berasaskan komuniti (CBT) dengan mewujudkan santuari ikan.

“Ia boleh dilaksanakan dengan menggazetkan satu kawasan larangan menangkap ikan bagi tujuan melepaskan anak benih dengan pemuliharaan dan penjagaan yang secara tidak langsung ia boleh jadi satu sumber ekonomi kepada penduduk setempat,” ujarnya. Usaha tersebut, katanya lagi, setakat ini telah dilaksanakan di Lata Ulu Kasar, Setiu. 

“Baru-baru ini kita telah lepaskan 700 anak benih ikan kelah merah di santuari tersebut dengan nama 'Santuari Ikan Sesohor Setiu' yang menjadi santuari ikan yang kedua selepas Tasik Kenyir.

“Kita akan kembangkan lagi ke beberapa lokasi strategik di antaranya di Lata Tembakah, Besut yang strategik untuk diwujudkan santuari,” kata Dr Azman. - KitaReporters


6
19
0
15
0
You will be interested