Alam & Sains 02 Feb, 2021

Video kreatif untuk pelajar bagi PdPR! Dulu Cikgu Shida, hari ini kita ada Cikgu Ku Langkawi!

@sarfarizmal saad
Penulis merupakan pemimpin pelajar IPTA suatu ketika dulu. Pernah bertugas di 4 kementerian dan beberapa pasukan komunikasi strategik. Mula menulis di akhbar sejak 2009. Bekas Ahli Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan dan bekas Pegawai Khas YBM.

Share this


Sekitar tahun 2011, negara disajikan dengan pelbagai jenis 'persembahan' menghiburkan daripada YouTuber Cikgu Shida. Gelagatnya yang bersahaja diselit rencah humor menyebabkan video-video kreatifnya tular dengan begitu pantas.

Malangnya, dek kerana beliau seorang yang bergelar penjawat awam atau pendidik, maka partisipasinya dalam dunia pencipta bahan kreatif dalam media sosial dikecam hebat oleh netizen.

Yang kerap mengecam tindak tanduk Cikgu Shida pada waktu itu adalah daripada golongan pendidik juga.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan guru:

https://kitareporters.com/search?search=guru



Namun apabila kita menjangkau pada tahun 2021, barulah masing-masing kembali sejenak terfikir, perkara yang Cikgu Shida atau Roshida Abd Aziz dari Bota, Perak lakukan genap 10 tahun lepas rupa-rupanya gambaran kepada situasi pada masa ini.

Ia seolah-olah suatu bentuk 'iklan' awal kepada para pendidik bagaimana corak Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) pada tahun 2021 ini akan dicorakkan.

Mungkin idea 'gila' tersebut telah menjadi inspirasi buat seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Padang Matsirat, Langkawi untuk memberi sentuhan kreatif dalam penyampaiannya.

"Saya memang suka hiburkan hati anak murid saya. Saya ikhlas," begitulah kalam murni seorang guru bernama Ku Mastura Ku Abdul Aziz.






Ku Mastura atau lebih popular dengan nama Cikgu Ku telah mengambil inisiatif untuk menukarkan wajah dan perwatakan pendidik beliau menjadi seorang 'nenek kebayan' dalam video program Orientasi Tahun 1 SK Padang Matsirat, Langkawi.

Beliau yang merupakan salah seorang guru bertanggungjawab dalam program orientasi itu mencari idea bagaimana mahu tampil di hadapan skrin laptop ketika proses transisi online agar para pelajar baharu sekolah berkenaan tidak berasa bosan dan tidak selesa.

"Nenek kebayan pun nenek kebayanlah... Belajar online... Layan anak-anak tahun 1 ber-PdPR di rumah," tulisnya dalam Facebook sampai memuat naik dua video pendek dan beberapa keping gambar beliau bertukar menjadi nenek kebayan.



Usaha gigih cikgu ini mendapat reaksi positif daripada rakan pendidik, ibu bapa dan netizen khususnya dalam media sosial apabila mereka begitu kagum dengan semangat seorang cikgu dalam memastikan para pelajar tidak berasa bosan di hadapan skrin.

Selain daripada memuat naik video dan gambar beraksi sebagai nenek kebayan, Cikgu Ku juga acap kali memuat naik video-video pendek dalam Facebook, YouTube dan TikTok untuk proses PdP para pelajar secara maya.



Kreativiti, kegigihan dan semangat para pendidik di dalam dan luar bandar sebegini wajar untuk kita ketengahkan dan hargai setiap masa agar para pendidik berasa termotivasi untuk terus mencipta kelainan dalam proses PdP mereka, apatah lagi dikala musim PdP di Rumah (PdPR) sekarang ini.

Tahniah diucapkan buat Cikgu Ku, pihak pengurusan SK Padang Matsirat dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Langkawi kerana sentiasa berusaha gigih dalam memastikan anak-anak bangsa kita tidak tercicir dan suka untuk menuntut ilmu. - KitaReporters


25
5
4
1
0
You will be interested