Sekitar tahun 70-an, penulis masih lagi ingat cerita datuk nenek kita menyimpan wang kertas di bawah bantal dan di dalam almari baju adalah perkara biasa dan normal.

Gambar hiasan
Namun, baru-baru ini, penulis terkedu dan terkesima
mendengar cerita seorang pemuda berasal dari Simpang Jabi, Segamat mengenai
wang kertas bernilai jutaan rupiah miliknya iaitu kira-kira RM1,000 rosak dimakan
anai-anai.
Al-kisahnya bermula apabila penulis berhasrat menggunting rambut pada hujung bulan November 2025 dan saya mengunjungi sebuah kedai gunting rambut di bandar Segamat.
Seperti biasa, sambil tukang gunting menggunting rambut, saya pun berbual kosong dengannya. Tukang gunting yang bernama Maulidan Fakruddin, 30-an berkata, dia ada menyimpan wang kertas rupiah untuk dibawa melancong ke Indonesia tapi malangnya wang kertas itu dimakan oleh anai-anai.

Maulidan Fakruddin menunjukkan gambar wang kertasnya yang disimpan di dalam sebuah kotak rosak selepas dimakan oleh anai-anai.
“Wang berkenaan disimpan hasil upah menggunting rambut sejak penghujung tahun lalu dan wang kertas berkenaan disimpan sejak sembilan bulan lalu di dalam sebuah kotak kayu disimpan dalam laci almari baju.
"Hasil upah menggunting rambut, saya menabung sedikit demi sedikit dan kemudian menyimpannya.
“Saya bercadang untuk menyimpan wang itu di dalam institusi kewangan, namun beberapa kali menunda hasrat itu kerana sibuk menggunting rambut pelanggan.
"Saya turut menggunakan wang hasil menggunting rambut itu untuk beberapa perkara lain antaranya perbelanjaan harian keluarga,” kongsi Maulidan.
Lanjut cerita daripada Maulidan, baki sebahagian wang itu kemudian dia simpan di dalam sebuah kotak kayu, namun dia lupa untuk membalutnya dengan plastik bagi melindungi daripada rosak atau dimakan haiwan perosak antaranya lipas, tikus atau anai-anai.

Gambar hiasan
Beberapa minggu selepas itu, dia berasa curiga apabila
melihat anai-anai mula berbaris diluar kotak kayu dan terkejut melihat bahagian
luar kotak berkenaan yang telah rosak.
"Saya kemudian membuka kotak kayu berkenaan dan terkejut apabila melihat wang kertas yang disimpan sudah dimakan anai-anai.
"Wang kertas di dalam kotak berkenaan sudah menjadi cebisan dan berlubang-lubang akibat dimakan anai-anai dan hanya 10 peratus daripada keseluruhan wang kertas berkenaan yang berjaya diselamatkan.
“Saya cuba menukar wang kertas di institiusi kewangan, namun ditolak kerana kerosakan amat teruk pada material wang itu.
"Mahu tidak mahu saya terpaksa menabung semula untuk melancong bersama keluarga, namun tentunya kali ini di institiusi kewangan yang lebih selamat dan terjamin,”katanya dengan nada pilu.

Tambah Maulidan lagi, dia menyimpan mata wang rupiah
berkenaan kerana bercadang untuk melancong ke Acheh bersama keluarganya dalam
masa terdekat namun kini hasrat itu terpaksa ditangguhkan.
Walau bagaimanapun, Maulidan menganggap ini semua adalah ujian serta ketentuan daripada Allah dan dia yakin akan ada rezeki yang lebih baik untuk dia serta keluarga selepas ini. - KitaReporters