Alam & Sains 06 Dec, 2025

Video| Robot cipta rekod dunia! Humanoid AgiBot A2 berjalan lebih 100km tanpa dimatikan! Rekod GWR!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this
China mencatat sejarah baharu dalam bidang robotik apabila robot humanoid AgiBot A2 berjaya menyelesaikan cabaran perjalanan 106.286 km selama tiga hari tanpa dimatikan. Ia menjadi jarak terpanjang pernah direkodkan bagi sebuah robot humanoid. 


Menurut Rekod Dunia Guinness (GWR), robot setinggi 169 sentimeter ini  memulakan perjalanannya dari Suzhou, di Wilayah Jiangsu, pada 10 November 2025, melalui lebuh raya dan jalan bandar sebelum tiba di kawasan ikonik The Bund, Shanghai, pada 13 November 2025.

Robot ini melalui laluan yang kompleks termasuk kawasan bandar, lebuh raya dan jambatan, mengatasi cabaran seperti pertukaran siang-malam dan persekitaran cahaya rendah. 

AgiBot A2 telah menjalani proses pengoptimuman intensif antara April hingga Mei 2025 bagi memastikan ia mampu beroperasi berjam-jam tanpa terjatuh. 

Pada 17 Ogos 2025, robot ini turut berjaya menamatkan sesi berjalan autonomi selama 24 jam dalam suhu hampir 40°C, yang disiarkan secara langsung.




AgiBot A2 dibangunkan oleh Agibot Innovation (Shanghai) Technology Co., Ltd. (China). Antara spesifikasi utama robot ini ialah berketinggian 169cm, berat 69kg dan dimuatkan bateri 700wh.

Kejayaan menamatkan cabaran lebih 100 kilometer ini menandakan satu pencapaian besar dalam keupayaan robot humanoid dan membuktikan potensi mereka untuk tugasan dunia sebenar yang memerlukan ketahanan, kestabilan dan autonomi tinggi.

Klip video yang diterbitkan oleh AgiBot menunjukkan A2 berwarna perak dan hitam itu berjalan perlahan melepasi penunggang basikal dan skuter sebelum mempercepat langkah dan berjalan di Bund.

AgiBot menambah, A2 direka untuk peranan khidmat pelanggan dan dilengkapi dengan fungsi perbualan serta kebolehan membaca bibir.

Firma teknologi dunia kini melaburkan jumlah besar dalam kecerdasan buatan fizikal dengan Morgan Stanley meramalkan, dunia boleh mempunyai lebih daripada satu bilion robot humanoid menjelang 2050.



Justeru, kerajaan China menggalakkan firma domestik membangunkan robot humanoid bagi menjadi peneraju sektor robotik global. 

Beijing menganjurkan sukan robot humanoid pertama di dunia pada Ogos 2025, dengan lebih 500 'atlet' bertanding dalam disiplin seperti bola keranjang sehingga pembersihan kompetitif.

Sebuah syarikat di China juga menampilkan satu model yang meniru gaya berjalan manusia hampir sempurna. Dan syarikat lain terpaksa memotong kostum robot humanoidnya semasa pembentangan untuk membuktikan bahawa tiada manusia di dalamnya.

Kemungkinan pada masa ke hadapan, manusia akan bersaing dengan robot humanroid dalam kehidupan seharian.

Namun tidak boleh disangkal bahawa semakin canggih dunia dengan ciptaan baharu luar biasa, ia menjadi petanda zaman kiamat semakin hampir. - KitaReporters

9
7
0
9
0
You will be interested