RAMAI pesakit diabetes terkejut apabila timbul dakwaan kononnya penyakit itu boleh “reverse” atau pulih seperti sediakala.
Persoalannya, betul atau tidak? Atau sekadar gimik pemasaran yang sering kita lihat di media sosial demi melariskan produk?

Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Bangi, Dr Nurafiza Mohd Arif, berkata, jika mahu benar-benar “sembuh” sepenuhnya bukanlah semudah ABC.
Tiada istilah "reverse" tapi proses "reversal" atau pemulihan sehingga tahap sihat boleh dicapai tapi dengan syarat pesakit betul-betul komited mengubah gaya hidup.
Beliau berkata, "reversal" dicapai melalui gabungan diet, senaman dan perubahan rutin harian. Matlamatnya untuk menurunkan gula darah, meningkatkan sensitiviti insulin dan mengurangkan kebergantungan pada ubat.
Apabila bacaan HbA1c kekal stabil tanpa ubat, barulah seseorang dianggap berada dalam fasa "reversal" dan proses itu mengambil masa.

Forum “Boleh ker Sembuh? - Rahsia Di Sebalik Reversal Diabetes” sempena Hari Diabetes Sedunia dan pelancaran Diabetes Center of Excellent (DCOE) di Klinik Kesihatan Bangi.
"Bagaimanapun, dari sudut perubatan, diabetes tidak hilang sepenuhnya kerana kerosakan sel beta pankreas menyebabkan risiko untuk seseorang itu kembali menghidap diabetes apatah lagi jika mereka kembali kepada gaya hidup lama.
"Penurunan berat badan antara 10 hingga 15 peratus amat membantu kerana ia mengurangkan lemak di hati dan pankreas.
"Apabila kedua-dua organ itu “lega”, pankreas dapat berfungsi semula dengan baik, sekali gus menurunkan paras gula walaupun tanpa ubat.
“Saya selalu mencadangkan pesakit menurunkan antara dua hingga 15 kilogram bergantung kepada berat masing-masing. Jika berat anda 90 kilogram, sasaran realistik ialah turun sekurang-kurangnya sembilan kilogram,” katanya.
Beliau berkata demikian di Forum “Boleh ker Sembuh? - Rahsia Di Sebalik Reversal Diabetes” sempena Hari Diabetes Sedunia (setiap 14 November) dan pelancaran Diabetes Center of Excellent (DCOE) di Klinik Kesihatan Bangi.

Dr Nurafiza Mohd Arif
Program berkenaan dirasmikan oleh Pegawai Kesihatan Daerah Hulu Langat, Dr Norsafinaz Mohamed, dan turut menampilkan dua panel lain iaitu Pegawai Perubatan Care Clinic, Dr Nadia Rohani serta bekas pengamal media yang juga pesakit diabetes, Shaidah Shafie. Moderator ialah Dr Phoolan ap Ram Navas.
Bagi "reversal", katanya ia dilakukan melalui diet, mengambil sayur-sayuran, smoothie protein dan makanan rendah lemak, selain mengelak tepung putih dan tabiat makan lewat malam.
"Makan selepas jam 9 malam mudah melonjakkan gula darah, manakala tidur enam hingga lapan jam membantu menstabilkan hormon insulin.
"Jika disiplin ini diikuti, lemak hati dan pankreas akan berkurang lebih cepat, lalu mempercepat proses "reversal" dan menikmati hidup yang sihat," kata Dr Nurafiza.

Orang ramai menyerbu pelbagai reruai termasuk saringan kesihatan dan kaunseling ubat sempena Hari Diabetes Sdunia di Klnik Kesihatan Bangi, Selangor.
Bagi Dr Nadia Rohani pula, latihan otot atau "resistance training" ialah komponen penting bagi pesakit diabetes jenis 2.
Walaupun nampak seperti rutin biasa, ia “hero senyap” bagi membantu *reversal* kerana otot ialah organ utama yang menyedut dan menyimpan gula.
“Apabila otot bekerja, ia menarik gula masuk ke sel tanpa memerlukan insulin. Jadi paras gula turun secara semula jadi walaupun pesakit mengalami rintangan insulin.
"Lebih banyak jisim otot, lebih besar kapasiti tubuh menyimpan glukosa. Itu sebabnya individu berotot jarang mengalami diabetes jenis 2,” katanya.

Dr Nadia Rohani
Beliau berkata, senaman otot turut membantu mengurangkan lemak di hati dan pankreas selain memulihkan fungsi sel beta iaitu kunci kepada proses "reversal".
"Berbeza dengan kardio, senaman otot menaikkan metabolisme sehingga 48 jam selepas bersenam, menjadikan tubuh terus membakar lemak walaupun dalam keadaan rehat.
"Kesan awal dapat dilihat seawal 20 hingga 60 minit, dengan penurunan gula sekitar satu hingga empat mmol/L dan manfaatnya bertahan sehingga 24 jam.
“Jika konsisten, sensitiviti insulin meningkat, bacaan gula lebih stabil, penggunaan ubat dapat dikurangkan, termasuk dos metformin,” katanya.

Pengunjung menimbang berat badan untuk menentukan tahap kesihatan dan BMI yang sesuai.
Berkongsi pengalaman sebagai pesakit diabetes, bekas pengamal media arus perdana, Shaidah Shafie mengakui dahulu dia penggemar tegar makanan manis seperti coklat dan kek.
Namun selepas disahkan menghidap diabetes, dia nekad berhenti daripada semua jenis makanan yang boleh memudaratkan dirinya.
“Saya cakap pada diri, tak makan manis pun boleh hidup. Takkan saya nak jadikan badan sendiri macam tong sampah hanya kerana ikut nafsu makan?” katanya.
Dia mula mengamalkan kawalan kendiri ketat, makan ikut sukatan, tidur cukup, kerap berbincang dengan doktor, membaca buku mengenai diabetes, mengelak stres dan bersenam secara berkala, terutama berenang yang sangat baik untuk pesakit diabetes.
“Alhamdulillah, selepas beberapa lama, gula saya stabil dan terkawal. Saya harap pesakit lain jangan putus asa. Kalau kita betul-betul mahu berubah, insya-Allah tiada yang mustahil,” katanya.

Shaidah Shafie
Sempena Hari Diabetes Sedunia, pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk saringan kesihatan, pameran, pemeriksaan gigi, kaunseling ubat, senamrobik, Walkathon sejauh 2.2 kilometer, saringan sarcopenia, pemeriksaan kesihatan mental dan stres serta demonstrasi pemeriksaan kaki. - KitaReporters

Shaidah (kiri), Dr Nadia (dua dari kanan), Dr Rushalimatun Rosli (tiga dari kanan) dan Dr Phoolan ap Ram Navas (kiri) bergambar kenangan bersama Dr Nurafiza Mohd Arif selepas Forum “Boleh ker Sembuh? - Rahsia Di Sebalik Reversal Diabetes”.