Bagi memperkukuh lagi agenda pendigitalan sektor kerajaan, Kerajaan bersetuju menubuhkan Unit Transformasi Digital (DTU) di setiap kementerian bagi memastikan agenda tersebut akan lebih pantas, mudah, telus dan berfokus kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan juga akan mempercepat pendaftaran MyDigital ID, serta memacu pembangunan MyGov Malaysia sebagai gerbang digital tunggal berteraskan kecerdasan buatan (AI).
"Saya berkesempatan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) Bil. 6/2025 (pada Isnin, 8 Disember 2025.
"Mesyuarat membincangkan usaha-usaha bagi memperkukuh agenda pendigitalan sektor awam melalui inovasi Kerajaan Madani demi perkhidmatan yang lebih pantas, mudah, telus dan berfokus kepada rakyat.
"Sehubungan itu, mesyuarat bersetuju menubuhkan Unit Transformasi Digital (DTU) di setiap kementerian, mempercepat pendaftaran MyDigital ID, serta memacu pembangunan MyGov Malaysia sebagai gerbang digital tunggal berteraskan kecerdasan buatan (AI)," jelas Perdana Menteri.

MyDigital ID adalah sistem identiti digital rasmi Malaysia, inisiatif kerajaan untuk satu ID digital selamat bagi akses mudah ke pelbagai perkhidmatan dalam talian (kerajaan & swasta),
Ia menggunakan satu kata laluan, mengesahkan identiti terus ke pangkalan data kerajaan tanpa simpan data peribadi, menawarkan keselamatan tinggi dan perlindungan phishing untuk pengalaman digital lancar.
MyGov pula adalah aplikasi mudah alih dan portal rasmi Kerajaan Malaysia yang berfungsi sebagai pusat sehenti (one-stop center) untuk rakyat, penjawat awam, dan perniagaan mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan secara digital, membolehkan semakan, permohonan, dan mendapatkan maklumat terkini dengan lebih mudah dan bersepadu melalui satu platform.
Menurut Anwar, keutamaan turut diberikan kepada peningkatan liputan dan kualiti internet di IPTA serta premis latihan kerajaan bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran (PdP) digital secara berterusan.
Katanya, bagi merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai Hab Kreatif Digital Global menjelang 2030, Kerajaan telah merangka Pelan Hala Tuju Ekosistem Kreatif Digital 2026–2030 (DICE Roadmap) sebagai panduan untuk memposisikan negara sebagai peneraju penciptaan harta intelek berkualiti tinggi serta pembangunan bakat kreatif bertaraf dunia.

"Segala inisiatif ini menjadi asas kepada Fasa 3 Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (2026–2030) yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan perniagaan, peningkatan taraf hidup rakyat dan reformasi ekonomi digital negara.
"Insya-Allah, Kerajaan Madani akan terus berusaha dengan penuh tekad dan kecekapan, berpaksikan rakyat, demi memastikan Malaysia kekal maju, makmur dan bersedia menghadapi cabaran era digital yang semakin pesat," tambah beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media