Alam & Sains 15 Mar, 2021

Video| Projek balak balsa YM Tunku Rosli & Ruslan! Boleh beri pulangan lumayan selepas 5 tahun

@rahanamd
Bekas Wartawan Utusan Malaysia yang pernah bertugas di Majalah Wanita dan akhbar di Ibu Pejabat Jalan Chan Sow Lin dan biro Kelantan.

Share this

Balak daripada spesies balsa hanya memerlukan tempoh matang lima tahun untuk ditebang.


BALAK sering dikaitkan dengan hasil pulangan lumayan mencecah jutaan ringgit yang menyebabkan ada pihak yang sanggup melakukan pembalakan haram dan menceroboh kawasan hutan simpan kekal bagi memperolehinya.

Namun tempoh masa sehingga puluhan tahun diperlukan untuk balak sampai ke peringkat matang dan boleh ditebang. 

Terdapat lebih 1,000 spesies kayu balak bermutu tinggi seperti balau, cengal dan merbau.

Kini terdapat spesies balak balsa yang diusahakan oleh syarikat tempatan dan yang menariknya hasil boleh dituai dalam tempoh lima tahun.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan hutan:

https://kitareporters.com/search?search=hutan


Ladang hutan, projek tanaman balak balsa di ladang percubaan Kuala Pilah, Negeri Sembilan kini telah masuk tahun ketiga pada keluasan tanah tujuh ekar.

Pengasas YM Tunku Rosli & Ruslan International Berhad (YMTR), Dato' Seri Dr. Muhamad Rosli Che Wan memberitahu, balak jenis tersebut belum popular di negara ini, namun mempunyai potensi dan masa hadapan yang baik untuk dimajukan.

“Pengurusan hutan sekarang agak terganggu  di setiap negeri kerana balak ditebang dalam jumlah yang banyak dan kadang ditinggal begitu sahaja tanpa tanaman semula. Situasi ini akan menimbulkan masalah kepada alam sekitar dan kelestarian alam.

“Sehubungan itu, YMTR bekerjasama dengan rakan korporat, NQ Holdings Sdn Bhd (NQHSB) bagi mewujudkan ladang hutan. Kami sedang giat mencari tanah-tanah hutan yang terbiar atau tapak tanaman semula di seluruh negara.

“NQ Holdings adalah syarikat tempatan yang berpengalaman selama 30 tahun mengusahakan tanaman balak balsa di Papua New Guinea, Indonesia,” ujarnya ketika mengadakan majlis pertukaran perjanjian persefahaman di ladang tanaman balas balsa di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 10 Mac 2021 lalu.


Dr. Muhamad Rosli Che Wan  



Beliau menambah, buat masa ini pihaknya telah menanam pokok balak balsa secara percubaan di kawasan ladang berkenaan seluas tujuh ekar sejak tiga tahun lalu. Tanaman tersebut akan diperluaskan kawasannya sama ada kerjasama dengan kerajaan negeri, secara sewaan atau pajakan.

“Rompin di Pahang, Kuala Krai di Kelantan dan beberapa lokasi lagi sudah dikenal pasti untuk penanaman. YMTR memperuntukkan pelaburan melebihi RM500 juta untuk tempoh 20 tahun bagi 100 hektar dengan penanaman lebih 40,000 batang pokok dalam fasa pertama pelaburan.

“Penananam akan dimulakan pada suku kedua tahun 2021 ini dan keberhasilan pelaburan balak balsa ini akan dapat dilihat lima  tahun akan datang. Jika ia berjaya mengikut perancangan,  kawasan yang lebih luas akan diusahakan iaitu melebihi 1,000 hektar bagi fasa kedua dan akan dimulakan pada suku ketiga 2025.

“Pelaburan 100 hektar fasa pertama akan menghasilkan balak dengan nilai pasaran melebihi RM1 billion untuk tempoh 20 tahun. Hasil tanaman di negara ini bakal di eksport ke negara luar seperti ke negara- negara Eropah. Melalui penghasilan tersebut ianya dilihat akan memberi satu nafas baharu kepada industri pembalakan negara,” ujarnya.


Dr. Muhamad Rosli dan Mazlan Goh Ahmad Goh bertukar dokumen perjanjian persefahaman kerjasama projek tanaman pokok balak balsa di ladang percubaan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 10 Mac 2021.


Sementara itu, Pengerusi NQHSB, Mazlan Goh Ahmad Goh berkata, balak balsa adalah jenis daripada kayu lembut seperti plywood dan sesuai untuk membuat perabot, kotak dan juga kertas.

“Balak ini berasal dari Amerika Latin dan banyak ditanam di negara China dan saya sendiri sudah 30 tahun mengusahakan balak ini di Papua. 

"Menariknya balak ini jenis  ringan dan boleh dipikul ke jalan besar. Ia sesuai ditanam di negara ini selagi pokok getah dan sawit hidup, bermakna balak ini juga boleh hidup kecuali ia terendam dalam air.

“Malah jika dibandingkan dengan getah dan sawit, penjagaan balak balsa lebih mudah kerana hanya pada tahun pertama tanaman sahaja perlu diberi perhatian bagi memastikan anak benih subur dan taburan baja, manakala pada tahun-tahun selebihnya, balak akan dibiarkan sehingga tempoh matang,” katanya. - KitaReporters


3
0
0
0
0
You will be interested