Muhammad Amin Fakhri Ahmad Sukri menanam anak benih pisang berangan sumbangan MARDI di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut.
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menyampaikan bantuan berupa anak pokok pisang berangan kepada pengusaha ladang yang terjejas teruk akibat banjir di Jerantut, Pahang baru-baru ini.
Timbalan Pengarah Program Teknologi Baja MARDI, Dr. Ganisan Krishnen berkata, sebanyak 150 benih pokok pisang varieti berangan yang dihasilkan menggunakan teknologi Kerintangan Sistem Teraruh (ISR) telah disumbangkan kepada seorang pengusaha, Muhammad Amin Fakhri Ahmad Sukri, yang berhadapan cabaran apabila tanaman yang diusahakannya musnah ditenggelami banjir di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut.
Dr. Ganisan Krishnen
“Selain menyumbang benih pisang, MARDI juga membantu untuk memulihkan pokok-pokok lama sedia ada dengan memperkenal teknologi ISR (induced system resistance) yang bertindak sebagai baja bio bagi menggalakkan pertumbuhan vegetatif pokok selain mampu meningkatkan kerintangan pokok terhadap penyakit dan makhluk perosak.
“Dalam lawatan ini, kita beri penerangan mengenai penggunaan teknologi tersebut dan membuat demonstrasi dengan menginokulasi inokulan ISR, Gladiator 1.0 pada pangkal pokok, selain itu petani juga didedahkan cara-cara penanaman dan penjagaan pokok yang betul.
“Kita turut bekalkan setengah tan kompos tinja ayam, baja NPK hijau, NPK biru, Christmas Island Rock Phosphate (CIRP) dan kapur (dolomite) untuk penanaman anak benih ISR,” katanya.
Dr. Ganisan menambah, teknologi ISR dihasilkan melalui penyelidikan yang dijalankan oleh MARDI dengan menggabungkan teknologi ISR dan amalan-amalan perladangan baik, kawalan penyakit dan perosak serta amalan lepas tuai sedia ada.
“Penggunaan teknologi ini mampu meningkatkan hasil pisang sehingga 35 peratus kerana ia telah diuji dan terbukti mampu mengawal penyakit darah pisang sehingga 92 peratus.
“Pendekatan ISR ini juga sesuai diguna pakai untuk penghasilan pisang secara konvensional dan organik untuk kegunaan makan segar dan masakan,” tambahnya.
Muhammad Amin Fakhri Ahmad Sukri
Pada masa sama, Muhammad Amin Fakhri yang ditemui di ladangnya berjanji akan memanfaatkan sumbangan benih pokok dan teknologi ISR yang diajar oleh MARDI.
“Sumbangan ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban keluarga saya, lebih-lebih lagi isteri saya baru sahaja melahirkan anak sulung perempuan kami pada akhir bulan Januari 2024 lalu.
“Musibah yang melanda mungkin ada hikmahnya kerana bukan sahaja saya dapat benih-benih pisang yang berkualiti, tetapi yang lebih penting saya dapat ilmu penanaman dan penjagaan pokok yang baik bagi membolehkan saya menghasilkan buah pisang yang bermutu secara berterusan dalam jangka panjang,” katanya. - KitaReporters/Kenyataan Media
Pengarah Program Teknologi Baja MARDI, Dr. Rosliza Jajuli (tiga dari kiri) bersama Timbalannya, Dr. Ganisan Krishnen (tiga dari kanan) menyerahkan benih pokok pisang berangan dan inokulan ISR Gladiator 1.0 kepada Muhammad Amin Fakhri Ahmad Sukri (tengah), pengusaha pisang berangan di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut.