Alam & Sains 09 Oct, 2023

Avipelancongan: Kedatangan burung hijrah tarikan terbaharu pelancongan! Beri rezeki kepada nelayan!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

 

Antara burung hijrah yang dapat dilihat di pantai Teluk Air Tawar, Kuala Muda ialah Eurasian Curlew.


Kehadiran burung-burung hijrah ke negara ini setiap tahun adalah satu rahmat dan rezeki kerana ia memberi manfaat kepada industri avipelancongan (pelancongan berkaitan avian atau burung) dan peluang masyarakat melihat burung yang tidak pernah mereka temui sebelum ini.

Burung-burung ini melakukan penghijrahan dari hemisfera utara ke hemisfera selatan pada September hingga April setiap tahun mengikut laluan penghijrahan bagi mengelak musim sejuk di habitat mereka. Laluan penghijrahannya dikenali sebagai ‘flyway’.

Ketika penghijrahan, burung berkenaan bergantung kepada kawasan tanah lembab yang produktif bagi berehat dan makan selain mengumpul semula tenaga bagi meneruskan perjalanan. Kerjasama antarabangsa sepanjang laluan penghijrahan ini penting untuk konservasi dan perlindungan burung hijrah.


Peminat bot menggunakan bot menaiki bot di muara Sungai Tembus untuk melihat secara lebih dekat kehadiran burung hijrah.


Sebelum 2004, Kuala Gula di Perak adalah tumpuan utama burung hijrah kerana memilik pantai berlumpur yang luas tapi selepas tsunami, tumpuan lokasi burung hijrah berpindah ke tempat lain, antaranya pantai Teluk Air Tawar di Kuala Muda, Pulau Pinang.

Antara burung hijrah yang boleh dilihat di pantai di kawasan ini ialah Lesser Sand Plover, Red-necked Stint dan Common Redshank.

Penyelaras Projek Burung Pantai Semenanjung Malaysia, Dr Nur Munira Azman, berkata berikutan kehadiran banyak burung hijrah ke pantai Teluk Air Tawar di Kuala Muda, usaha-usaha perlu dilakukan bagi memastikan kawasan itu terpelihara dan sesuai untuk persinggahan burung hijrah.

Beliau berkata, beberapa aktiviti yang diadakan dengan masyarakat tempatan terutama nelayan membolehkan mereka tahu dan peka mengenai pentingnya kehadiran burung hijrah ke kawasan itu.



Baru-baru ini, Dr Munira bersama-sama penduduk tempatan mengadakan program "Mai Singgah Sat Tengok Burung Siri 3" untuk memberi pendedahan kepada masyarakat keunikan burung pantai hijrah.

"Sepanjang program itu, mereka dapat mengenal pasti 36 spesies burung pantai hijrah ketika menyusuri Sungai Tembus hingga ke ke dataran lumpur Teluk Air Tawar-Kuala Muda.

"Peserta juga berpeluang menikmati hasil tangkapan nelayan iaitu udang laut segar, malah kami membawa peserta melawat Kebun Nipah yang terletak berhampiran lokasi jeti nelayan," katanya.

"Penduduk tempatan menyambut baik program ini dan mereka semakin cakna kehadiran burung pantai hijrah dan menyokong aktiviti konservasi burung pantai dan paya bakau di sini," katanya.


Sebahagian daripada burung hijrah yang baru tiba di pantai Teluk Air Tawar, Kuala Muda, Pulau Pinang.


Menurutnya, dunia mengiktiraf kehadiran burung hijrah dengan mengadakan Hari Burung Hijrah Sedunia dua kali setahun iaitu pada Mei dan Oktober. Tapi sambutan di setiap negara berbeza kerana tempoh burung hijrah singgah ke sesebuah negara tidak sama, mengikut musim dan ekologi.

"Saya banyak melakukan penyelidikan mengenai burung pantai hijrah dan mengakui haiwan ini amat hebat kerana mereka mampu terbang beribu-ribu kilometer, merentangi berpuluh-puluh negara tanpa henti dan pulang ke habitat asal tanpa ada yang tersesat.

"Justeru, masyarakat di negara ini perlu peka akan kepentingan burung hijrah kepada kita kerana haiwan itu sentiasa terdedah kepada ancaman sepanjang perjalanan dan persinggahan mereka.

"Masyarakat patut memelihara dan melindungi burung hijrah bagi memastikan habitat ini terus datang ke sini. Amatlah malang jika tiada burung hijrah singgah ke negara ini dan ia merugikan industri pelancongan tempatan khususnya avipelancongan.


Peminat burung menggunakan bino untuk melihat aksi burung hijrah di udara.


"Burung hijrah bukan milik sesebuah negara tapi milik rakyat seluruh dunia kerana ia singgah untuk mendapatkan perlindungan dan makanan di sesuatu tempat sebelum terbang ke destinasi lain yang selamat dan banyak makanan.

"Masyarakat juga harus sedar ancaman utama  burung hijrah ialah pemburuan haram, pencemaran plastik, kemusnahan habitat dan ancaman penyakit," katanya.

Sepanjang kajiannya, beliau kagum kerana burung pantai hijrah ini unik kerana di negara asal, mereka hanya makan buah dan serangga kerana duduk di atas padang rumput.

"Namun apabila berhijrah, diet mereka berubah dengan mengambil makanan marin seperti cacing, ketam dan ikan kerana mereka berada di pesisir pantai," katanya. - KitaReporters


Dr Nur Munira Azman (kanan) gembira melihat hasil laut yang ditangkap nelayan untuk dinikmati bersama peminat burung sempena program "Mai Singgah Sat Tengok Burung Siri 3".

14
11
0
16
0
You will be interested